JAGALAH ISLAM...SEBARKANLAH DAKWAH

Hargailah Islam yang anda miliki,,
Jangan disimpan tetapi sebarkan..
Islam merupakan agama yang asing, dan akan kembali dengan asing, dan beruntunglah orang orang yang kembalinya dengan 'asing'...
Hargailah Islam sselamanya...
BERSYUKURLAH ATAS KURNIAAN ALLAH SWT YANG TIDAK TERHINGGA INI...IAITU ISLAM..

Ihya Ramadan ke-3

Alhamdulillah, baru-baru ini Persatuan Putera Puteri Islam Bahagian Tawau telah menganjurkan program mingguan Ihya Ramadan yang diadakan pada setiap Sabtu hingga Ahad pada bulan Ramadan. Program ini bertujuan untuk mengumpul remaja-remaja muslim khasnya di Tawau untuk mendekatkan diri dengan agama Islam dan tidak menghabiskan masa terluang. Antara aktiviti ialah Iftar Jamaie, solat berjemaah fardhu/tarawih, kuliah Maghrib, Isya', Al-Lail, Subuh dan Duha serta sahur berjemaah. Program ini tidak beryuran dan boleh dihadiri oleh semua lapisan masyarakat.

Sesi Ta'aruf sahabat peserta dan AJK PERPPIS





Lambaian Ukhwah

Peserta Terbaik...Tahniah saudara Firdaus dari SM Islamiah Tawau






Pejuang ISLAM masa akan datang...Takbir!




Lailatul Qadr, malam yang baik daripada seribu bulan. Istiqomah dalam beribadah di malam-malam yang mulia ini.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, "Sesiapa berdiri (solat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari dan Muslim).

“Malam al-Qadar adalah malam yang indah penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Manakala pada keesokan harinya sinar matahari kelihatan lemah kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat al-Bazzar)

Dari Aisyah Radiallahuanha, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan". (HR Bukhari) 

Aisyah Radiallahuanha mengatakan, “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam beriktikaf (duduk di dalam masjid) pada sepuluh hari yang terakhir pada bulan ramadhan”. (HR Bukhari) 

Aisyah Radiallahuanha mengatakan, “Rasulullah apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.” (HR Bukhari dan Muslim) 

Daripada Aisyah r.a., katanya: "Saya berkata: "Ya Rasulullah, jikalau saya mengetahui bila lailatul-qadar itu, apakah yang harus saya ucapkan pada malam itu?" Beliau menjawab: "Ucapkanlah: "Allahumma innaka ‘afuwun tuhibbul ‘afwa fa’ fu ‘anni" (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah aku). (HR Termidzi) 

Hikmah Allah menyembunyikan pengetahuan tentang bila terjadinya lailatul qadar di antaranya adalah agar terbeza antara orang yang sungguh-sungguh untuk mencari malam tersebut dengan orang yang malas. 

Wallahu a'lam.

Palestin: Antara Masa Depan Mereka dan Masa Depan Kita


Isu Palestin adalah isu yang sangat serius.
Jika di Palestin, keseriusan isu berkenaan adalah pada kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda, dan impaknya kepada politik daerah, serantau dan dunia antarabangsa. Tiada konflik yang lebih tragik untuk era ini, melebihi tragedi yang membelenggu bumi Isra’ dan Mi’raj tersebut.
Di tanahair, isu Palestin menguji kita semua pada segenap segi. Ia mencungkil keluar warna-warna sebenar kita.
Mukmin menyerlahkan keimanannya.
Kafir menzahirkan kekafirannya.
Munafiq tidak mampu lagi menyembunyikan kemunafiqannya.
Mazmumah karakter di kalangan umat Islam, terjelma dan mewarnai tindak tanduk kita mengenainya.
Di bumi Palestin, Zionist menjadi antagonis.
Di tanah air, hawa nafsu sendiri jadi seteru. Kegagalan melepaskan diri daripada kehendak nafsu, hingga bertuhankannya, menyebabkan kita berisiko tersesat, biar pun dalam keadaan berilmu pengetahuan lagi sarjana.

