Mati Mulia

Mati ketika sujud
Setiap muslim mesti bercita-cita untuk mati syahid. Mati syahidlah mati yang paling mulia di sisi Allah s.w.t. Mati syahid bermakna mati di jalan Allah kerana berjuang menegakkan dan mempertahankan Islam. Betapa mulianya orang yang mati syahid seperti yang telah diungkapkan oleh Allah di dalam firman dan diterangkan olehRasulullah s.a.w. di dalam sabda. Para Sahabat dan umat terdahulu berebut-rebut untuk mati syahid. Tanya diri sendiri, di mana posisi kita?


Tulisan ini ingin membawa pembaca kepada satu dimensi lain yang cukup biasa tentang mati mulia. Mati mulia ialah mati dalam keadaan ditangisi makhluk di bumi dan dijemput oleh al-Khaliq. Seseorang itu mati mulia apabila makhluk rasa kehilangan kita kerana hidup kita penuh jasa terhadap mereka, kita bersikap mulia dan ramah dengan mereka, bersopan bila berkata, baik hati sesama manusia, tidak pandai berdendam dan tidak pernah bermusuh dengan kaum kerabat, sahabat handai dan jiran tetangga. Dalam situasi ini kita sepadan dengan perumpamaan ‘gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Kematian ini ditangisi oleh orang ramai kerana mereka merasakan kematian kita  menjadi satu kehilangan bagi masyarakat.

Tidak habis di situ. Mati yang mulia ialah apabila mati kita Allah dahului dengan keampunan, mati kita diiringi oleh rahmat Allah dan Allah menjemput kita pulang bagaikan ayah yang menjemput anaknya pulang dengan kucupan dan kasih sayang. Berpisah roh dari jasad menuju Kekasih yang sepanjang umur dipuja dan dipuji. Kematian yang dibawa melalui lorong-lorong syurga, yang ditemani oleh amal di dalam kuburnya dan yang telah mempertemukan hamba dengan Kekasihnya.


Demikianlah mati mulia. Siapa yang tak mahu mati begini. Mati yang tak perlu ditakuti, malah tak sabar menanti. Namun, kita kena muhasabah. Adakah kita memenuhi syarat dan ciri-cirinya? Kalau belum, doakan untuk penulis dan penulis doakan untuk pembaca yang budiman agar Allah memberi kekuatan dan kesempatan untuk memenuhi ciri dan syaratnya.

No comments:

Post a Comment