Sebahagian AJK Muslimin sesi 12/13 dan sesi 13/14 ketika Muktamar Tahun Lepas Sebahagian AJK Muslimat sesi 12/13 dan sesi 13/14 ketika Muktamar Tahun Lepas PERPPIS!!! Gambar FB PERPPIS TAWAU

Sambutan Hari Kekasih Salah di Sisi Islam


Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta sebagai hari untuk memperingati dan meluahkan cinta sejati kononnya kepada pasangan masing-masing. Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian. Lantas, remaja Islam di Malaysia diseru agar tidak terpengaruh dan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine Day) yang disambut pada 14 Februari ini. Sudah jelas bahawa sambutan Hari Kekasih ini salah di sisi agama Islam dan bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri.

Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama kristian dan menjurus kepada kebobrokkan akhlak. Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas. Hari yang dianggap “hari berbulan madu” bagi remaja sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah demi membuktikan cinta mereka kepada kekasih masing-masing. Sesungguhnya budaya meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara aqidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam.

Dalam erti lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan maksud firman Allah s.w.t

“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku. ” (Surah Al-Kafirun ayat 1-6 )

Melalui sejarah Valentine, jelas ianya dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang Pa

deri yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada II (268-270M ).

Bermula dari kisah ini mereka telah mengabdikan St. Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St.Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.

Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih dan menghindari perkara-perkara yang boleh membawa kepada sikap untuk meraikannya. Berikut adalah sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih :

1- Sikap untuk keluar berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

2- Menghantar kad-kad ucapan yang tertera kata-kata Valentine Day dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.

3- Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

4- Kebanyakan negara-negara Barat, parti-parti diadakan sempena hari tersebut disambut dengan pesta seks dan tari-menari. Kebanyakan mereka menghantar hadiah-hadiah seperti bunga ros dan sekotak coklat kepada sesiapa yang mereka cintai.

5- Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

Namun, segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati untuk mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut sehingga mengheret ke lembah makisat. Ironinya, remaja menganggap sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang dicintainya.

Sesungguhnya perbuatan ini juga bercanggah dengan syara’ kerana ianya juga menyumbang berlakunya perkara maksiat dan zina.

Firman-Nya:“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.” 9Surah Al-Isra’ ;32)

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melalukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi juga agar lebih proaktif untuk memastikan tidak wujud program sambutan kepada hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.

Secara kesimpulannya, Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari dan tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy ialah salah satunya mereka yang berkasih sayang ( bertemu dan berpisah ) kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT : 'Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.' Surah al-Ghaafir: 39


Oleh : Ar-Rijal

Tarikh : 21/01/10 (11.26am)

Tempat: Bilik Gerakan



Tabarruj

Takrif
1) Keluar berjalan dengan berlenggang-lenggok di hadapan lelaki iaitu gaya berjalan yang
keterlaluan
2) Meletakkan selendang di atas kepala iaitu tidak menyimpulkannya dengan sempurna
3) Menurut Ibnu Katsir tabarruj adalah wanita yang berjalan antara kaum lelaki dengan
menampakkan auratnya
4) Menurut Abu Ala' Al-Maududi, tabarruj boleh disifatkan dengan 3 ciri iaitu :
i)memperlihatkan kecantikan wajah dan bahagian-bahagian yang boleh meransang lelaki
ii)memperlihatkan kecantikan pakaian dan perhiasan kepada lelaki
iii)memperlihatkan diri dengan gaya jalan yang berlenggang-lenggok

Tabarruj yang diharamkan
1) Tabarruj di luar rumah iaitu berhias bukan untuk suami
2) Menampakkan kecantikan tubuh badan dan wajah dengan tujuan untuk meransang lelaki
3) Menampakkan kecantikan pakaian
4) Berjalan dengan lenggang yang boleh mempesonakan kaum lelaki
5) Bersolek dan berhias secara melampau bukan niat untuk suami
6) Menggunakan alat-alat kosmetik bukan untuk suami
7) Mencantikkan rupa paras seperti membentuk alis mata bukan untuk suami

Ciri-Ciri Pakaian Yang Menepati Syarak
1) Pakaian mesti menutup aurat
2) Pakaian mesti longgar
3) Tidak terlalu nipis atau lutsinar yang boleh menampakkan kulit
4) Bukan untuk bermegah
5) Tidak unsur untuk menunjuk-nunujuk
6) Pakaian tidak menyerupai lelaki