45_23
Apakah engkau tidak perhatikan (keadaan) orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah dalam keadaan dia itu berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf? [al-Jāthiyyah 45: 23]
Kita berbicara di media sosial tentang isu Palestin, perbicaraan kita tidak mengubah apa-apa di Palestin. Sebaliknya yang menang dan kalah, yang terselamat dan terkorban adalah kita dan ahli keluarga kita. Akhlaq kita terkorban, harga diri kita musnah.
Sama ada kita pro boikot, atau tidak pro boikot, wacana kita hina menghina, sindir menyindir, hingga data-data tidak dapat menutup pekung mazmumah. Yang boikot bangga dengan keupayaannya memboikot. Yang tidak memboikot bangga dengan rasional dan kebijakannya yang tersendiri dalam berpendirian.
Mengutip derma oleh NGO, kita sambung lagi perbalahan NGO mana yang lebih asli dalam aktivisme mereka.
Akhirnya, yang kenyang daripada perbalahan kita hanyalah EGO.
Di dalam al-Quran ada tiga lokasi, Allah menjamin krisis Palestin berakhir dengan kemenangan kaum mukminin.
SURAH ĀL ‘IMRĀN

3_111

“Mereka (Yahudi dan Nasrani) tidak akan sekali-kali dapat memudaratkan kamu kecuali dengan sekadar sebuah kesakitan. Dan jika mereka memerangi kamu, mereka nanti akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan. [Āl 'Imrān 3: 111]
Permulaan kepada kehancuran mereka ialah apabila mereka mula memerangi orang-orang yang beriman. Palestin adalah kubur mereka yang mereka gali sendiri.
Sudah hampir 120 tahun semenjak Persidangan Pertama Kongres Zionis di Basle, Switzerland.
Sudah hampir 70 tahun semenjak tertegaknya negara Haram ‘Israel’.
Bumi Palestin tidak dapat diyahudikan. Semakin kurang warna hijau pada peta Palestin, semakin hijau Palestin di alam nyata. Hijau dengan semangat Intifadah, menggantikan semangat-semangat lain yang pernah cuba membela Palestin.
SURAH AL-A’RĀF

7_152

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, akan ditimpa kemurkaan daripada Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang mengada-adakan perkara yang tidak benar” [al-A'rāf  7: 152]
Penghijrahan Ibrāhīm a.s. ke bumi Palestin, berzuriatkan Ishāq dan kemudiannya Ya’qūb serta anakandanya Yūsuf, berakhir dengan penghijrahan keluarga yang mulia berkenaan ke Mesir atas jemputan Yūsuf, ‘alayhim al-Salām.
Kemudiannya di era Mūsa ‘alayhi al-Salām, kedurhakaan demi kedurhakaan Bani Isrā’īl lakukan terhadap para Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada mereka. Kedurhakaan yang dirakam oleh Allah di dalam kisah lembu sembahan di dalam ayat 66 hingga 72 surah al-Baqarah. Surah terpanjang di dalam al-Quran, penuh dengan pelbagai subjek besar Islam, tetapi dinamakan sebagai al-Baqarah bersempena kisah lembu betina, yang merekodkan hakikat kaum durhaka itu.
Di dalam khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Sheikh Hammam Sa’id di Masjid ‘Abd al-Rahmān bin ‘Auf, Sweileh, Jordan kira-kira 20 tahun yang lalu (1994), beliau menegaskan bahawa andai umat Islam alpa daripada hakikat kaum durhaka di dalam kisah lembu betina itu, seluruh isi kandungan surah al-Baqarah akan terlepas daripada tangan umat Islam.
Zaman Mūsa, Yūsha’ bin Nūn, diikuti dengan zaman Dāwūd, Sulaimān hinggalah ke ‘Īsā ‘alayhim al-Salām, mereka mengulangi pelbagai kedurhakaan, malah membunuh para Rasul seperti Zakaria dan Yahya, hingga akhirnya Palestin dikuasai oleh Byzantine, menjadi wilayah bebas Yahudi, dan bertaburanlah mereka dalam kehinaan di era Diaspora menuju era penutup segala Nabi dan Rasul, era Muhammad sallallāhu ‘alayhi wa sallam.
Orang Yahudi bukan jahat kerana genetik. Setiap bayi Yahudi yang lahir, lahir atas fitrah yang sama dengan semua bayi yang lain. Kerana itu, mereka sama seperti kita, ada kecenderungan kepada kebaikan dan kejahatan. Dan atas dasar itu jugalah mereka terus menerus diberi peluang oleh Allah untuk kesalahan, disusuli dengan taubat. Kerosakan, disusuli dengan islah.
Namun mereka mensesiakannya.

