Perjuangan itu Pahit kerana Syurga itu Manis

Kita seringkali melihat ayat yang berbunyi ‘Dinilai Sahih oleh Albani’ atau ‘Dinilai Hasan oleh Albani’. Tahukah kita siapa itu Albani?
Beliau adalah salah seorang imam Ahli Sunnah Wal Jamaah pada abad ini. Beliau mengorbankan seluruh sisa hidupnya demi mengabdikan diri kepada Allah. Malah, beliau bukan sahaja dikenali sebagai seorang ulama hadis bahkan beliau adalah salah seorang di antara barisan para ulama yang mendapat gelaran sebagai pembaharu Islam (Mujaddid al-Islam)
Beliau adalah Muhammad Nasiruddin bin Nuh atau lebih dikenali dengan panggilan Abu Abdurrahman – lahir pada tahun 1914 Masihi di ibu kota Albania dalam sebuah keluarga yang sangat sederhana dan sibuk dengan ilmu agama. Bapanya, Haji Nuh merupakan salah seorang ulama besar Albania pada masa itu. Ayahnya pernah menuntut ilmu di Istanbul, Tuki, kemudian kembali semula ke Albania untuk mengajarkan ilmu dan berdakwah. Lingkungan keluarga yang menaungi Shaykh Albani ketika masih kanak-kanak, penuh dengan cahaya Islam , dan tampak sangat terjaga dalam setiap sisi.
Ketika Ahmad Zogo menjadi raja Albania, dia mula melancarkan pelbagai perubahan aturan sosial besar-besaran bagaikan hantaman hebat yang menggoncangkan pondasi orang-orang Islam. Tindakan yang dilakukan oleh raja Ahmad Zogo tersebut sama dengan apa yang dilakukan oleh pemerintah Turki, Mustafa Ataturk; di mana para wanita Albania diharuskan menanggalkan hijabnya, sehingga rangkaian fitnah dan malapetaka pun tak terhindarkan. Sejak saat itu, kaum muslimin yang bimbang akan agama mereka mengambil langkah untuk berhijrah ke negara-negara lain.
Antara keluarga yang pertama berhijrah adalah keluarga Syaikh Haji Nuh, yang membawa agama dan keluarganya ke Syria. Termasuk di dalamnya, sang Imam kecil, Muhammad Nasiruddin al-Albani.
Di Damsyiq, lelaki kecil Muhammad Nasiruddin mula menimba ilmu dengan mempelajari Bahasa Arab di Madrasah Jam’iyah al-Is’af al-Hairi. Di sanalah beliau mula bertapak dalam dunia ilmu dan kemudian mendaki kemuliaan sebagai seorang alim. Insan yang pertama menanamkan pengaruh dalam dirinya adalah bapanya sendiri, Haji Nuh, yang merupakan salah seorang ulama Madzhab Hanafi dikala itu. Untuk beberapa lama beliau mengikuti mazhab Hanafi yang diajar oleh bapanya.
Walau bagaimanapun, hidayah Allah sentiasa datang kepada orang yang dikehendaki kebaikan pada dirinya. Setelah itu beliau muncul sebagai seorang yang tidak terkekang dalam Madzhab tertentu. Begitulah Albani, beliau muncul sebagai seorang pemuda yang unggul dalam kajian hadis, dan bertukar dari satu majlis pengajian ke majlis pengajian yang lain demi menimba ilmu.
Tindakan beliau dalam menuntut ilmu sangat tepat dan seiring dengan kehidupan beliau sehingga untuk menyara kehidupannya, dia mesti bekerja sebagai tukang baiki jam. Namun, semua itu sama sekali tidak menghalang beliau untuk menjadi seorang alim yang besar pada masa depan.