Catatan Pengalaman Ekspedisi Dakwah 2009


Hari pertama bermula dengan harapan yang menggunung dalam diri kami.Kami telah diarahkan berkumpul seawal pukul 7 pagi di pejabat PASTI Tawau.Lebih kurang pukul 9.30 pagi kami akhirnya bertolak setelah selesai menunaikan solat sunat hajat secara berjemaah supaya ekspedisi ini sentiasa diberkati Allah dan dapat berjalan dengan lancar.Perjalanan menuju destinasi pertama iaitu Pekan Semporna kami mulakan dengan membaca Ummul Al-Quran dan bacaan doa dari seorang peserta muslimin. Kemudian, kuliah bergerak pertama yang disampaikan oleh Presiden PERPPIS Sesi 2008/2009 mengisi kekosongan waktu sepanjang perjalanan. “Disangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari “, itulah pepatah yang dapat menggambarkan peristiwa yang menimpa kami ketika itu. Bas yang kami naiki telah mengalami kerosakan yang agak serius di Kg Tagasan, Semporna sehingga terpaksa menunggu bas lain yang akan menggantikan bas tersebut dari Bandar Tawau.

Azan yang berkumandang ketika itu memanggil kami untuk menunaikan solat sunat Jumaat di Masjid Inabah Kamal yang terletak berhampiran.Penasihat Am PERPPIS juga mengarahkan agar menunaikan solat Asar yang dijama’ takdim secara berjemaah pada masa waktu itu. Setelah menikmati makan tengahari, akhirnya penantian kami selama hampir 4 jam yang disertai dengan hujan berakhir. Bas yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba.Kami meneruskan perjalanan ke Pekan Semporna. Setibanya di sana, “Ops Buletin” yang pertama berjalan.

Seterusnya, kami mula bergerak ke Lahad Datu. Perancangan untuk menjalankan “Ops Buletin” di Kunak terpaksa kami batalkan memandang terdapat kekangan masa. Meskipun kami tiba pada malam hari, namun “Ops Buletin” tetap kami jalankan. Pengalaman menjual buletin dan munjiyat pada waktu malam sangat menguji kesabaran. Kami menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Al-Raudhah, Lahad Datu sebelum meneruskan perjalanan ke Kinabatangan.

Setelah menunaikan solat Subuh secara berjemaah di Masjid Al-Ghaffar, Kinabatangan, ekspedisi pada hari kedua diteruskan dengan penyampaian kuliah subuh oleh Cikgu Mohd Nasir selaku Penasihat Am Perppis yang sangat menarik perhatian kami. Dari kuliah tersebut, kami dapat memahami konsep sebenar ‘Tabarruj’ dalam Islam. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Sandakan. Seperti biasa, kuliah bergerak yang disampaikan oleh peserta Ekspedisi Dakwah menjadi halwa telinga kami.

Setibanya di Sandakan, kami meneruskan penjualan buletin dan munjiyat di Bandar Utama Sandakan. Sambutan yang kami dapat sangat menggalakkan memandangkan ketika itu terdapat ramai anggota masyarakat yang berkunjung ke bandar. Dalam kesibukan kami mengadakan “Ops Buletin”, beberapa orang dari kalangan peserta ekspedisi telah membantu seorang remaja lelaki yang telah dilanggar oleh sebuah kereta. Remaja tersebut sedang menolak kereta sorong yang berisi buah langsat untuk dijual. Malangnya, sebuah kereta telah melanggarnya dari belakang sehingga menyebabkan buah tersebut berhamburan di atas jalan raya. Sifat keprihatinan dan tolong-menolong yang menghiasi akhlak beberapa orang peserta ekspedisi tersebut telah mendorong mereka untuk membantu. Kami menunaikan solat Zohor dan Asar di Masjid Daerah Sandakan dan menjamah makanan tengahari di situ. Kami telah melawat ke Taman Buaya Sandakan sebelum meneruskan perjalanan ke Pekan Beluran. Perasaan hampa menghiasi hati kami apabila “Ops Buletin” yang kami jalankan kurang mendapat sambutan penduduk di pekan tersebut. Namun, perkara ini tidak akan pernah melunturkan semangat kami. Kami singgah sebentar di Masjid Jamek Daerah Beluran untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta menikmati hidangan makan malam. Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Telupid dan bercadang untuk bermalam di Masjid Jamek Darul Huda Telupid.