7_167

“Dan ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Dia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-A'rāf 7: 167]
Ketika Tuhan Maha Pengampun untuk mengampuni kesalahan, ketika Tuhan Maha Pengasih, untuk berbelas ihsan mengurniakan kebaikan, kaum itu terus menerus memilih jenayah dan kedurhakaan, seperti yang dicatat oleh sejarah.
Dan sepanjang sejarah kejahatan mereka jugalah, Allah timpakan mereka dengan pemerintah-pemerintah yang berkeras terhadap mereka.

7_168

“Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat)” [al-A'rāf 7: 168]
Selepas zaman ‘Īsā ‘alayhi al-Salām, mereka bertebaran. Sebahagiannya datang ke Hijaz, bermastautin di Yathrib (Madinah).
Yahudi tidak menginsafi catatan semalam mereka.
Yahudi tidak bertangguh. Mereka melakukan kejahatan-kejahatan besar dalam musim kehadiran Rasul akhir zaman, yang masih mereka yakini akan muncul dari kalangan mereka sendiri, seperti sebelum-sebelumnya.
Kerosakan pertama, yang dirakam oleh surah al-Isrā’, sebelum kerosakan kedua yang sedang kita saksikan pada hari ini.

jerusalem
SURAH AL-ISRĀ’

17_4

Dan Kami khabarkan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. [al-Isra' 17: 4]
Kejahatan itu ditamatkan di Madinah oleh kehadiran Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam dan para sahabat bersama baginda, menumpaskan kaum perosak yang khianat dan melakukan pelbagai konspirasi.
Bani Nadhir, Bani Qaynaqa’ dan Bani Quraydhah, mengkhianati perjanjian kerjasama mereka sebagai warga Madinah. Mereka diusir dari Madinah. Mereka kemudiannya berkumpul di Khaybar.
Dari jauh, Yahudi bermakar. Di musim Perang al-Ahzāb, mereka berada di belakang kabilah-kabilah Arab musyrikin untuk meneruskan konspirasi mereka terhadap Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam dan umat Islam. Selepas perjanjian Hudaibiyah, mereka diperangi habis-habisan oleh Baginda sallallāhu ‘alayhi wa sallam dan dikalahkan.
Sebahagiannya diizinkan terus tinggal di sekitar daerah itu atas permintaan mereka sendiri dan restu Baginda sallallāhu ‘alayhi wa sallam. Manakala sebahagian yang lain berhijrah ke Palestin. Di zaman ‘Umar bin al-Khattāb radhiyallāhu ‘anhu, selepas terbunuhnya seorang Muslim oleh Yahudi, ‘Umar bertindak mengusir keseluruhannya daripada Semenanjung Tanah Arab. Sebahagian berhijrah ke Sinai dan sebahagian menuju Palestin dan bersatu di sana.
Sabda baginda:

لا يجتمعُ في جزيرةِ العربِ دِينانِ

الراوي: – المحدث: ابن باز – المصدر: مجموع فتاوى ابن باز – الصفحة أو الرقم: 285/3
خلاصة حكم المحدث: صحيح
“Tidak berhimpun di Semenanjung Tanah Arab dua agama” 
Dalam misi menumpaskan kuasa Byzantine di Syam, ‘Umar mengatur tentera Islam di bawah kendalian Khālid bin al-Walid, kemudian Abu ‘Ubaydah ‘Amir bin al-Jarrah untuk menguasai Jerusalem. Patriarch Sophronius memutuskan bahawa Abu ‘Ubaydah bukanlah lelaki pembuka Jerusalem yang termaktub di dalam kitab mereka. Peperangan berterusan lagi dan akhirnya, berlaku dialog di antara wakil paderi dengan Abu ‘Ubaydah.
Jerusalem adalah kota suci. Selain tempat Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad  sallallāhu ‘alayhi wa sallam dan kiblat pertama umat Islam, di kota itu jugalah hidup dan matinya para Anbiya’ yang membawa risalah Tauhid. Apa yang menghubungkan ummah dengan para Rasul itu bukan keturunan, bangsa atau qabilah. Sebaliknya ajaran yang mereka bawa, merentas faktor-faktor lain. Sesungguhnya umat Islam lebih berhak ke atas para Rasul itu berbanding golongan Nasrani, juga Yahudi, yang menisbahkan diri mereka hanya dengan dakwaan, bukan dengan ajaran dan Tauhid.
Abu ‘Ubaydah menawarkan tiga solusi kepada penduduk Jerusalem:
  • Menerima Islam
  • Berdamai dan membayar jizyah
  • Berperang
Cadangan kedua diterima, secara bersyarat. Mereka hanya bersetuju untuk tunduk kepada kekuasaan Islam, apabila pemimpin yang masuk ke Jerusalem adalah pemimpin yang disebut di dalam kitab mereka, iaitulah Amir al-Mu’minin ‘Umar bin al-Khattāb. Abu ‘Ubaydah menghantar jemputan agar ‘Umar hadir ke Jerusalem.
‘Uthman bin Affan berpendapat agar ‘Umar tidak ke Jerusalem. ‘Ali mencadangkan sebaliknya. ‘Umar mengikut pendapat ‘Ali. Selepas solat empat rakaat di Masjid Nabi  sallallāhu ‘alayhi wa sallam, beliau menunggang unta bersama seorang pembantu. Mereka bergilir-gilir menaiki kenderaan untuk sebuah perjalanan yang panjang, seumpama perjalanan 10 tahun yang lalu, dalam Isra’ Nabi Muhammad  sallallāhu ‘alayhi wa sallam sebagai permulaan kepada proses menyatukan kembali al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa yang terpisah oleh Jahiliah.
Di persinggahan akhir sebelum memasuki Jerusalem, tentera Islam mencadangkan agar ‘Umar menukar pakaiannya yang compang camping dengan pakaian yang lebih baik, sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi umat Islam. Unta ‘Umar juga digantikan dengan seekor kuda yang pernah menjadi milik Byzantine. Zubayr ibn ‘Awwām menganggarkan baju putih yang ‘Umar pakai itu berasal dari Mesir dan berharga kira-kira 15 dirham.
Apabila ‘Umar yang telah bersalin pakaian itu cuba menunggang kuda kelabu berkenaan, kuda itu meronta dan ‘Umar terjatuh ke tanah!
Kejadian itu mengejutkan ‘Umar.
Pakaian dan kuda itu hampir-hampir mencemar niat ‘Umar. Beliau membacakan hadith Nabi  sallallāhu ‘alayhi wa sallam:

kibr

“Tidak masuk Syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada walau sebesar zarah sifat ego membangga diri” [HR Muslim]
‘Umar kembali memakai bajunya yang penuh tampal itu, bersama unta tunggangan semenjak awal perjalanan.
Sifat tawadhu’ ‘Umar bin al-Khattāb pada mencontohi Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam itulah yang menjadi pengesahan Patriarch Sophronius di Jerusalem, bahawa beliau adalah pembantu Muhammad, pembuka kota Jerusalem seperti yang termaktub di dalam kitab mereka. Beliau masuk dengan berjalan kaki, pembantunya menunggang unta, kedua kakinya bersalut lumpur dan bajunya bertampal-tampal.
Pintu Jerusalem dibuka, kunci al-Quds diberikan kepada ‘Umar. Beliau masuk dengan ucapan beliau yang dinukilkan oleh Ibn Rahwih dan al-Baihaqi daripada `Abbad ibn `Abdullah ibn al-Zubair:
“Aku di sini ya Allah, kerana-Mu”
Akhirnya, sempurnalah proses Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam hingga ke ‘Umar radhiyallāhu ‘anh menggabungkan al-Masjid al-Haram dengan al-Masjid al-Aqsa seperti zaman Ibrāhīm, seperti zaman Sulaiman dan Saba’ tatkala menerima seruan Tauhid. Dan tersebarnya Tauhid di Semenanjung Tanah Arab hingga ke Palestin itu, menamatkan kerosakan zaman berzaman Yahudi sebagai antagonis besar dunia.
Sungguh teliti, halus dan tepat, deskripsi al-Quran, sebagai lanjutan deskripsi kitab-kitab sebelumnya, tentang hamba-hamba Allah yang memiliki kualiti tertinggi pada akhlaq mereka, yang gagah perkasa, yang bergerak ke seluruh ceruk rantau, untuk akhirnya merealisasikan janji Tuhan.

17_5

Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.[al-Isrā' 17: 5]
ZAMAN KEROSAKAN KEDUA
Allah memilih kita untuk hidup di zaman Yahudi dikembalikan kekuasaan kepada mereka.
Seperti hari ini.
Dan di zaman Yahudi melakukan kerosakan kedua mereka ini (kerosakan terakhir?), Allah meletakkan karakter yang tepat tentang sosio politik dan ekonomi regim Penjajah yang menguasai Palestin itu.
Mereka berkuasa di Palestin, tetapi kekuatan mereka bukan di Palestin.
Kekuatan mereka datang dari luar.

danaluarisrael

Dari sokongan Amerika Syarikat yang membelanjakan USD8.4 juta sehari pada tahun kewangan 2013 pada membiayai regim Yahudi di Palestin. Dan kewangan itu juga hadir melalui jaringan perniagaan antarabangsa, sama ada oleh syarikat Amerika Syarikat yang pro Zionis, mahu pun oleh eksport Yahudi sendiri dengan produk-produk West Bank di seluruh dunia.
Asas ini menjadi dasar penting mengapa gerakan melumpuhkan ekonomi ‘luar ke dalam’ Yahudi masa kini, melalui tindakan boikot mikro dan makro, perlu dijayakan.

17_6

Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka dan Kami perpanjangkan kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. [al-Isra' 17: 6]
Namun, untuk menumpaskan keangkuhan Yahudi di Palestin, bukan hanya mengambil kira kepada faktor tekanan ekonomi dan ketenteraan.
Sebagaimana telitinya karakter orang yang layak menerima kemenangan pertama di zaman ‘Umar bin al-Khattāb dahulu, demikianlah syarat kemenangan pada pusingan kedua ini.

17_7

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.
Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan durhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan) dan untuk memasuki Masjid (al-Masjid al-Aqsa) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. [al-Isra' 17: 7]
Kehancuran kuasa Yahudi di Palestin itu pasti.
Kemenangan orang-orang yang beriman itu pasti.
KUALITI GOLONGAN MENANG
Tetapi di tangan siapa?
Di tangan mereka yang kualitinya adalah sama seperti kualiti ‘Umar dan para sahabat yang memimpin kemenangan pada tahun 16 hijriyyah dahulu. Masuk ke Jerusalem dengan hati yang bersih daripada kemegahan, kesombongan, bahkan apa sahaja tujuan, selain “ya Allah, hamba-Mu di sini!”
Justeru, ujian bagi umat Islam di Palestin adalah ujian besar-besaran Allah kepada mereka.
Pakaian mereka sudah tidak seperti pakaian.
Rumah mereka sudah tidak dapat ditampal.
Hidup mereka sudah tidak seperti kehidupan sesiapa di dunia hari ini.
Dan yang terkorban, beratur menyambut Syahid dan kurniaan Allah berupa Jannah.
Manakala bagi kita yang menuju Syurga yang sama, selagi usaha kita bercampur aduk dengan pertandingan di Facebook dan Twitter, siapa komennya yang lebih bernas, siapa yang pendirian boikot atau tidak boikotnya lebih bijaksana, siapa yang lebih pantas memberi maklumat terkini, siapa yang lebih ada hubungan dengan Palestin, selfie, poster-poster wajah penderma dengan lambang peace di tangan, semua itu hanya pertandingan untuk memenangkan ego.
Bukan untuk membebaskan al-Masjid al-Aqsa.
Dengan sikap sebegini, bukan sahaja kita tidak dapat menyertai masa depan Palestin yang pasti menang itu, pertanyaan yang juga besar ialah, bagaimana dengan masa depan kita sendiri?
Moga kita semua terjatuh dari kuda kemegahan.
Moga baju putih 15 Dirham dari Mesir kita berganti baju koyak bertampal persis baju ‘Umar.
Dan akhirnya kita masuk ke al-Masjid al-Aqsa, membebaskan Palestin, dengan hati ahli Syurga.
Bukan ahli Dunia.
Bukan ahli Neraka.
Bertaubatlah, pada 10 hari terakhir Ramadan ini, demi redha-Nya!




Lailatul Qadar (لیلة القدر‎)

