Melawan Unsur Firaunisme


Setiap kita memiliki perasaan takut dalam diri untuk memulakan perubahan menuju sesuatu yang lebih baik. Ketakutan itu memulakan sebuah batas yang sukar dan hampir mustahil kita lalui. Ketakutan membuat kemampuan kita menjadi lebih rendah dari biasa dan halangan nampak lebih sukar dari yang sebenar.

Keberanian kita muncul saat kita menyedari siapa kita, apa potensi yang kita miliki. Keberanian kita timbul ketika kita tahu siapa kita atau keadaan sebenarnya yang kita sedari.

Kisah ketakutan yang menjangkiti kelompok masyarakat dan bagaimana hal itu diakhiri boleh kita lihat dari kehidupan Nabi Musa a.s. dan kaumnya Bani Israil di hadapan Firaun.

Bani Israil disudutkan dalam keadaan yang sangat sukar sehingga mereka tidak boleh menjalani hidup dengan tenang. Bagaimana perasaan takut itu ditanamkan dari perlakuan Firaun terhadap mereka, misalnya:

  • Firaun membunuh semua anak lelaki yang lahir.
  • Firaun memperlakukan mereka sebagai warga kelas kedua.
  • Firaun menyuruh mereka menyembahnya dan mengaku dirinya sebagai tuhan.
Pada masa yang sama, ketidakupayaan juga tertanam dalam diri Nabi Musa a.s. kerana beberapa sebab utama, antaranya:

  • Ketika bayi, Nabi Musa adalah satu-satunya anak yang terselamat daripada usaha pembunuhan oleh tentera Firaun.
  • Ketika kanak-kanak, Nabi Musa a.s. terhutang budi kerana hidup dan membesar dalam istana Firaun.
  • Ketika remaja, Nabi Musa a.s. bersalah kerana membunuh seorang daripada suku Firaun ketika beliau membantu seorang daripada Bani Israil yang berkelahi.
  • Dan setelah itu, Nabi Musa a.s. menjadi pelarian setelah diketahui dialah punca tewasnya orang daripada suku Firaun itu.
Bentuk ketakutan dan ketidakupayaan Nabi Musa a.s. nampak dalam beberapa hal, misalnya:

  • Melarikan diri daripada kejaran tentera Firaun.
  • Mengadu dengan Nabi Syu'aib a.s. sebaik bertemu dengannya di Madyan.
  • Menetap dalam waktu yang lama di Madyan, setelah menikahi puteri Nabi Syu'aib, selama 8 tahun.
Perubahan besar berlaku ketika Nabi Musa a.s. menerima wahyu dari Allah s.w.t di Bukit Tursina. Nabi Musa a.s. diangkat menjadi nabi kepada Bani Israil dan disuruh mengajak Firaun menyembah Allah. Nabi Musa a.s. mengadu kelemahan dan kebimbangannya kepada Allah s.w.t berkaitan apa yang telah berlaku selama ini. Untuk menyertainya, Allah s.w.t memilih Harun, saudaranya sendiri sebagai pembantu.

Pencerahan berlaku sebaik sahaja Nabi Musa a.s. tahu tentang siapa dirinya dan tahu tentang posisi Firaun yang sebenarnya. Keberanian Nabi Musa a.s. ditonjolkan dalam tindakannya, misalnya:

  • Datang kepada Firaun dan memintanya membebaskan Bani Israil.
  • Mengajak Bani Israil menyembah Allah s.w.t.
  • Melawan para penyihir Firaun.
  • Membawa Bani Israil pergi meniggalkan Firaun yang bertindak makin kejam.
  • Ketika Nabi Musa a.s. tahu tentang potensinya, berlaku perubahan. Nabi Musa a.s. yang datang menghadap bukan lagi sosok yang menjadi warga kelas kedua, diburu tentera dan menjadi anak angkat di istana Firaun.
Sosok yang bercakap lantang di depan para pembesar Firaun dan memimpin kaumnya itu bukan lagi Musa sebelumnya.

Dengan bentuk serupa, kita sebenarnya adalah 'Musa-Musa kecil' yang berhadapan dengan banyak 'Firaun' yang hadir dalam pelbagai bentuk dan keadaan kehidupan. Firaun-Firaun itu menakuti kita dan membuat hidup kita berada dalam jalur yang salah.

Tugas kita sebagai Musa-Musa kecil ialah melawan semua bentuk Firaunisme kehidupan yang merosak itu. Sebabnya, selagi kita tidak melawan, kita akan terus dikuasainya hingga tidak mampu melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment