Tips di hari raya

Buat renungan untuk sahabat sekalian..

Salam ukhuwah sekali lagi. Pejam celik pejam celik, tak terasa pula cepatnya masa berlalu, sepantas kilat..Memanglah salah satu tanda-tanda akhir zaman ialah masa berlalu begitu pantas. Sedar tak sedar kita sudahpun sampai ke Ramadan yang terakhir.. Ramadan yang ke-30.. Ramadan hendak melabuhkan tirainya dan Syawal pula bakal menjelang tiba. Pasar raya dan kedai-kedai penuh sesak dengan manusia yang sepertinya tidak kunjung padam ingin membeli persiapan dan barang-barang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Di sebalik kemeriahan sambutan Aidilfitri, Islam tidak lupa menggariskan beberapa panduan kepada umat Muhammad s.a.w. dalam menyambut hari kemenangan bagi umat Islam. Di sini saya hendak berkongsi beberapa tips yang boleh dijadikan sebagai panduan kita bersama dalam menyambut hari raya ..Insyaallah.

Takbir

Insyaallah pada malam ini kita akan mendengar laungan takbir raya. Ini menandakan berakhirnya sudah sebulan berpuasa dan menandakan kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan berpuasa.

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur."
Surah al-Baqarah:185.

Sering kali kita alpa dalam melaungkan takbir raya. Kadang selesai sudah puasa malam terakhir, kita sibuk menghias rumah, berkaraoke, menonton rancangan televisyen sehinggakan lupa untuk melaungkan takbir raya. Masjid-masjid yang dahulunya ketika puasa Ramadan penuh kini semakin lengang. Tidak ramai yang bersama-sama melaungkan takbir bersama dengan jemaah masjid. Kita juga sering terlupa ketika dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan Solat Sunat Aidilfitri untuk bersama-sama melaungkan takbir beramai-ramai. Bertakbir sebegini dapat mengeratkan lagi silaturahim serta dapat menyebarkan syiar Islam secara tidak langsung kepada masyarakat bukan Islam kerana kelihatan kita bergerak dan bersatu padu di bawah satu panji iaitu AKIDAH ISLAMIYAH.

Lafaz ucapan hari raya

"Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin".. Itulah merupakan ucapan yang sering dilafazkan oleh masyarakat pada masa sekarang. Realitinya, ucapan tersebut seolah-olah sudah menjadi budaya rakyat Malaysia terutamanya. Namun jika dilihat hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian daripada mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain dengan ucapanTaqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”

( Kitab Fath al-Bari)

Justeru, mulai daripada syawal 1431 H pada tahun ini, adalah tidak salah untuk kita mulakan lafaz hari lebaran dengan ucapan indah yang bertepatan dengan anjuran sunnah Rasulullah S.A.W.


Etika Pemakaian


Pada waktu inilah pelbagai jenis pakaian yang beraneka corak serta warna dapat dilihat. Si lelaki segak mengenakan pakaian Baju Melayu dan bersongkok serta dilengkapi pula dengan samping. Nampak segak dan cantik di pandang mata. Si perempuan pula, mengenakan baju kurung moden tetapi yang silapnya tidak berpakaian seperti yang telah digariskan oleh syariat. Tidak salah untuk kita berfesyen mengikut 'trend' terkini tetapi ingat, mestilah selari dengan tuntutan Islam. Berbaju kurung tetapi tidak bertudung dan bangga menampakkan rambutnya, terdapat pula yang memakai baju kurung nipis dan ketat sehingga menampakkan susuk tubuh mereka, memakai wangi-wangian secara berlebihan. Perlu diingat, jangan kerana kita mengejar pujian dan ingin kelihatan cantik sehinggakan kita lupa akan pandangan Allah terhadap kita. Jangan sampai Allah murka akan kita dan kita berhari raya bukannya untuk mengurangkan dosa tetapi menambahkan lagi dosa kita.


Kepada sahabat muslimah, berpakaianlah mengikut syariat. Allah telah menetapkan bahawa aurat bagi muslimah ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan maka patuhilah. Janganlah kita menjadi salah satu penghuni ahli neraka yang berpakaian tetapi seolah-olah telanjang, naudzubillahimindzalik kerana Rasulullah pernah menangis apabila melihat ramai perempuan yang memasuki neraka kerana tidak menutup aurat.


Oleh itu, marilah bersama-sama kita mencari reda Ilahi dalam menyambut hari lebaran ini. Moga setelah kita telah sebulan berpuasa, semakin bertambah keimanan serta ketakwaan kita terhadap-Nya. Marilah bersama-sama menjadi mukmin yang sejati.


Bersama kita mencari reda Ilahi.. Sekian sahaja untuk kali ini. Insyaalllah saya akan menulis lagi. PERPPIS mengucapkan kepada semua muslimin dan muslimat "SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. SEMOGA ALLAH MENERIMA AMALANMU DAN AMALAN KAMI. MAAF ZAHIR DAN BATIN.".


No comments:

Post a Comment