'Lailatul Qadar (Bahasa Arab: لیلة القدر‎) adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadhan. Ayat al-Qur'an diturunkan pada malam ini. Malam ini disebut di dalam al-Qur'an dalam surah Al-Qadr, dan ia lebih baik daripada seribubulan.
Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun menurut beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan, iaitu pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29, ini adalah pandanagn jumhur ulama' dan umat Islam. Malah ada sebahagian kecil ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam ke 22, 24, 26, 28 atau 30 Ramadhan. Ada juga sebahagian ulama berpendapat ia adalah tetap, iaitu pada malam ke 27. Walau bagaimanapun, antara hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir. Majoriti Muslim biasanya berusaha agar tidak mensia-sia malam ini. Mereka akan tekun dan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam. Yang pasti, Lailatul Qadar atau Malam al-Qadar ialah satu malam dalam bulan Ramadhan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa yang beramal pada malam tersebut sama seperti beramal selama 1,000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun 4 bulan, jika mendapatnya selama 10 tahun bersamaan beribadat lebih 833 tahun, jika mendapatnya selama 20 tahun bersamaan lebih 1,666 tahun, jika mendapatnya selama 30 tahun mendapatnya bersamaan 2,500 tahun, berbahagialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat Isyak berjamaah dan solat Tarawih kerana orang yang solat Isyak berjamaah dan solat Tarawih termasuk dari kalangan orang mendapat Lailatul Qadar, dan Rasullah s.a.w. mengatakan sesiapa yang tidak mendapatnya dia adalah tergolong daripada orang yang amat rugi.
1. Sejarah ringkas Malam al-Qadar: Apabila sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. mengkagumi ibadah seorang umat Bani Israil yang beribadah selama 1,000 bulan, dengan beribadah pada malam hari dan berjihad pada siangnya, lalu Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan surah al-Qadar yang menyatakan malam al-Qadar baik daripada 1,000 bulan. Ia adalah rahmat dan kurniaan Allah Ta’ala kepada Umat Nabi Muhammad s.a.w.
BILAKAH LAILATUL QADAR?
1. Lailatul Qadar satu malam dalam bulan Ramadhan yang tidak diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan, terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadhan tersebut. Waktunya dikira apabila masuk waktu Maghrib sehingga terbit fajar. Seluruh ulama sepakat bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar, sebahagian ulama berpendapat malam al-Quran diturunkan itu berlaku pada 17 Ramadhan, Syaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfury dalam kitab Sirah Nabawiyyah mengatakan al-Quran diturunkan pada malam ke 21 Ramadhan.
2. Satu kaedah mengetahuinya, kata Imam Ghazali, kebiasaannya, jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatul Qadar malam ke 29, jika hari Isnin maka Lailatul Qadar malam ke 21, dan jika hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatul Qadar malam ke 27, jika hari Khamis maka Lailatul Qadar malam ke 25, jika hari Sabtu maka Lailatul Qadar malam ke 23. Tetapi kaedah ini bukanlah sesuatu yang muktamad, mungkin ia bertepatan dengannya dan mungkin juga tidak, mungkin juga ia berlaku pada malam yang genap, kerana bagi negara kita ia malam yang genap tetapi bagi negara yang puasa lewat atau awal satu hari, ia adalah malam yang ganjil, jadi carilah dengan tekun pada 10 malam yang terakhir tesebut.
SIAPAKAH YANG MENDAPAT LAILATUL QADAR?
1. Orang yang pasti mendapat sebahagian Lailatul Qadar ialah orang yang solat Fardhu Maghrib dan Isyak secara berjamaah sepanjang bulan Ramadhan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk solat Subuh berjemaah. Sabda Rasulullah s.a.w. “Sesiapa yang sholat ‘Isya` berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiyamulail separuh malam; Dan sesiapa yang sholat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam.” (Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai)

2. Solat tarawih adalah termasuk solat malam kerana ia dilakukan selepas solat Isyak, orang yang solat tarawih dikira solat sunat pada malam Lailatul Qadar, oleh itu tambahkanlah lagi bilangan rakaatnya pada 10 malam terakhir Ramadhan.


APAKAH DOA DAN AMALAN LAILATUL QADAR?

1. Bagi orang yang mendapat Lailatu Qadar ucapkanlah:
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، وَاعْفُ عَنّى وَعَنْ وَالِدَىَّ
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), Suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku dan kedua ibu bapaku.”
2. Banyakkan solat, membaca al-Quran, doa dan zikir. Berdoalah juga dengan lain-lain doa dalam bahasa kita untuk lain-lain kebaikan dunia dan akhirat, janganlah berdoa sesuatu yang buruk.
3. Bacalah walaupun 1 ayat al-Quran sebelum tidur, kerana jika berbetulan dengan malam Qadar pahalanya lebih baik daripada sekali khatam al-Quran pada malam-malam lain. (sebaik-baiknya bacalah 10 kali Surah Al-Ikhlas, iaitu Qul Huwallahu Ahad)
4. Bagi perempuan yang haidh atau nifas, ucapkan zikir-zikir di bawah:
سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلا إِلَهَ إلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
CUACA PADA MALAM LAILATUL QADAR
1. Cuaca malam Qadar sangat tenang dan tenteram, malaikat turun berduyun-duyun sehingga melebih jumlah batu-batu kerikil di muka bumi ini, mereka memberi salam dan aminkan doa mereka yang sedang beribadah, samada solat, berdoa atau berzikir (perempuan yang sedang uzur, haidh atau nifas, juga boleh berdoa dan berzikir walaupun tidak boleh solat).
2. Diriwayatkan dalam satu hadis Imam al-Bukhari, pernah berlaku malam Qadar pada malam yang hujan. Oleh itu jangan abaikan malam yang hujan kerana menyangka ia bukan malam Qadar. Hujan adalah rahmat dari Allah Ta’ala.

