Ringankanlah Kaki Hadiri Majlis Ilmu Agama
Seorang anak murid yang rajin belajar dengan saya, juga staf di sebuah syarikat mengajak kawan-kawannya: ‘Jom malam ni, ustaz XX mengajar kat surau XX.’ Kawannya menjawab: ‘Awak ni nak jadi ustaz ke?’ Di waktu lain dia mengajak lagi kepada kawannya yang lain. Kawan itu menjawab: ‘Payah lah. Isteri aku selalu ajak aku pergi beli barang kat pasaraya time tu.’ Dia juga pernah bertanya kepada kawan-kawannya yang perempuan di syarikat itu: ‘Awak tahu beza darah haid dan istihadhah?’ Mereka diam.
Saya kemukakan dialog sebenar di atas yang berlaku di antara anak murid saya itu dengan kawan-kawan sekerjanya sebagai satu pembukaan bicara ringkas mengenai ilmu agama.
Kalau ada majlis ilmu di surau di tempat kerja dan staf dijemput, antara jawapan yang diberi:
‘Aku ada meeting pukul 2.30 petang ni, nak prepare ni’
‘Nak kena ambil anak sekolahlah, tak dapat ikutlah’
‘Time lunch ni, perut dah lapar’
‘Tunggu kat pencenlah, sekarang muda lagi. Cari duit dulu’
‘ cukup hujung minggu je’
‘I dengar sekali sekala pun dah ok ape’
‘yang ni dah belajar masa sekolah menengah dulu’
Jawapan yang agak ekstrim:
‘Awak alim sangat ke?’
‘Awak nak jadi ustaz ke?’
Ada di antara jawapan itu logik, jujur, benar dan ikhlas dijawab. Ada juga hanya sebagai alasan untuk tidak hadir majlis ilmu. Namun, sekiranya untuk perkara lain, nampaknya mudah pula diberikan masa. Konsert Jomheboh jauh di tempat lain. Berangkut semua anak-anak ke sana boleh pula. Kata penat tetapi untuk Jomheboh tak penat. Nak parking payah, kereta banyak tapi tak kisah. Kalau masuk tempat tertentu kena bayar tapi tak tak berleter pun.
Kalau anda sedia mencari ilmu agama di luar waktu pejabat, silakan, tetapi ramai mana yang demikian? Alasan yang selalu didengar ialah ‘penatlah, seharian dah kat ofis’…
Saudara/i,
Ketahuilah, ayat al-Quran pertama turun ialah Iqra. Ayat al-Quran dan Hadis Nabi cerita tentang kelebihan ilmu agama sangat banyak. Jalan ke syurga sukar tetapi dengan menjalani satu jalan mencari ilmu di surau berhampiran tempat kerja sudah membuka satu laluan mudah ke syurga.
Ilmu adalah rezeki. Kalau anda bersedia mengangkat kaki anda ke majis ilmu di surau berhampiran tempat kerja yang tidak sampai 20 minit itu, lalu duduk di atas karpet yang selesa, di bawah aircon atau kipas yang berpusing, tanpa sesak kereta seperti anda mencari parkir di konsert Jomheboh dan mendengar sedikit ilmu yang dicurahkan oleh ustaz/ah sekadar kurang dari sejam, cuba memahami apa yang disampaikan dan beramal dengannya, maka bertuahlah anda pada hari itu kerana anda sudah membuka laluan kepada keredhaan Allah dan syurgaNya, tetapi kalau sebaliknya, dan akhirnya anda kembali kepada Allah dengan tangan kosong, jangan salahkan sesiapa melainkan diri sendiri.
Masih berfikir? Jangan biarkan syaitan menyelinap di celah kotak pemikiran anda. Jom, ke kuliah"
No comments:
Post a Comment