Sebahagian AJK Muslimin sesi 12/13 dan sesi 13/14 ketika Muktamar Tahun Lepas Sebahagian AJK Muslimat sesi 12/13 dan sesi 13/14 ketika Muktamar Tahun Lepas PERPPIS!!! Gambar FB PERPPIS TAWAU

Di Mana Dia Di Hatiku


Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.

Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."

Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.

Ketika di ambang maut?

Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"

Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."

Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.

Ketika tiada siapa mengetahui?

Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"

"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."

"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.

"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.

Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.

Ketika kamu tiada jawatan?

Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.

Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.

Lalu, di mana Dia dihati kita?

Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?

Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?

ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!

Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);

"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."

Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?

Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?

Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?

Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?

Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?

Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.

Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri

Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"

Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."

Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.

Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.

Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"

Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."

Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.

Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.

Dan kita akan terus mengemis kasih...

- Artikel iluvislam.com

Ikhlas dariku (Rajie)


Aku bukan
seperti engkau sangkakan
pura-pura di dalam berjuang
Aku tidak pandai
menyulam rahsia
juga tak pandai
bermadah pujangga

jika ada benci di hati
oh katakanlah padaku..
relaku terima walau kutukan
asalkan aqidah terjaga..
kerana tidak sanggup lagi..
mempermainkan dustur Ilahi..
hakikat
hati tak terluka
walau zahirnya ada yang ketawa..

Tuhan,
ku mohonkan keampunan
keterlanjuran
yang berulang kali
teman,
kita patrikan di sini
berakhir sebuah lamunan duniawi
terima syukur taufiq Ilahi..

Aku bukan
seperti engkau sangkakan
pura-pura di dalam berjuang
Aku tidak pandai
menyulam rahsia
juga tak pandai
bermadah pujangga

jika ada benci di hati
oh katakanlah padaku..
relaku terima walau kutukan
asalkan aqidah terjaga..
kerana tidak sanggup lagi..
mempermainkan dustur Ilahi..
hakikat
hati tak terluka
walau zahirnya ada yang ketawa..

Tuhan,
ku mohonkan keampunan
keterlanjuran
yang berulang kali
teman,
kita patrikan di sini
berakhir sebuah lamunan duniawi
terima syukur taufiq Ilahi..

Teruskan perjuangan sahabat-sahabatku. Lirik di atas ana tulis berdasarkan daripada lagu Akhil Hayy. Tegurlah ana jikalau ana ada kesilapan. Walaupun tahun ini adalah tahun yg amat berat rintangannya. Ayuh kita harungi bersama. BERKHIDMAT UNTUK ISLAM DAN NEGARA TERCINTA

Mengenal Diri dan Hakikat Kehidupan Ini.



Renung sejenak adakah aku kenal diriku sendiri? Jika aku kenal diri ku ini bermakna aku adalah hambaMu yang lemah dan kerdil dihadapanMu, Ya Allah. Setiap yang dilahirkan dimuka bumi ini akan melalui suatu tempuh masa yang dinamakan kehidupan. Setiap orang akan mentafsirkan kehidupan ini berdasarkan maklumat dan pengalaman yang diterimanya sejak dia mula berfikir dan dapat menyimpan memorinya. Bagi seorang muslim dia melalui satu jalan pintas untuk mengetahui apakah sebenarnya hakikat kehidupan ini melalui maklumat yang diterangkan oleh Al Quran dan Sunnah

Al-Quran sebagai petunjuk, Al Quran adalah kitab terakhir yang merupakan anugerah Allah SWT kepada manusia di dunia ini, Ia ibarat peta bagi seorang musafir. Di dalamnya terkandung gambaran jalan yang lurus untuk menuju suatu matlamat yang telah digariskan. Malah ianya menerangkan destinasi sebenar yang sepatutnya semua orang menujunya. Alam Akhirat dan perkara ghaib digambarkan oleh Al Quran sebagai suatu yang real dan secara strait forward sebagai jalan pintas untuk akal fikiran manusia memahaminya.

Sebab itulah Al Quran hanya petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka yang mengimani perkara ghaib termasuk Alam Akhirat.

"Itulah dia Al Kitab yang tiada ragu padanya, sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang beriman dengan perkara ghaib dan mendirikan sembahyang serta mereka menafkahkan sebahagian daripada apa yang kami rezkikan kepada mereka..” (al Baqarah 2-4)

Walaupun dengan akal yang waras yang Allah SWT kurniakan kepada manusia itu boleh menyampaikan seseorang itu kepada hakikat ketuhanan, akan tetapi Allah SWT (dengan rahmatnya) telah mengutuskan para Rasul dan Kitab sebagai jalan pintas dan jalan mudah untuk manusia sampai kepada hakikat tersebut. Begitu juga dengan hakikat kehidupan ini serta di mana kesudahan dan apa tujuan manusia dihidupkan di alam ini juga secara terperinci ditunjukkan oleh Al Quran. Oleh itu sebenarnya Al Quran adalah sebesar-besar nikmat yang diturunkan Allah SWT untuk manusia di alam buana ini. Sebab itu bagi mukmin menatap ayat-ayatnya saban hari itu (selain daripada mendapat faedahnya) adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT di atas nikmat tersebut.

Mengenali Hakikat Diri.

Manusia adalah makhluk yang paling unik yang diciptakan Allah SWT di alam buana ini. Kemuliaannya boleh mengatasi ketinggian para malaikat akan tetapi kehinaannya pula boleh sampai lebih hina daripada binatang.

Itulah yang digambarkan Allah SWT:

“Sesungguhnya kami jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian, kemudian kami kembalikannya ke tempat yang paling rendah, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh…” (al Tin ayat: 4-5)

Kemuliaan atau kehinaan adalah dua pilihan yang mesti dibuat oleh manusia kerana kedua-duanya adalah berbeza. Jalannya juga berbeza dan tidak boleh bercampur. Bagi yang memilih kemuliaan dan ketinggian maka jalan yang digambarkan oleh Al Quran sebagai jalan yang lurus dan itulah jalan menuju Allah Yang Maha Tinggi. Adapun jalan yang bercabang atau bengkok adalah jalan menuju kehinaan dan kerendahan.

“Dan inilah dia jalanku jalan yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu ikuti jalan-jalan yang lain nescaya kamu akan berpisah daripada jalannya.”