CERITA GANJIL YANG BERLAKU PADA MALAM LAILATUL QADAR Terdapat berbagai cerita mengenai tanda-tanda malam Lailatul Qadar iaitu dapat disaksikan kejadian yang ganjil-ganjil seperti air membeku, air berhenti mengalir, pohon kayu tunduk rukuk dan sujud ke bumi dan sebagainya. Sebenarnya, semuanya ini adalah cerita yang tidak dapat ditashihkan kebenarannya, ia tidak disebut dalam al-Quran dan Al-Hadis, jadi ia bukan menjadi pertanda ia malam Lailatul Qadar menurut ilmu agama, ia adalah pengalaman rohani orang-orang tertentu yang sahaja. Lailatul Qadar tetap berlaku tanpa tanda-tanda tersebut dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang ini tetap diperolehi oleh orang-orang yang beramal dengan amalan-amalan kebajikan pada malam tersebut.

Artikel sempena Nuzul Al-Quran | Golongan Yang Berjaya Menurut Al Quran.


Artikel sempena Nuzul Al-Quran | Golongan Yang Berjaya Menurut Al Quran.
Dalam Al Quran banyak kalimah digunakan untuk menggambarkan golongan yang berjaya. Di antaranya ialah ( المفلحون ) yang berasal dari kata dasarnya ( افلح ). Kalimah ini menggambarkan mereka yang berjaya adalah mereka memiliki sifat-sifat tertentu yang ditentukan oleh Allah Ta’ala. Dan kejayaannya itu dijamin dengan balasan setimpal di akhirat.
Firman Allah Ta’ala :
الم ﴿١﴾ ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ﴿٣﴾ وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ ﴿٤﴾ أُولَـٰئِكَ عَلَىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِمْ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿٥﴾
Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya
Al Baqarah : 1-5
الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِندَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ يَأْمُرُهُم بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ ۚ فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنزِلَ مَعَهُ ۙ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٥٧﴾
"Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Al A’raaf : 157
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Ali ‘Imran : 104
لَـٰكِنِ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ جَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ ۚ وَأُولَـٰئِكَ لَهُمُ الْخَيْرَاتُ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ﴿٨٨﴾
(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya.
At Taubah : 88
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٢٠٠﴾
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
Ali ‘Imran : 200
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ﴿٣﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ﴿٤﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ ﴿٨﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ ﴿٩﴾ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ ﴿١٠﴾ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ﴿١١﴾ وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن سُلَالَةٍ مِّن طِينٍ ﴿١٢﴾
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
Al Mukminun : 1 -12
لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ أُولَـٰئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ ۖوَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ رَضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ أُولَـٰئِكَ حِزْبُ اللَّـهِ ۚ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّـهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿٢٢﴾
Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.
Al Mujadalah : 22
Kesimpulan sifat-sifat golongan yang berjaya menurut
Al Quran, di antaranya ialah :
1. Beriman kepada Allah Ta’ala dan seluruh rukun-ruku keimanan.
2. Bertakwa kepada Allah dengan menjunjung seluruh perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
3. Memelihara hubungan dengan Allah Ta’ala dan hubungan sesama manusia seperti mendirikan solat dan member infaq kepada manusia.
4. Beriman kepada Rasul dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran).
5. Berada dalam jamaah dan melakukan dakwah amar makruf dan nahi mungkar.
6. Berjihad fi sabilillah dengan harta dan jiwa raga serta bersabar menghadapi perjuangan.
7. Memiliki sifat-sifat keimanan yang sempurna iaitu memelihar solat dan khusyuk dalam solat, berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia, menjaga kehormatannya, menjaga amanah dan janjinya.