Mari kita didik NAFSU!

Bismillahi La Quwwata Illa Billah...

Nafsu bila tidak dididik, ia akan membinasa tuannya.. Tuannya adalah si manusia. Manusia bila ada nafsu ibarat gula dengan semut. Bahkan nafsu bila dah beraja, akal pasti menjadi hambanya!

Manusia akan hilang pertimbangan akal. Masakan tidak, bila akal sudah menjadi hamba.. Maka hati pasti diperintah oleh nafsu dan tambah kronik lagi bila nafsu pula dipimpin syaitan! Jadilah manusia tapi berperangai binatang! Na’uzubillah...

Sejak akhir-akhir ini dunia sudah tidak waras..

Tak usah diceritakan apa kewarasan yang hilang... Saudara boleh lihat sendiri.. Berita ada.. Metro ada.. Kosmo ada.. Semua ada cerita pasal waras yang hilang... Akal yang tunduk.. Nafsu yang beraja..

Sikap adalah tindakan.. Simptom perangai yang akhirnya berkarat menjadi tabiat buruk.. Manakala tabiat yang baik dipanggil akhlak. Akhlak yang menghiasi tingkah hidup. Kehidupan yang tidak punya akhlak ibarat rumah yang tiada hiasan dan perabot. Kosong juga poros!

Manusia yang tinggal di dunia ibarat dua orang putera. Putera dunia dan putera akhirat...

Usahakan mendidik anak-anak kita supaya membesar sebagai putera akhirat!

Putera akhirat ialah orang yang memandu hidupnya dengan stereng taqwa.. Hidup dipacu atas landasan akidah yang sahih. Kekang dipasang berupa syariat waris dari Nabi. Putera akhirat juga adalah orang yang sanggup pertaruh nyawa demi Islam tercinta!

Siapa pula putera dunia??

Mereka ialah orang-orang yang menjadikan nafsu sebagai tuhan! Merasa bahagia dengan seruan mungkar, lantas tanpa segan menghayati kemungkaran dengan upaya diri mahupun limpah ruah harta yang ada... Sedangkan diri dan harta tadi adalah empunya mutlak Allah!

Putera dunia ataupun putera akhirat.. Keduanya punya penyokong yang tersendiri.. Beruntunglah orang yang menyebelahi putera akhirat.. Muktamad!

Itu sebab dunia perlu ada pantang-larangnya.. Perlu ada had batasannya... Andailah dunia ini tiada sempadan larangan, maka jadilah ia semacam bangkai. Sementara pemburunya ibarat anjing-anjing yang rakus! Dan sememangnya haiwan anjing yang rakus ini tidak peduli samada yang dibahamnya itu bangkai atau daging yang halal...

“Adakah kamu tidak melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mempateri mati pendengarannya serta hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan dapat memberi petunjuk sesudah Allah membiarkannya sesat. Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran.” Surah al-Jaatshiah, ayat 23.

Bila nafsu menjadi tuhan,

Lantas hukum dan peraturan pasti tunggang-langgang. Yang haram menjadi halal dan yang halal menjadi haram. Bukan kerana manusia tidak tahu... Bukan kerana jahil.. Sebaliknya dek kerana golongan ini memuja nafsu, maka mata hati mereka tertutup dari melihat yang hak! Walaupun yang hak itu sudah amat nyata.

Hakikatnya..

Ad-dunya darul amal. Dunia hanyalah tempat untuk beramal sebagai bekal kehidupan panjang akhirat.. Bahkan bekalan tadi bukan sekadar ibadah solat, puasa dan seumpamanya.. Apa sahaja urusan dunia yang dibuat, bertanikah, berniagakah... Semuanya akan menjadi bekal akhirat andai ia dilaksanakan mengikut syariat kerana visi akhirat itu bukan setakat hablum min Allah bahkan ia juga terkandung hablum min an-naas..

Renungilah pesan Nabi tercinta...

“Bagiku berada di dunia ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu ia singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang.. Berehat barang sebentar menghilangkan penat.. Selepas itu, beredarla ia meninggalkan pohon rendang tadi dan dia mesti meneruskan perjalanan.”

...ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu ia singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang...


Konklusi;

Dunia bukanlah matlamat bagi si pengembara.. Dunia hanyalah tempat singgahan barang seminit dua.. Mengumpul bekal kekuatan untuk perjalanan yang masih jauh.. Jauh ke depan..

Kadangkala sang pengembara boleh jatuh keasyikan lalu terlena di bawah pohon yang rendang.. Apatah lagi jika pohon itu sedang berbuah lebat dan masak ranum..

Kembarasanghamba... Singkatnya kembara ini...

Moga nafsu kita dipimpin oleh taqwa dan iman!


No comments:

Post a Comment