Manusia juga mesti mengenali hakikat dirinya sendiri serta mengetahui apa yang perlu disediakan untuk memudahkannya sampai kepuncak kemuliaan dan ketinggian.Seperti seorang yang bermusafir yang mengetahui selok belok kenderaan yang dinaikinya serta apa yang diperlukannya semasa perjalanan akan lebih mudah untuk sampai ke destinasi yang ditujunya, begitu juga di dalam perjalanan menuju Allah Yang Maha Tinggi.

Hakikat kejadian manusia seperti digambarkan oleh Al Quran dan Al Sunnah terdiri daripada LIMA unsur yang setiap satunya diberi penekanan oleh Islam di dalam pembinaan,pemeliharaan dan penyelenggaraanya.

1-Tubuh fizikal:
Terdiri daripada anggota zahir serta organ-organ dalaman yang memerlukan pemakanan serta pergerakan tertentu untuk memeliharanya. Allah SWT memerintahkan kita menjaganya serta mengelaknya daripada sebarang kemusnahan.

“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu kepada kemusnahan.”

”Makanlah dan minumlah dan jangan kamu berlebih-lebihan.”

2-Roh/Nyawa:
Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui tentang hakikat kejadiannya.., Roh atau nyawa menjadikan tubuh fizikal manusia boleh berfungsi dan segala kecantikan dan kehebatan tubuh fizikal tanpa roh tidak ada ertinya.

”Mereka menanyakanmu (wahai Muhammad) tentang Roh, katakanlah Roh itu daripada urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu melainkan sedikit sahaja.”

3-Akal
Akal adalah merupakan anugerah Allah SWT kepada manusia yang membezakannya dengan binatang. Ia menterjemahkan segala apa yang diterima oleh pancaindra. Apa yang dilihat, didengar,disentuh dan dirasa semuanya akan diterjemahkan oleh akal sebagai maklumat.

Antara kemampuan akal juga, boleh menyimpan serta menganalisa maklumat yang dikumpulkan. Ia berfungsi kepada manusia sebagai penasihat atau perunding yang sentiasa menasihati untuk kebaikan diri manusia jangka panjang berdasarkan maklumat yang diterimanya. Jika betul dan baik maklumat yang diterima dan disimpan serta tepat analisanya, maka akan betul dan tepatlah nasihat yang diberikan kepada diri itu, begitulah sebaliknya jika tidak baik atau buruknya maklumat yang diterima serta tidak betulnya cara analisa yang dibuat, maka akan lahirlah nasihat yang tidak baik oleh akal tersebut kepada diri itu.

Walaubagaimanapun akal bukan pemutus kepada diri sama ada melakukan sesuatu tindakan atau tidak dan ia masih merupakan unsur neutral dalam diri seseorang dan bukan penentu untuk manusia membuat pilihan dalam tindakannya sama ada ya atau tidak.

Dalam hal ini islam amat menitik beratkan dalam pembinaan dan pemeliharaan akal manusia. Islam menjadikan memelihara akal sebagai keperluan yang ketiga dituntut daripada lima keperluan iaitu Agama,nyawa, akal, keturunan dan harta di mana segala hukum hakam syariat berligar di atas lima keperluan ini. Malah Islam mengangkat Taklif (tidak dikira dosa dan pahala) ke atas seseorang apabila dia tidak berakal. Begitu juga Islam menfardhukan setiap muslim dan muslimah supaya menuntut ilmu dan Rasulullah SAW menyatakan bahawa jika sekiranya Allah SWT menghendaki seseorang itu kebaikan maka Allah SWT akan memberi kefahaman kepadanya terhadap Agama. Begitu juga Islam mewajibkan kita supaya Tathabbut (mempastikan) terhadap setiap berita dan maklumat yang kita terima supaya akal tidak memberi nasihat kepada diri kita untuk mengambil apa-apa sikap dan tindakan berasaskan maklumat yang salah.

Mukmin yang menjadikan sumber maklumatnya daripada Al Quran dan Al Sunnah serta berita dan ilmu Tajribi (pengalaman) yang tepat dalam membentuk tasawwur terhadap sesuatu perkara adalah manusia paling beruntung kerana akalnya akan senantiasa memberikan nasihat yang tepat untuk kebaikan dirinya sama ada dalam hidupnya beragama ataupun untuk hidupnya di dunia.

4- Nafsu
Ia merupakan satu elemen dalam diri manusia yang merupakan penasihat atau perunding kedua kepada diri manusia. Ia sentiasa mendorong seseorang supaya mendapatkan kelazatan segera tanpa melihat akibatnya. Apa saja yang boleh mendatangkan kelazatan atau keseronokkan kepada diri sama ada dalam bentuk fizikalnya seperti makan, minum, seks, kelazatan mendengar dan melihat atau dalam bentuk maknawi seperti kelazatan mendapat kemegahan serta pujian orang, kelazatan berkuasa dan sebagainya.

Ia merupakan unsur atau elemen yang perlu kepada manusia untuk penerusan hidup manusia dan zuriatnya di atas muka bumi ini, tetapi ia mesti dibendung dan dilatih supaya kerakusannya tidak memudharatkan serta memporakperandakan kehidupan di alam ini.

“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya. Sungguh beruntung bagi siapa yang menyucikan jiwa itu dan sungguh rugilah orang yang mengotorinya.” (al Syams 7-10)

Islam sebagai agama yang Syumul amat menititberatkan dalam pendidikan mengawal nafsu. Pensyariatan Puasa, hukum menundukkan pandangan kepada bukan muhrim, hukum nikah kahwin, halal haram dalam pemakanan dan yang lainnya semuanya bermatlamatkan melatih dan membendung nafsu supaya ia dapat berfungsi sebaiknya kepada manusia. Sekurang-kurangnya Allah SWT mengkategorikan kepada tiga peringkat atau darjat nafsu manusia.

