Hari Raya Korban


"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."

(Surah Al-Hajj Ayat 37)

Tafsiran Ringkas :

Allah tidak menginginkan sesuatu dari makhluk, samada berupa daging dan darah binatang korban mahupun hadiah.Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Kepunyaan Allahlah segala yang ada di langit dan di bumi, juga antara keduanya. Sebaliknya makhluklah yang memerlukan pertolongan dan bantuan dari Allah.
Menyembelih binatang korban itu dihubungkan dengan sifat ikhlas dan taqwa. Keikhlasan adalah syarat sesuatu amalan diterima. Iaitu melakukan sesuatu hanya kerana Allah. Tidak kerana yang lainnya. Manakala takwa pula sifat berhati-hati dalam semua tindakan yang berkaitan hati, perbuatan dan percakapan, khuatir mendapat kemurkaan Allah.

Perbuatan menyembelih korban, dapat mempengaruhi batin manusia, iaitu hati, kerana dapat menjadikan hati menjadi gementar ketika nama Allah disebut. Mengakui kebesaran dan keagungan Allah, menyedari kekerdilan dan kelemahan diri.

Korban juga menjadi lambang kerelaan diri untuk mengorbankan hidup, dan segala sesuatu yang dimiliki untuk membela kebenaran atau yang hak. Tentunya berdasarkan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Walau sesukar mana cabaran dan dugaan yang dihadapi dalam menegakkan kebenaran itu, hati tetap teguh dan tidak mudah goyah. Keazaman tetap kuat untuk menegakkan kebenaran, bibir tetap tersenyum dengan kesabaran yang indah.

Waktu korban yang telah ditentukan waktunya, ini bermaksud agar seluruh hati kaum Muslimin
seluruh dunia berdenyut dalam waktu yang sama untuk melaksanakan satu cita-cita. Dengan demikian, ibadah korban memimpin manusia untuk mengembangkan cita-cita berkorban untuk kepentingan ummah secara keseluruhan. Tidak hanya memikirkan kepentingan peribadi.

Binatang yang dikorbankan melambangkan sifat kebinatangan dalam diri, maka dengan menyembelih binatang korban mengingatkan kepada manusia untuk menyembelih sifat kebinatangan dalam yang ada dalam diri. Biarlah sifat-sifat kotor seperti buas, tamak, rakus itu mengalir keluar dari tubuh kita sebagaimana darah yang mengalir ketika terputusnya urat merih dan halkum binatang korban.

Sembelihlah sifat kebinatangan yang ada di dalam diri kita. Jadilah Manusia yang Allah Sayang.

Oleh: Iqram Al-Mujahid
Masa: 10.37 pagi (Selasa)
Tarikh: 01. 12. 2009

No comments:

Post a Comment