CINTA




‘CINTA’

Hari ini saya dijemput oleh pihak Institut Perguruan Tawau melalui Persatuan Guru Pelatih IPG untuk menyampaikan satu ceramah yang bertajuk “pengurusan cinta”. Ceramah berkenaan telah diadakan di Surau An-Nur IPG. Kehadiran peserta dalam program ini lebih ramai guru-guru pelatih perempuan berbanding lelaki. Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengarah IPG dan beberapa pensyarah IPG. Catatan malam ini saya tidak berniat untuk mencatat kembali secara keseluruhan apa yang telah diceramahkan, cukup sekadar dicatat bahagian mukadimahnya untuk tatapan
bersama.

Saya kira persoalan ‘cinta’ bukan persoalan orang muda sahaja, tetapi persoalan semua orang yang ingin mencapai visi ke syurga bagi meraih reda Allah s.w.t.. Maknanya ,persoalan ‘cinta’ boleh membawa seseorang itu ke syurga atau ke neraka bergantung sejauhmana seseorang itu mengurus’cintanya’.

Cinta perlu diurus kerana perkara ini melibatkan persoalan keimanan, maruah individu, pahala dan dosa, kebinasaan dan kebahagiaan seseorang di dunia dan berpanjangan hingga ke akhirat. Jadi jangan pandang enteng pasal ‘cinta’ beri perhatian serius. Pastikan cinta anda tidak tersasar hingga membawa ke jurang api neraka. Jauh sekali untuk mengamalkan “cinta monyet”

MAKNA CINTA.
Dari segi bahasa cinta itu ialah kasih sayang. Lawan cinta ialah benci. Cinta mengikut Imam Ghazali ialah tiap-tiap sesuatu yang indah. Cinta itu akan membuahkan kasih-sayang melalui tindakan atau amalan seseorang. Perasaan cinta akan menjadikan seseorang itu mempunyai rangsangan dan dorongan dalam untuk berbuat sesuatu mengikut apa yang dicintainya. Orang kata macam ada “power”.

CINTA YANG PALING AGUNG.
Cinta yang paling besar,paling mulia dan agung ialah cinta kepada ALLAH s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran:31 yang bermaksud,

“Katakanlah, jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

Fikirkanlah, jalan untuk mendapat cinta Allah adalah dengan ikut Nabi s.a.w. Kita bagaimana sekarang ini. Adakah sudah kita ikut nabi atau banyak lawan perintah nabi.? Nak ikut nabi mesti ikut sepenuhnya apa yang telah nabi suruh. Tak jadi ,ikut separuh-separuh. Atau ikut sedap pada hati atau selesa dengan perkara-perkara yang tertentu sahaja dan tinggalkan perkara yang tak selesa pada diri kita. Jika ini sikap kita, makna kita berada dalam bahaya. Kita tidak berada dalam zon selamat.

DOA NABI
Sebagai renungan akhir untuk bicara malam ini, mari kita renungi doa Nabi Muhammad s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi yang bermaksud,
“Ya tuhanku, aku mohon supaya aku cinta kepada-Mu dan cinta kepada orang yang mencintai-Mu, termasuk orang yang sayang kepada semua amalan yang boleh membawa sayang kepada-Mu”

Rumusannya, cinta itu wujud, cinta itu boleh didoakan, cinta itu perlu disuburkan ke arah untuk mencintai Allah s.w.t dan kita perlu mencintai orang yang mencintai amalan-amalan yang dikasihi oleh Allah s.w.t.
Sekian dahulu untuk malam ini. Jumpa lagi, jika diizinkan-Nya. Wassalam.

4 NOVEMBER 2009/17 ZULKAEDAH 1430
10.30 malam.

No comments:

Post a Comment