Pertama. Nafsu Ammarah yang sentiasa mendorong manusia kepada kejahatan.
Kedua. Nafsu Lawwamah yang sentiasa mencela dirinya apabila terlanjur melakukan kejahatan dan Nafsu al Mutmainnah yang hanya mendorong diri kepada apa yang diredhai Allah SWT sahaja. Pokoknya nafsu boleh di latih dan dididik sehingga dia menjadi penasihat yang baik kepada diri seseorang. Tetapi apabila ia dibiarkan tanpa didikan ia tak akan puas sehingga menjadi rakus dan memudharatkan makhluk lain di bumi ini. seperti kata-kata hukama’:

”Nafsu ibarat kanak-kanak menyusu… jika dibiarkan dia akan ketagih susu sampai ke Muda, tetapi apabila di hentikan (fitam) dia mampu untuk meninggalkannya”

“wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan di redhaiNya, maka masuklah di kalangan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam SyurgaKu” (al Lail 27-30)

5- Hati ( al Qalb)
Inilah elemen yang paling penting dalam diri manusia. seperti kata-kata Rasulullah SAW :

”Apabila Ia baik maka baiklah seluruh anggota jasadnya dan apabila Ia buruk maka buruklah segala jasadnya…, ketahuilah bahawa ia adalah Hati.”

Ia ibarat raja dalam sesebuah negara, segala sesuatu ditentukan olehnya. Dialah yang membuat pilihan, anggota lain termasuk tangan dan kaki hanya pelaksanaan kepada pilihan yang dibuatnya. Anggota lain tidak akan bertindak melainkan setelah pilihan yang ditentukan olehnya. Termasuk akal fikiran dan juga Nafsu hanya sebagai perunding dan penasihat kepadanya. Yang menentukan keputusan sama ada ya atau tidak adalah hati. Oleh itu Islam amat menekankan dalam pembentukan hati yang sejahtera. Hati yang benar-benar mengenali siapa Penciptanya. Hati yang sentiasa menyerah dan tunduk kepada perintah Tuhannya. Hati yang redha dengan ketentuan Penciptanya. Hati yang kuat dan kental dalam menegakkan dan memperjuangkan prinsip yang diperintahkan kepadanya. Hati yang selamat daripada segala kotoran hasad dengki, tamak dan bakhil…Malah perjalanan menuju Allah SWT adalah sebenarnya perjalanan hati dan anggota lain sebagai kenderaan dan kehidupan adalah jalan-jalan yang terpaksa dilalui. Akhirnya Allah SWT menerima untuk menemuiNya kelak hanya mereka yang datang dengan memiliki hati-hati suci yang sejahtera…

“Hari yang tiada guna segala harta benda dan anak pinak melainkan mereka yang datang kepada Allah SWT dengan hati yang sejahtera…”

Wallahualam.

Oleh: PERINDU SYAHID

Susah Ke Nak Jadi Baik?




Sebenarnya ramai daripada kita yang tahu dan mahu melakukan kebaikan. Paling tidak pun suka terhadap kebaikan dan ingin menjadi baik. Namun, kita selalu gagal untuk melaksanakannya. Ada sahaja masalah yang menghalang kita untuk menjadi baik dan membuat kebaikan. Ramai juga daripada kita yang tidak mahu berbuat dosa. Bencikan kejahatan. Namun, kita sering dan sentiasa terdorong untuk melakukannya.

Kita seperti hilang kuasa dan kawalan terhadap hati dan diri kita sendiri. Seakan-akan ada kuasa lain yang lebih kuat pengaruhnya terhadap diri kita berbanding apa yang kita inginkan. Mengapa ini yang berlaku?


argh…kenapa susah sangat nak jadi baik ni?

Hakikatnya, kita tidak pernah terlepas dari diburu oleh dua musuh utama yang sentiasa menyorong kita kearah kejahatan. Ya, merekalah syaitan dan hawa nafsu kita sendiri.

Apakah kita harus terus mengalah kepada dua musuh ini dan membiarkan mereka menjadi pemimpin diri ini?

Bagaimanakah harus kita berdepan dengan dua musuh ini dan mengembalikan pimpinan kepada diri sendiri?

Kunci utama : Mujahadah

Dalam dunia nyata juga, musuh hanya dapat dikalahkan dengan peperangan. Cuma bezanya, musuh zahir itu dapat dilihat dan tipu dayanya dapat dinilai dengan akal dan mata. Namun, musuh batin, yang tidak dapat dilihat dan tidak tahu di mana wujudnya, bilakah berlakunya, ternyata lebih licik dan lebih susah untuk mendepaninya. Peperangan melawan musuh yang tidak nyata inilah yang dinamakan mujahadah.

Kita terasa susah untuk memeranginya kerana hakikatnya peperangan itu berlaku dalam diri kita sendiri. Berperang dengan hawa nafsu sendiri terasa seakan berperang dengan diri dan kehendak sendiri. Hanya dengan ilmu sahaja yang dapat mendorong kita menyukai apa yang patut disukai dan membenci apa yang patut dibenci. Namun, setakat tahu, tidak bermakna boleh melahirkan mampu.

Ramai yang tahu tapi tetap tidak mampu. Kerana musuh yang lagi satu tidak pernah berhenti dan berputus asa mengajak kita menjadi peneman mereka di neraka kelak. Syaitan itu hakikatnya makhluk paling kreatif dan paling tinggi sifat juangnya dalam menyeru kita kearah kejahatan. Begitu juga dengan nafsu yang tak pernah lesu. Maka, kuasa yang kita ada hanyalah dengan bermujahadah.

Sejarah awal penciptaan manusia lagi sudah Allah ceritakan, Nabi Adam a.s. juga tertipu dengan perangkap syaitan sehingga terkeluar dari syurga Allah. Dengan mengetahui hakikat kedua-dua musuh yang tidak pernah kenal erti penat dan tidak pernah berehat dan berputus asa dalam memperdayakan kita, wajarkah kita untuk bermujahadah sekali sekala sahaja?

“Aku dah cuba dah untuk jadi baik, tapi susah sangat…ada je halangan…”
“Aku baru nak belajar tak meniru dalam peperiksaan, tapi minggu ni sibuk sangat, memang tak sempatlah nak ulangkaji sendiri…”
“Aku baru je nak jadi pendiam sikit…dapat kelas dengan kawan-kawan yang banyak cakap la pulak…”

Kalau tidak pun, setelah kita berjaya atasinya untuk sesuatu tempoh.