Berkat jerih payah sang Imam dan taufik dari Allah swt, sejumlah karya tulisan beliau mula diterbitkan dari tangan beliau dalam pelbagai disiplin ilmu seperti fiqh, akidah dan terutamanaya dalam ilmu hadis yang memang merupakan kepakaran beliau; yang menunjukkan kepada dunia ilmiah, luasnya ilmu yang telah Allah anugerahkan kepada beliau; berupa pemahaman yang sahih, ilmu yang luas, dan kajian yang mendalam tentang hadis, dari pelbagai sisi. Ditambah lagi dengan jalan beliau vang lurus dan menjadikan al-Qur’an serta as-Sunnah sebagai kayu ukur dan penentu segala sesuatu. Semua itu menjadikan sang Imam muncul sebagai seorang yang hebat dan menjadi rujukan ahli ilmu dan dengan keutamaan vang ada pada dirinya, beliau dikenali oleh pelbagai kalangan. Ketika Universiti Islam Madinah mula ditubuhkan yang dipelopori oleh Syaikh Muhammad bin Ibrahim Alu Syaikh at-Tamimi yang saat itu adalah Mufti Kerajaan Saudi Arabia, Shaykh Albani dipilih untuk menjadi pensyarah Kuliah Hadis di sana.
Di sana sang Imam sempat mengajar dan mengharungi pelbagai suka dan duka selama tiga tahun. Pada masa itu, beliau menjadi contoh dan teladan. Kesungguhan dan keikhlasan beliau mengabdikan diri pada ilmu sehinggakan beliau sering kali bersama para pelajarnya di atas padang pasir pada waktu rehat di antara mata pelajaran, demi menjawab pertanyaan dan berbincang dengan pelajar-pelajar beliau.
Beliau adalah seorang yang sangat rendah hatinya sehinggakan beliau menjadi salah seorang dari pelajar apabila beliau bersama dengan pelajar-pelajarnya. Tidak hairanlah kereta peribadi beliau sentiasa dipenuhi dengan para pelajarnya yang ingin mengambil faedah dari ilmunya.
Beliau telah menghasilkan tidak kurang dari 119 karya yang sudah dicetak dan masih banyak lagi dalam bentuk manuskrip. Karya beliau terkenal kerana mempunyai kesimpulan-kesimpulan yang terperinci dan cermat. Ini menjadikan beliau sebagai rujukan para ulama dan para penuntut ilmu di bagi negara-negara Islam. Berikut adalah beberapa hal yang menggambarkan kedudukan beliau dalam dunia Islam:
  1. Beliau terpilih sebagai anggota pada dewan kajian hadis yang dibentuk oleh Mesir dan Syria bagi memimpin jawatankuasa penerbitan buku-buku Sunnah.
  2. Beliau juga menjadi pensyarah bidang hadis di Universiti Islam Madinah. Bahkan kemudian beliau dipilih sebagai anggota dewa reaktor di universiti tersebut pada 1381H hingga 1383H, kemudian beliau diambil kembali menjadi anggota dewan reaktor Universiti Islam Madinah pada 1395H hingga 1398H.
  3. Beliau juga pernah diminta menjadi pensyarah di Universiti as-Salafiyah, India, tetapi beliau menolaknya.
  4. Beliau juga pernah diminta oleh Menteri Wakaf Saudi Arabdia, Syaikh Hasan Abdullah asy-Syaikh, untuk menjadi pensyarah ilmu hadis di Universiti Makkah al-Mukarramah.
  5. Perpustakaan azh-Zhahiriyah, di Damasyiq telah menyediakan satu ruang khusus bagi beliau mengkaji dan meneliti terhadap hadis.
Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz (mantan Mufti Arab Saudi) mengatakan:
“Saya tidak pernah mengetahui seorang pun di atas bumi ini yang lebih alim dalam bidang hadis pada masa kini yang dapat menandingi Syaikh Albani rahimahullah”
Selain itu, Yusuf al Qaradhawi pernah berkata:
“Syaikh Albani adalah seorang Ahli hadits yang masyhur dari zaman dahulu dengan ilmu takhrij haditsnya dan menurutku Syaikh Albani adalah Ulama hadits yang paling masyhur pada zaman sekarang ini dan ulama yang pakar dalam ilmu takhrij hadis baik dalam menshohihkan dan melemahkan hadis”
Beliau wafat pada hari Sabtu 22 Jamadil Akhir 1420 H. Jenazah beliau dipersaksikan dengan iringan ribuan para pelawat dari pelbagai negara. Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada sang imam yang telah berjasa besar terutamanya dalam bidang hadis sehingga manfaatnya sampai kepada kita pada hari ini.