Dalam perjalanan, kami diuji sekali lagi apabila tersesat jalan. Setelah berbincang sesama peserta ekspedisi, akhirnya kami mengambil keputusan untuk berpatah balik berpandukan arahan yang diberikan oleh Cikgu Mohd Nasir untuk sampai ke Masjid Jamek Darul Huda Telupid.

Hari ketiga Ekspedisi Dakwah kami teruskan dengan Qiamullail dan solat Subuh secara berjemaah. Cikgu Mohd Nasir pula menyampaikan kuliah Subuh dan sedikit taklimat tentang ekspedisi pada hari berkenaan. Setelah menikmati sarapan pagi, kami meneruskan perjalanan ke Pekan Telupid dengan harapan bahawa “Ops Buletin” akan mendapat sambutan di sini. Alhamdulillah, penjualan buletin di Pekan Beluran tidak menghampakan meskipun kami menyedari bahawa sebahagian besar penduduk di sini adalah bukan beragama Islam. Pekan Ranau pula menjadi destinasi kami yang seterusnya. Dalam perjalanan, kami telah singgah di Masjid Jamek Ar-Rahman, Ranau untuk menunaikan solat Zohor dan Asar. Sebelum meneruskan penjualan buletin dan munjiyat, kami telah menikmati makanan tengahari di masjid tersebut. Setelah itu, kami pun terus menggiatkan operasi “Ops Buletin” di Pekan Ranau. Kemudian perjananan diteruskan ke Kundasang. Sepanjang perjalanan ke sana, hati tidak pernah lalai daripada mengingati Kebesaran dan dan Keesaan Allah SWT dengan melihat pemandangan indah Gunung Kinabalu dan sekitarnya. Subhanallah!Hanya itu yang mampu kami ucapkan.

Pemandangan yang sungguh indah itu menyedarkan kami bahawa betapa kerdilnya diri di hadapan Allah yang Maha Berkuasa. Suasana dingin pula mula menyelimuti diri ketika itu. Sesampainya di Kundasang, kami tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan gambar kenangan. Azan yang berkumandang kami sahut dengan segera. Kami menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Jamek Daerah Kundasang. Setelah menjamu makan malam, kami dihidangkan pula dengan santapan rohani iaitu kuliah Al-lail yang disampaikan oleh Penasihat Am Perppis.

Keesokan harinya, kami bangun dengan suasana dingin yang masih membelenggu diri. Dengan sedikit kecekalan, kami gagahkan juga bangun untuk mengambil air sembahyang dan seterusnya menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Setelah hemat diri, kami mengambil peluang yang ada untuk berjalan-jalan di Pekan Kundasang sambil menikmati udara yang nyaman. Setelah menikmati sarapan pagi, ekspedisi kami teruskan dengan penjualan buletin di Pekan Kundasang. Lebih kurang pukul 11.00 pagi, kami telah berpeluang mengadakan lawatan ke “Kundasang War Memorial” . Di sana, kami telah melihat pelbagai tinggalan perang dan berpeluang berinteraksi bersama sebuah keluarga yang berasal dari Australia. Kami sempat bertanyakan beberapa soalan mengenai pendapat mereka tentang agama Islam dan sebagainya. Pekan Tuaran menjadi destinasi kami yang seterusnya untuk menjalankan “Ops Buletin”.Dalam kesempatan masa yang ada, kami telah menziarahi beberapa buah rumah di kawasan pedalaman Tuaran untuk memberikan sedikit sumbangan. Dari Tuaran, kami telah bertolak untuk pergi ke Kuala Penyu. Namun, ketibaan kami disambut dingin oleh pengurusan sebuah masjid di daerah tersebut. Menurut pengerusi masjid, prosedur masjid tidak membenarkan mana-mana rombongan musafir untuk bermalam di sana. Kami terima dengan redha keputusan tersebut. Setelah menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah dan makan malam, keputusan syura para peserta program adalah meneruskan perjalanan ke Beaufort.