“yeah..nampaknya takde la susah sangat nak jadi baik ni…”
“oh…Allah dah dengar dah doa aku rupanya…”

Dan akhirnya kita kembali memberikan kemenangan itu kapada syaitan dan nafsu juga. Syaitan itu paling kreatif dalam memperdayakan kita. Saat susah untuk bermujahadah, dibisikkan kata-kata hasutan agar kita berputus asa. Setelah berjaya, disuruh berhenti pula, cukuplah setakat itu. Dikurniakan pula rasa cukup dengan amal yang ada.

Ketahuilah sesungguhnya mujahadah itu adalah perjuangan yang tanpa henti. Perjuangan sehingga roh kita kembali kepada pencipta-Nya. Tiada jaminan langsung, bagaimanakah pengakhiran hidup kita nanti. Berjayakah atau kecundangkah? Segalanya bergantung kepada mujahadah kita untuk terus berada dalam redha Allah di setiap ketika dalam hidup ini, dalam setiap yang diusahakan dan dilakukan pada saat ini dan hari-hari mendatang.

Prinsip asas dalam mujahadah adalaha istiqmah. Mujahadah tidak akan mampu memberi kesan selagi kita tidak konsisten dan istiqamah dalam memperjuangkannya. Malah kedua-duanya merupakan gandingan mantap dalam setiap diri yang ingin menuju Allah.

Istiqamah dari segi bahasa adalah tegak lurus. Yakni berdiri teguh di jalan yang lurus, berpegang pada akidah yang tepat dan melaksanakan syariat dengan tekun serta berakhlak baik secara konsisten.


Firman Allah SWT :

“Oleh yang demikian, maka ajaklah mereka dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau diperintahkan, dan janganlah engkau turutkan kehendak nafsu mereka.”(As-Syura :15)

Untuk beristiqamah dalam mujahadah, kita perlukan keteguhan keyakinan (iman), penjagaan lisan dan kawalan tindakan. Ingatlah, syaitan yang kita hadapi adalah makhluk kreatif yang sangat komited dengan azamnya untuk menyesatkan manusia. Hanya senjata mujahadah dan perisai istiqamah mampu berdepan dengan mereka.

Yakinlah dengan firman Allah SWT :


“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk mencari keredhaan kami, benar-benar Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.” (al-Ankabut : 69)


Syeikh Imam Al-Ghazali Berkata :

“Mujahadah adalah kunci hidayah tidak ada kunci untuk memperoleh hidayah selain Mujahadah”

Wallahualam.

Bersabarlah Demi RedhaNYA






Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba. Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak. Kadang kala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.

Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa. Lihatlah betapa lemah dan kerdilnya kita, begitu cepat hilang pergantungan sedangkan Allah sedang menduga. Ujian yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk iaitu sama ada kesusahan atau kesenangan. Kedua-dua ujian itu benar-benar menguji kita sebagai hambanya. Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang meliputi kemewahan dengan segala pangkat kebesaran dan kesenangan itu adalah sekadar ujian. Sesungguhnya hanya bagi mereka yang terpedaya yang akan hanyut dengan ujian ini.

Sedangkan dugaan kesusahan dan kesengsaraan di dunia pula, kadang membuatkan kita rasa lemah dan putus asa. Kadang kita seringkali mengeluh dengan apa yang ditetapkan untuk kita, dan seringkali jua kita persoalkan itu dan ini tentang takdir yang telah tertulis olehNya. Apakah dengan penerimaan sebegini kita fikir kita cukup redha dengan ketentuanNya? Kadang kala pula kita seringkali merumuskan itu dan ini tentang ketetapanNya.

'Jikalau dugaan ini tiada, sudah tentu aku begini...'
'Jikalau ini tidak terjadi sudah tentu aku begitu.... '

Apakah kita fikir kita lebih tahu dari Dia yang menciptakan kita? Dan apakah kita fikir kita sebenarnya lebih tahu apa yang terbaik untuk kita?

Subhanallah. Maha suci Allah... !
Sudah tentu kita hamba yang kerdil ini tidak tahu apa-apa berbanding Dia yang Maha Sempurna.. Namun tanpa kita sedari segala persoalan yang timbul dibenak kita sebenarnya telahpun terjawab dalam Kalam Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan sesuatu, maka Dia juga Maha Mengetahui persoalan yang bakal timbul di fikiran hambaNya. Maka Dia lebih dahulu menjawab persoalan itu dalam ayat-ayatNya.

Inilah jawapan Allah tehadap persoalan yang kadangkala timbul dalam hidup kita.


Ya Allah... kenapa semua ini terjadi padaku?

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah : 216)

Ya Allah.. kenapa terlalu berat ujian ini?

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan Kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)

Ya Allah.... terasa kehidupan ini sudah tiada maknanya lagi bagiku.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali Imraan : 139)

"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)

Ya Allah... bagaimana harus kuhadapi semua ini?

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" (Al-Baqarah : 45)

Ya Allah... apa yang akan kudapat daripada semua ini?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..(At-Taubah : 111)

Ya Allah.... kepada siapa harus ku berharap?

"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (Surah At-Taubah : 129)

Ya Allah...berimankah aku?

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta? (Al-Ankabut : 2-3)

Renungi dan redhalah terhadap ketentuan Allah. Pasti tersingkap hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap ujian-Nya. Bersabarlah duhai hati. Moga kita menjadi hamba yang Redha dan diredhai-Nya.

Kepentingan Menghargai dan Bersyukur


Hasan Al-Bashri ditanya tentang rahsia zuhudnya. Ia menjawab: “Aku tahu rezekiku tidak akan diambil orang lain, kerana itu, kalbuku selalu tenang. Aku tahu amal perbuatanku tidak akan dapat ditunaikan orang lain, kerana itu, aku sibuk mengerjakannya. Aku tahu Allah SWT mengawasiku, kerana itu, aku selalu merasa malu Dia melihatku dalam keadaan maksiat. Aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itu, aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan Allah SWT."


Manusia itu diciptakan dengan sebaik-baik kejadian, sesempurna kesempurnaan seorang manusia yang diberi tugas besar sebagai Khalifah dimuka bumi ini. Allah SWT telah membekalkan kepada manusia keistimewaan-keistimewaan dan kelebihan berbanding dengan makhluk Allah yang lain.

