Kelebihan Wuduk


Dari Abi Umamah ra. berkata, Rasulullah saw. bersabda, "Apabila seseorang muslim berwuduk maka akan gugur dosa-dosanya dari pendengarannya (telinganya), matanya, tangannya dan dari kedua kakinya. Apabila dia duduk menanti solat, dia duduk dalam keampunan". (HR Ahmad)


Rasulullah saw. bersabda, "Apabila seorang hamba muslim atau mukmin ber wuduk, lalu dia membasuh mukanya, maka keluar dari wajahnya semua dosa yang terlihat oleh pandangan matanya bersama titisan air itu. Apabila dia membasuh kedua tangannya maka keluar dari kedua tangannya semua dosa yang dikerjakan oleh kedua tangannya bersama titisan air itu hingga bersih dari dosa-dosanya. Dan apabila dia membasuh kedua kakinya maka keluarlah semua dosa yang dikerjakan oleh kedua kakinya bersama siraman air itu hingga bersih dari dosa-dosa" (HR muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, "Mahukah saya tunjukkan kepada kamu perkara-perkara yang mana dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa serta mengangkat darjat kamu ?. Para sahabat menjawab: Mahu, ya Rasulullah. Beliau s.a.w. lalu bersabda: Sempurnakan wuduk sekalipun di dalam kesukaran, langkah-lankah kaki kamu untuk ke masjid dan menantikan solat sesudah melakukan solat. Itulah yang disebut ribath, iaitu perjuangan menahan nafsu untuk memperbanyakkan ketaatan pada Tuhan. (HR Muslim)

Rasulullah saw. bersabda, "syaitan mengikat di atas kepala orang yang tidur dengan tiga simpulan, lalu berkata: “Bagi kamu malam yang panjang, tidurlah!”. Apabila orang itu bangun dan mengingati Allah, terbukalah satu simpulan. Apabila orang itu berwuduk, terbukalah satu lagi simpulan.Apabila orang itu bersolat, terbukalah kesemua simpulan. Maka pada hari itu orang tersebut akan bersemangat dan ceria. Jika tidak (iaitu ada simpulan yang masih terikat) maka pada hari itu orang tersebut akan merasa malas dan tidak ceria". (HR. Bukhari)

Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dengan cahaya di wajah, di tangan dan di kaki kerana bekas wuduk mereka". (HR Bukhari)

No comments:

Post a Comment