Seperti biasa, setelah menunaikan solat Subuh, kami mendengar kuliah Subuh dari Cikgu Mohd Nasir. Walaupun masih berada dalam keletihan, kami tetap bersemangat untuk meneruskan “Ops Buletin” yang terakhir di Pekan Beaufort. Alhamdulillah, urusan kami telah dipermudahkan. Kami berjaya mencapai sasaran untuk menghabiskan buletin dan munjiyat setibanya di Pekan Beaufort. Seterusnya, perjalanan Ekspedisi Dakwah 2009 diteruskan ke Pekan Membakut setelah menunaikan solat Zohor dan Asar di Masjid Daerah Beaufort. Di Pekan Membakut, kami diarahkan oleh pengarah ekspedisi untuk menemu bual masyarakat tempatan. Persinggahan kami tidak lama di pekan tersebut kerana kami akan meneruskan perjalanan ke Pekan Bongawan, di mana aktiviti yang sama dijalankan. Melalui temu ramah kami di kedua-dua pekan tersebut, kami dapati kebanyakan masyarakatnya adalah beragama Islam dan berketurunan Brunei. Meskipun Papar bukan destinasi dalam perancangan kami, namun kami tetap singgah dan bermalam di Masjid Daerah Papar. Pada sebelah malam, kami telah membuat sedikit pengisian tentang pengalaman masing-masing pada hari pertama dan kedua ekspedisi. Pelbagai coretan pengalaman menghiasi malam itu.

Hari keenam Ekspedisi Dakwah 2009 diteruskan dengan kuliah subuh dan penyampaian kuliah oleh beberapa orang peserta ekspedisi. Setelah hemat diri dan mengemas barangan, kami meneruskan ekspedisi ke Penampang. Bas yang kami naiki telah membawa kami ke Bandar Penampang. Saudara Mohd Idham selaku pengarah ekspedisi telah mengarahkan supaya berkumpul semula tepat pukul 5 petang. Kami mengambil peluang ini untuk berjalan-jalan sekitar Bandar Penampang dan tidak ketinggalan juga terdapat beberapa peserta yang membeli-belah. Seterusnya, kami bergerak ke Masjid Nurul Hikmah Penampang untuk bermalam di sana. Sebelum tidur, Cikgu Mohd Nasir telah menyampaikan kuliah Al-Lail yang terakhir dalam ekspedisi kali ini. Amanat supaya terus Istiqamah dalam jemaah dan program Islam disampaikan kepada semua peserta khususnya mantan-mantan Perppis sesi 2008/2009.
Keesokan hari, kami telah bangun seawal mungkin bagi mengelakkan berlaku keterlewatan. Mengikut perancangan, pada hari tersebut kami akan membuat lawatan ke beberapa tempat sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. Ketika dalam perjalanan ke Wisma MUIS, sekali lagi kami diuji apabila terlibat dalam insiden kemalangan jalan raya. Mujurlah kemalangan ini tidak mengakibatkan apa-apa kecederaan, hanya cermin kereta telah pecah. Manakala lampu bas yang kami naiki juga telah pecah di bahagian hadapan. Keterujaan untuk mengadakan lawatan tidak luntur dengan insiden ini. Kami masih meneruskan perjalanan. Setibanya di Wisma Muis, kedai buku telah menjadi sasaran utama kami. Setiap peserta membeli buku-buku Islamik kegemaran masing-masing. Seterusnya, ekspedisi diteruskan dengan mengadakan lawatan ke Muzium Sabah. Perasaan kagum jelas terpancar di wajah para peserta apabila melihat bahan-bahan yang dipamerkan. Muzium Tamadun Islam juga kami lawati yang terletak tidak jauh dari Muzium Sabah. Sebelum meneruskan perjalanan, kami singgah sebentar di Wisma SESB untuk menunaikan solat Zohor dan Asar. Kami tidak ketinggalan juga singgah di Kompleks Karamunsing. Makan tengahari kami nikmati di Masjid Negeri Sabah kerana hujan telah turun. Kemudian, Wisma DBP menjadi destinasi kami yang seterusnya. Alangkah bertuahnya kami kerana ‘Mega Sale’ sedang berjalan di wisma tersebut. Masing-masing tidak mahu ketinggalan untuk membeli pelbagai jenis buku ilmiah yang ditawarkan dengan harga yang murah. Lawatan terakhir kami adalah ke Centre Point Kota Kinabalu. Sebelum bertolak balik ke Tawau, kami singgah solat sebentar di Masjid Negeri Sabah. Sekitar pukul 10.00 malam, kami berangkat pulang ke Tawau.