1. Hargailah dan Syukurilah setiap sesuatu yang kamu miliki.

Ia tidak semestinya harta dan material, ia juga mencakupi kesihatan kita, usia kita yang masih hidup hingga hari ini, setiap hari masih ada makanan untuk kita makan, masih ada orang yang mahu menegur kita, masih ada orang yang mengucapkan "selamat pagi, atau salam sejahtera, atau assalamualaikum".

Syukurilah segala nikmat Allah dari sekecil-kecil yang selama ini tidak kita hiraukan seperti udara yang percuma, keupayaan membuang air kecil, deria anggota tubuh badan, dan sebagainya lagi yang tidak dapat kita sebutkan satu persatu, akan nikmat Allah pada makhluknya.

Adalah sangat mudah untuk menyebutkan perkara-perkara yang kita tidak miliki, tetapi, luangkanlah sedikit masa setiap hari untuk bersyukur sekurang-kurangnya pada 5 perkara yang kita perolehi pada hari ini. Ketika memikirkan 5 perkara ini, hayatilah betul-betul dan rasainya ke dalam perasaan kita.

Bayangkan seorang kanak-kanak kecil yang kamu kenali, yang kamu berikan hadiah atau makanan, tetapi kanak-kanak itu tidak menghargainya, membuangnya atau mengutuk pemberian kamu itu, adakah kebarangkalian untuk kamu membelikan lagi hadiah kepada kanak-kanak itu?

Bagaimana pula jika kanak-kanak itu menunjukkan perasan gembira dan suka pada pemberian kamu itu, mengucapkan terimakasih, menjaga dengan baik hadiah pemberian kamu, sering menunjukkan pada kamu hadiah itu setiap kali kamu berjumpa dengannya? Bagaimanakah pula kebarangkalian untuk kamu memberikan lagi hadiah kepada kanak-kanak itu?

Begitulah perbandingan antara Tuhan dan hamba-hambanya. Firman Allah: "Barangsiapa yang mensyukuri nikmatKu, maka Aku akan menambahkan lagi nikmat Ku kepadanya"

Oleh itu bersyukurlah, berterimakasihlah, dan Allah SWT akan menambahkan lagi apa yang kita ada.

Jika dalam Hukum Tarikan, kita belajar bahawa mewujudkan keinginan itu amat penting, maka dalam Hukum Kecukupan, kita mempelajari bahawa Mensyukuri dan Menghargai nikmat itu amat penting. Kedua-dua perkara ini saling berkait antara satu dengan yang lain.

2. Wujudkan suatu persekitaran, kekuatan atau vakum pada diri kita, dimana semua perkara yang baik sahaja berada disekeliling kita.

Jangan isikan hidup kita dengan perkara-perkara yang sebenarnya kita tidak betul-betul perlukan. Ini adalah pembaziran. Walau pun kamu seorang jutawan, tidak bermakna kamu boleh membazir. Ingat! Membazir adalah sifat syaitan dan perlu dijauhi.

Tanyalah diri setiap kali bila keluar berbelanja, adakah barangan yang ingin kita beli itu, benar-benar kita perlukan atau tidak. Kecukupan bukan bermakna diri kita penuh dengan barangan yang kita tidak perlukan. Kecukupan dalam hidup adalah dengan mencari dan memperolehi perkara-perkara dan pengalaman yang benar-benar berguna untuk diri kita. Contohnya membeli sesuatu barangan kerana kita diberitahu oleh kawan, bahawa kita perlu ada barangan tersebut. Mungkin bagi kawan kita, barangan itu memang berguna untuk dirinya, tetapi tidak pada kita. Maka elakkanlah perkara ini dari berlaku. Kenalpasti keinginan kamu!

Mulakan membersihkan persekitaran peribadi kamu, bilik kamu dari benda-benda yang tidak digunakan lagi atau yang tidak kamu perlukan. Isikan wardrobe kamu dengan pakaian-pakaian yang relevan dan kamu perlukan. Yang memang tidak akan kamu pakai, sedekahkan pada orang yang memerlukannya. Kemas meja kamu dari nota-nota atau kertas yang lebih merupakan sampah sahaja. Kemaskini dokumen-dokumen kamu dengan sistem fail yang tepat dan kemas. Bersihkan longkang dirumah kamu, atau kosongkan tong sampah kamu. Berdisiplinlah dengan hidup ini. Buang semua cara berbelanja yang membazir. Bebaskan pemikiran , cara bercakap, apa yang kamu percaya, tindakan-tindakan kamu, yang selama ini berasaskan tidak cukup dan tidak puas.

3. Bersedekah dan berderma.

Jadilah seorang yang pemurah. Kita sentiasa inginkan agar Allah SWT menunjukkan sifat PemurahNya pada kita, tetapi adakah kita seorang yang pemurah dengan kemampuan diri yang ada pada kita? Dalam Islam "Satu sedekah ganjarannya adalah Sepuluh kali ganda" maksudnya setiap satu sedekah yang ikhlas dari kita, maka Allah SWT akan membalas balik dengan sepuluh kali ganda dari apa yang kita sedekah.

Dalam Hukum Tarikan, amalan bersedekah amat disarankan kerana dengan bersedekah, kita menghantar frekuensi bahawa kita mempunyai lebihan wang, maka kita menarik tenaga kecukupan pada diri kita. Sedekah juga mengajar hati kita menjadi bersih, ikhlas, dan dapat menghayati dan memahami kesusahan orang lain. Maka jadilah dermawan. Senyum juga satu sedekah. Bersedekahlah dengan apa yang anda miliki, tidak semestinya wang. Anda juga boleh berdoa untuk kesejahteraan orang lain, menyedekahkan tenaga dan sebagainya dengan ikhlas.

Rezeki dalam bentuk apa juapun adalah tenaga, sebagaimana yang kita semua faham bahawa seluruh alam ini, termasuk diri kita, adalah terdiri dari zarah-zarah atom yang merupakan tenaga. Tenaga bergetar dan bergerak dalam satu aliran-aliran yang tersendiri.

Cuba kita lihat pergerakkan udara (angin) dalam sebuah bilik yang tertutup, hanya tingkapnya sahaja yang terbuka. Kebarangkalian untuk angin mengalir masuk melalui tingkap adalah amat sedikit walaupun masih ada cukup udara dan oksigen. Sekarang, kita buka pintu bilik itu, anda akan dapat rasakan angin bertiup mula masuk melalui tingkap itu dan keluar melalui pintu kerana sudah ada aliran untuk udara keluar masuk.

Begitu juga lah dengan rezeki dan kecukupan diri kita. Rezeki akan datang melimpah-ruah andainya kita sedia berkongsi apa yang kita perolehi (bersedekah/murah hati) dengan orang lain. Tidak semestinya wang, ilmu juga jika disimpan, tidak diamalkan dan tidak disampaikan, ianya tidak akan bertambah malah menjadi semakin malap.

4. Maafkan semua perkara yang menyakitimu.

Bebaskan hatimu dari dendam. Apabila kamu masih menyimpan kemarahan, tidak kira atas alasan apa pun, sebenarnya, kamu hanya menyakiti dirimu, bukan menyakiti orang yang kamu marahi. Dendam dan marah hanyalah membuatkan kita sentiasa hidup pada hari semalam, dimana hari kita berasa disakiti ini hanya akan menyulitkan kita untuk maju ke hadapan dan memiliki masa depan yang baik.

Maafkan sesiapa yang telah melukakan kamu, bersalah denganmu. Luangkanlah dalam 10 minit sehari dengan mengucapkan:

"Aku maafkan dan bebaskan ..... dan aku harap mereka bahagia dan mereka akan pergi dari ku."

Antara kebaikan yang akan anda rasai apabila memaafkan seseorang:

1.Hati akan menjadi bersih/suci

2.Fikiran menjadi tenang

3.Penyakit rohani dan jasmani mudah sembuh

4.Wajah lebih cantik/tampan kerana wajah adalah cermin hati

5.Suntikan hidayah akan memasuki jiwa anda

6.Rezeki akan dipermudahkan dan mula melimpah ruah

7.Mula dapat merasai kehadiran kasih sayang yang banyak dari berbagai sudut

8.Diri akan menjadi lebih produktif kerana anda lebih bertenaga dan bersemangat

9.Doa cepat dimakbulkan

10.Kemampuan tenaga zahir dan batin akan meningkat

Praktikkan cara-cara ini, semoga akan dapat menukar minda kita kepada manusia yang berfikiran Serba Cukup. Dengan mengamalkan Hukum Kecukupan ini, semoga Hukum Tarikan akan mudah dimanifestasikan. Semoga kita semua beroleh Rahmat dan Petunjuk dari Allah S.W.T sentiasa.

Sabda Rasullullah S.A.W : "Pada anggota manusia itu, ada seketul daging, jika baik daging itu, maka akan baiklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa yang dimaksudkan dengan daging itu adalah hati/perasaan".

7 Sunnah Nabi Yang Patut Dilakukan


Tujuh Sunnah Rasulullah yang perlu diamalkan ialah :
  • Solat Tahajjud
Solat Tahajjud ialah solat apabila terjaga daripada tidur malam. Sebaik-baiknya 1/3 malam yang terakhir iaitu dalam lingkungan jam 3 atau 4 pagi. Jumlah rakaat sekurang-kurangnya 2 rakaat. Di antara fadhilatnya :
  1. Mendapat pengawasan Allah dan menampakkan kesan ketaatan di wajahnya.
  2. Dikasihi oleh para ahli ibadah dan org mukmin.
  3. Percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana.
  4. Dimudahkan hisab ke atasnya.
  5. Mendapat catatan amal dari tangan kanan.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji. (Al-Isra : 79)
  • Membaca Al-Qur'an Sebelum Terbit Matahari
Membaca Al-Quran merupakan salah satu sunnah Rasulullah terutamanya membaca Al-Quran pada waktu sebelum terbitnya matahari. Besar pahala bagi orang yang mebaca Al-Quran dan mentadabbur isinya. Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan jangan dijadikan Al-Quran sebagai bacaan bacaan sahaja. Jadikan Al-Quran sebagai bacaan, panduan dan membudayakan Al-Quran dalam setiap perkara dalam kehidupan kita. Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan Yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita Yang mengembirakan orang-orang Yang beriman Yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala Yang besar.” (Al-Isra : 9)
  • Jangan Tinggalkan Masjid
Solat yang lebih baik adalah solat berjamaah di masjid, kerana pahala orang yang solat berjamaah di masjid sangat besar dan pahalanya dikira pada setiap langkahnya ke masjid dan ia juga akan memperolehi pahala berjamaah sebanyak 27 pahala. Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
"Sungguh, alangkah ingin aku menyuruh (para sahabat) melakukan solat, dan aku suruh seseorang untuk mengimaminya, kemudian aku pergi bersama beberapa orang yang membawa beberapa ikat kayu api menuju (rumah) orang-orang yang tidak ikut solat berjemaah, untuk membakar rumah mereka dengan api."

  • Jaga Solat Dhuha
Solat Sunat Dhuha adalah solat yang yang sangat dianjurkan oleh Rasulullah kepada umatnya, kerana solat sunat Dhuha ini banyak kelebihannya. Di antara kelebihannya ialah pintu rezeki dibuka dan dimurahkan rezeki. Waktu solat sunat Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir. Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
  • Jaga Sedekah
Sedekah ialah seseorang itu mengorbankan sedikit hartanya untuk diberikan kepada orang yang memerlukan dengan hati dan perasaan yang ikhlas kerana Allah. Bagi orang yang rajin bersedekah, Allah akan gandakan setiap sedekahnya dengan rezeki yang melimpah. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan jangan sekali-kali orang-orang Yang bakhil Dengan harta benda Yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka Bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. bahkan ia adalah buruk bagi mereka. mereka akan dikalongkan (diseksa) Dengan apa Yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. dan bagi Allah jualah hak milik Segala warisan (isi) langit dan bumi. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan Segala Yang kamu kerjakan. (mukjizat) Yang nyata dan Dengan (korban) Yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang Yang benar (dalam apa Yang kamu dakwakan itu)?" (Al-Imran : 180)
  • Jaga Wudhuk Terus Menerus
wudhu adalah salah satu cara untuk menyucikan diri dari hadas kecil. Orang yang menjaga wuduknya akan disayangi oleh Allah. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib :
"Orang yang selalu berwudhuk senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".
  • Istighfar Setiap Masa
Istighfar ialah memohon keampunan dari Allah atas segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan dan berjanji kepada Allah tidak akan mengulangi kesalahan tersebut. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang Engkau (Wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” (Al-Anfal : 33)