Apabila azan Subuh berkumandang, bas yang kami naiki telah berhenti sebentar untuk menunaikan solat di Masjid Ali Yusuf, Kinabatangan. Kami telah tiba di Tawau lebih kurang pukul 10.00 pagi. Sebelum masing-masing pulang ke rumah, gambar kenangan sempat diabadikan. Pengalaman berekspedisi selama lapan hari tidak akan kami lupakan sampai bila-bila. Suka dan duka yang telah tercoret dalam Ekspedisi Dakwah 2009 akan tersemat dalam hati kami buat selama-lamanya. Mudah-mudahan ekspedisi kali ini tidak sia-sia dan ada manfaat untuk para peserta dan agama yang tercinta.....

Nukilan,
Srikandi Taqwa
11 pm
1 Januari 2009

ISTIMEWA EKSPEDISI

Perjalanan menggalas sebuah dakwah
Menunaikan amanah sebagai khalifah
Meninjau setiap pelusuk negeri Sabah
Moga iman dan takwa segar bercambah

XPDC ini satu perjuangan
Menuntut pelbagai pengorbanan
Satu kembara yang membina iman
Menguji swadaya seorang insan

Meneliti sebuah perjalanan
Mendidik takwa dan iman
Tegakkan makruf nahi kemungkaran
Matlamat al-Quran dan As-Sunnah jadi pegangan

Menyelusuri jalan dakwah ini
Pelbagai rintangan yang ditempuhi
Semua menguji diri
Untuk memantapkan tarbiah dan kendiri

XPDC ini mengimbau pelbagai memori
Menyingkap perjalanan sirah nabi
Untukku merenungi dan menjejaki
Betapa mencabarnya perjuangan ini

XPDC ini menjalin ukhwahfillah
Disemai dan diratib dengan reda Allah
Walaupun acap kali berselisih
Namun ukhwah yang dibina tetap Indah

XPDC ini terlalu bererti
Bagi insan berjiwa hamba abdi
Perjalanan yang dipenuhi onak dan duri
Ia akan kekal terpahat di sanubari

Oleh : imtiyazkhairunnisa
Tarikh: 02/12/2010 (12.15 tengahari)
Tempat : pejabat

Penjualan takwim solat


Takwim solat baru-baru ini telah diedarkan disekitar tawau oleh AJK PERPPIS Bahagian Tawau dengan harga penjualan takwim tersebut hanya RM3.50 sahaja. Al-Hamdulillah, takwim yang telah dikeluarkan sebanyak 4,000 telah mendapat sambutan dan kini hanya tinggal 1,000 sahaja lagi. Jika berminat dengan pembelian takwim solat untuk tahun 2010/1431H bolehlah mendapatkannya di kedai BUSANA MUSLIM atau terus menghubungi pihak kami secara lanjut di nombor yang tertera 0128610033...

Oleh: kembara-syabab

"Membangun bersama Islam"

keperibadian remaja muslimat

Akal mengatakan muslimat itu cantik,
disebabkan,
ilmu dan kepintarannya.
Hati mengatakan muslimat itu cantik,
disebabkan,
penampilan dan akhlaknya.
nafsu mengatakan muslimat itu cantik,
disebabkan,
paras rupanya.
kepada kaum hawa....
usahlah berbangga dengan kecantikan paras rupa mu,
kerana....ia cuma di cintai oleh nafsu...
bukan akal atau hati...
sesungguhnya orang yang ikhlas mencintaimu,
adalah orang yang mencintai dari sudut
akal dan hatinya.
RENUNG-RENUNGKANLAH muslimat yang di cintai

Ditulis oleh: syabab kuhara

PETUA-PETUA DOA MAKBUL

Petua-petua doa makbul
(bingkisan untuk remaja)

Antara petua doa makbul adalah:

1. Berdoa dengan ikhlas kepada Allah
2. Memulakan dengan pujian kepada Allah, diikuti dengan selawat kepada Nabi s.a.w.
Sekurang-kurangnya kalimah pujian kepada Allah dan selawat
3. Mengakhiri doa dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Nabi s.a.w juga.
4. Bersungguh-sungguh ketika berdoa, menghadirkan hati dan meyakinkan diri pada
penerimaannya oleh Allah s.w.t
5. Berdoa dengan khusyuk dan rendah diri.
6. Berdoa dengan penuh pengharapan dan mengangkat kedua tangan.
7. Berdoa dan sabar menanti untuk dimakbulkan Allah. Sikap terburu-buru mengakibatkan doa ditolak . Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
" dikabulkan doa seseorang dari kalian selama dia tidak terburu-buru. Dia berkata: Aku sudah berdoa, tapi Allah tidak mengabulkannya." ( Riwayat al-Bukhari dab Muslim )
8. Sentiasa berdoa pada setiap masa, sama ada ketika senang atau susah.
9. Tidak berdoa tentang perkara keburukan, seperti mendoakan kecelakaan bagi orang lain dan memutuskan silaturrahim.
10. Tidak berdoa paada tempat maksiat.
11. Merendahkan suara.
12. berdoa dengan mengulangkannya.
13. Menghadap ke arah kiblat.
14. Mengangkat kedua-dua belah tangan ketika berdoa.
15. Berdoa dalam keadaan berwuduk.
16. Hendaklah bertaubat kepada Allah sebelum memohon hajat.
17. Tidak bersajak dalam berdoa dengan tujuan diperindahkan bagi orang yang mendengarnya.
18. Menggunakan ayat-ayat yang ringkas tapi padat dengan makna.
19. Menyeru Allah s.w.t dengan nama-nama-Nya yang mulia.
20. makanan dan minuman mestilah daripada sumber yang halal, kerana Allah menolak doa oleh orang yang makan dan dibesarkan daripada sumber yang haram.
21. Hendaklah melakukan Amar makruf dan nahi mungkar
22. Hendaklah mendoakan diri sendiri sebelum mendoakan bagi orang yang lain.
23. Menghimpunkan anak-anak jari kesemuanya melainkan ibu jari kerana kesemua itu menghimpunkan kebaikan dunia dan akhirat.
24. Menyapu muka dengan tangan setelah selesai berdoa.
25. Mengaminkan doa yang dibacakan.


REMAJA HARI INI MEMANG HEBAT



Bukannya dongeng ataupun hikayat
Cerita benar lagi tersurat
Saja nak bagi tau, bukannya mengumpat
Remaja hari ini memanglah hebat


Datang sekolah kalau boleh nak lambat
Waktu balik semedangnya nak cepat
Terkejar-kejar macam budak darjah empat
Alangkah seronoknya kalau dapat balik jam 10 tepat?


Duduk di rumah pun bukannya ada apa dia nak buat
Di depan televisyenlah dia terlopong terkulat-kulat
Kot-kotlah dia nak baca buku ke… nak tambah ibadat
Jangan diharap. Dia liat sehabih-habih liat


Setiap minggu turun ke pekan tak pernah lambat
Sanggup dia naik bas macam sardin sikit punya sendat
Merayau, melepak, mengorat dan diorat
Solat Zohor dan Asar entahlah kat mana dia buat


Sudah jadi ‘trend’ gadis-gadis Melayu hari ini pakai baju yang nampak pusat
Maka terpamerlah daki-daki yang tersumbat
Kononnya dia pakai begitu supaya waktu dia turun bas semua mata kagum melihat
Dialah yang paling seksi, lagi canggih dan punya perut yang berkarat


Dua hari lagi nak periksa dia buat kelam-kabut
Jadual ‘study; baru dia nak lekat
Rajin pulak dia ke masjid, apakah dia sudah bertaubat?
Entahlah… tapi yang pastinya… remaja hari ini memang hebat


Langkah pertama berutus surat
Langkah kedua jumpa menatap
Langkah ketiga duduk rapat-rapat
Langkah keempat… ditangkap, dibawa mengadap ustazah ataupun ustaz


Hanya sekadar inilah yang sempat
Semoga kita ambil manfaat
Nasihat kita jadikan azimat
Remaja hari ini memang hebat


Oleh : imtiyazkhairunnisa

Tarikh : 11/12/2009 (12.40 tengahari )

Tempat : pejabat

Jom Dengar Al-Quran

Listen to Quran

Contact Us

Name

Email *

Message *