Peringatan Untuk Diri Yang Lalai


Hai diri yang semakin lupa dengan kehidupan akhirat dan sentiasa terpedaya dengan kehidupan dunia yang sementara sedangkan hakikat kehidupan dunia adalah seperti yang digambarkan oleh ALLAH S.W.T

"Dan kehidupan dunia adalah semata-mata keseronokan dan bermain-main.Dan sesungguhnya kehidupan yang sebenar adalah kehidupan akhirat.Ini sekiranya mereka benar-benar mengetahui"

Bersedihlah dengan kehilangan amal akhirat bukannya kehilangan dunia.Ingatlah Allah ingin memberi peluang untuk kembali kepadanya sebelum datangnya saat kematian.Rebutlah peluang ini dengan sebaik-baiknya.Nabi s.a.w bersabda:
"Bersegeraah kamu beramal sebelum datangnya tujuh perkara:


  1. Adakah kamu menanti sehingga kamu fakir yang menyebabkan kamu lupa

  2. Adakah kamu menanti sehingga kamu kaya sangat yang menyebabkan kamu melampaui batas

  3. Adakah kamu menanti sehingga badan kamu sakit yang merosakkan badan kamu

  4. Adakah kamu menanti sehingga kamu tua yang melemahkan kamu

  5. Adakah kamu menanti sehingga mati yang menghampiri kamu

  6. Adakah kamu menanti sehingga tibanya dajal.Dajal adalh seburuk-buruk benda ghaib yang dinanti

  7. Adakah kamu menanti sehingga datangnya kiamat.Kiamat adalah perkara yang menakutkan dan amat pahit

Ingatlah wahai diri bahawa setiap yang kamu buat akan dihisab oleh Allah.Jangan seronok dan leka melakukan apa sahaja tanpa sedar Allah murka terhadap dirimu.Firman Allah s.w.t:


"Adakah manusia meyangka dia akan dibiarkan begitu sahaja(tanpa dihisab dan dibalas)?(Al-Qiyamah:36)


Ingatlah wahai diri sehebat mana ilmu,sebesar mana mahligaimu,setinggi mana pangkatmu,sebanyak mana pengawalmu,itu semua tidak menghalang malaikat maut untuk mencabut nyawamu.Firman Allah s.w.t:


"Dimana sahaja kamu berada,pasti kematian menemuimu sekalipun kamu berada dalam bangunan-bangunan yang kukuh dan terkawal"(An-nisa':78)


Ya Allah banyaknya dosa hambamu ini dan sedikit amalan akhirat,


Amalan yang sedikit entah mencakupi syarat ikhlas atau tidak,


Hati ini semakin jauh dariMu,oleh itu bersihkanlah hati ini dan isilah dengan cahaya-cahaya iman,


Aku tidak peduli samada manusia mengasihi atau membenci,asalkan engkau menerima aku kembali,


Ya Allah sekiranya mati ini baik untuk mengelak fitnah dan baik untuk agamaku,cabutlah nyawa ini dalam engkau redha kepadanya


Sekiranya hidup ini adalah lebih baik untuk menyumbang terhadap agamu dan menambahkan amal baikku panjangkanlah umurku dalam keredaanMU..

Masalah Itu Didikan Allah






Setiap masalah yang hendak diselesaikan mestilah difokuskan kepada real problem (masalah sebenar) bukan kepada presenting problem (masalah yang zahir). Apabila kita menumpukan kepada real problem ertinya kita sedang berdepan dengan punca masalah yang lebih bersifat dalaman dan ini memaksa kita menyelami soal hati dan perasaan manusia.

Manakala jika kita hanya berlegar-legar di sekitar presenting problem kita hanya terapung di permukaan yakni berdepan dengan akibat sesuatu masalah. Cara kedua ini tidak akan menyelesaikan sesuatu masalah. Mungkin kita berjaya seketika mengubat akibatnya tetapi masalah itu akan berulang lagi kerana punca sebenarnya tidak diatasi. Hendaklah difahami benar-benar maksud saya ini.

Jika kita ingin menyelesaikan sesuatu masalah, terutamanya yang melibatkan soal perhubungan (komunikasi dan interaksi) dengan orang lain kita hendaklah fokuskan langkah-langkah penyelesaiannya kepada ‘lingkungan pengaruh’ kita bukan ‘lingkungan kebimbangan’ kita. Maksud saya, hendaklah kita bertindak pada batas dan keupayaan diri kita sendiri bukan di luar batasan itu.

Hakikatnya, kita hanya mampu mengawal cara berfikir, pertimbangan, keputusan dan tindakan diri kita sendiri bukan fikiran, pertimbangan, keputusan dan tindakan orang lain. Kejayaan mengubah manusia lain bermula dengan kejayaan mengubah diri kita sendiri. Jangan marah kalau orang lain tidak berubah seperti mana kita kehendaki kalau diri kita sendiri juga tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki.

Tegasnya, lihatlah apa yang anda boleh lakukan pada diri sendiri terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah ini kemudian dengan sendirinya pengaruh kita untuk mengubah orang lain akan meningkat.

Untuk berjaya dalam perhubungan sesama manusia kita hendak memahami orang lain terlebih dahulu, barulah orang lain akan memahami kita. ‘First seek to understand than to be understood’ – pertama carilah jalan untuk memahami kemudian barulah kita difahami. Inilah adalah prinsip dalam mana-mana perhubungan. Jika prinsip ini dilanggar, krisis dalam perhubungan akan berlaku. Maksudnya, kita mestilah terlebih dahulu menjadi ‘telinga’ daripada menjadi ‘mulut’.

Dengar, fahami, hayati, simpati dan kalau boleh empati terhadap apa yang selalu diperkatakan oleh orang lain. Jangan terlalu gopoh hendak menyuarakan isi hati, pandangan dan idea kita… nanti kita tidak akan difahami. Tetapi bersabarlah, dengar dahulu apa yang hendak disampaikan oleh orang lain samada yang disuarakan dalam bentuk lisan atau perbuatan. Tidak semestinya mereka benar… tetapi fahamilah kenapa dan mengapa mereka berpendirian begitu.

Jika mereka yang benar, ini adalah peluang kita untuk mengakui kesalahan dan mula membaiki diri sendiri. Oh, rupanya aku yang menjadi punca masalah. Sebaliknya jika tidak, kita mempunyai peluang untuk menyuarakan ‘kebenaran’ kita dengan lebih tenang, matang dan diterima setelah sekian lama anda sabar mendengar. Ingatlah, ‘what you give, you get back’ – kita akan mendapat semula apa yang kita berikan.

Jika kita sanggup sekian lama mendengar pandangan orang lain, pasti cepat atau lambat pintu hati orang lain akan terbuka untuk mendengar pandangan kita. Ah, selama ini dia begitu sabar mendengar segala pandanganku apa salahnya kalau sekarang aku pula mendengar pandangannya, begitulah nanti suara hati mereka terhadap kita. Ingat, mengamalkan prinsip ini tidak akan merugikan kita, kata orang ‘tidak kalah dengan mengalah’ sebab kuasa mendengar lebih kuat dari kuasa bercakap. Mungkin kerana itu agaknya Allah kurniakan kita dua telinga berbanding satu mulut!

Kemudian, lihat masalah dengan peluang mendapat didikan di sebaliknya. Masalah hakikat adalah agenda pembelajaran dan pendidikan yang datang ‘direct’ daripada Allah untuk membangunkan diri kita. Manusia berkembang dan berkemajuan dengan melangkah anak tangga masalah demi masalah dalam hidupnya. Ini ‘syllbuss’ pelajaran yang anda tidak boleh mengelakkan diri.



Jika dicuba juga… kita akan menghadapi ‘syllbuss’ yang sama melalui peristiwa, manusia dan situasi yang lain. Ingat, masalah ialah anak tangga kehidupan. Jika anda merungut, kenapa aku terpaksa melaluinya, anda akan terus melekat di anak tangga itu. Jika kita cuba melompat, kita akan jatuh tersembam. Kata orang, jangan berlari ketika menaiki tangga.

Jadi, selalu sematkan di hati, bahawa orang-orang yang berjaya dalam hidup sebenarnya telah melalui agenda demi agenda yang sarat dengan dalam episod kehidupan mereka. Malangnya, kita selalu melihat apabila mereka telah sampai ke puncak tetapi ketika mereka mendaki di lurah atau tersembam ke lembah… tidak ada siapa yang tahu, apalagi ingin belajar darinya.

Dan ingatlah, ini semua hakikatnya daripada Allah jua. Cuma ia didatangkan melalui perlakuan dan sikap manusia. Sebagai hamba, kita perlu menerimanya… Ini akan memberikan satu kekuatan dalam diri kita. Yakinlah, Allah mendatangkan ujian yang setimpal dengan keupayaan kita. Malangnya, manusia selalu memandang rendah terhadap keupayaannya sendiri.

Sedangkan hakikatnya, pakar-pakar psikologi, motivasi dan pendidikan sepakat mengatakan bahawa manusia lebih kuat daripada apa yang mereka sendiri jangkakan. Cabarannya ialah kebanyakan manusia tidak tahu bagaimana menggunakan sepenuhnya potensi akal, hati dan perasaan mereka untuk mengatasi masalah-masalah seterusnya berjaya dalam hidup.

Ya, “we can’t direct the wind, but we can adjust our sails” – kita tidak dapat mengawal arah haluan angin, tetapi kita mampu mengawal kemudi pelayaran kita. Baiklah, cuba amalkan semua prinsip-prinsip di atas dalam menghadapi masalah kita. Sengaja saya luaskan horizon pemikiran dan ruang jiwa dengan beberapa prinsip penyelesaian masalah supaya kita sama-sama berfikiran dan berjiwa besar dalam menghadapi kehidupan.

Walaupun langkah ini kekadang dilihat lebih bercorak falsafah berbanding aplikasi, tetapi percayalah ia akan menolong anda untuk menghadapi hidup inii secara lebih pro-aktif. Tips-tips ‘direct’ untuk menyelesaikan masalah (seperti yang selalu diberikan) tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika soal hati dan pemikiran masih sempit dan tertekan. Sebaliknya, jika hati telah tenang, fikiran telah lapang, kita akan jadi lebih kuat, kreatif dan sabar untuk menyelesaikan masalah. Malah, ada kalanya masalah belum pun diselesaikan… tetapi kita rasa seolah-olah telah selesai justeru tekanan dan himpitan masalah itu sudah kurang impaknya akibat jiwa dan fikiran kita yang telah dibangunkan. Benarnya kata pepatah, cita-cita besar akan mengecilkan masalah.
Jajarkan ke Tengah
Gunakanlah prinsip ‘ujian adalah satu didikan Tuhan’. Tuhan sedang mendidik manusia melalui manusia. Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah dan orang yang menjadi punca ujian kita adalah guru kita. Ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripadanya. Hadapilah ujian ini dengan mencari maksud di sebalik takdir Allah ini.

Jangan mengeluh, kenapa manusia lain jadi begitu, begini … itu selamanya akan melekatkan kaki kita pada anak tangga ujian itu. Jangan memberontak, kerana kita tidak dapat mengubah realiti… dan kita terjun dari anak tangga yang anda berada sekarang. Jalan sebaik-baik, terimalah seadanya. Aku tidak akan menunggu hingga semua manusia jadi baik barulah aku menjadi baik. Yang penting aku cuba jadi yang manusia yang baik.

Ingatlah, tangan yang menghulur bunga mawar, akan lebih dahulu harum baunya. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang semula kepada kita. Walaupun mungkin kebaikan kita tidak akan mengubah orang lain yang tetap bersikap negatif terhadap kita, namun kebaikan itu sebenarnya telah pun menggembirakan, menenangkan diri kita sendiri.

Kita telah menghapuskan dendam, iri hati, marah yang bersarang dalam jiwa kita. Kemaafan akan membuahkan kebaikan… Manakala kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan. Dan inilah maksud didikan Allah ketika menjadikan manusia ujud secara bersama (co-existence) di atas dunia ini. Mungkin hikmahnya, agar manusia belajar sesama manusia untuk merasa kesan didikan-Nya
!



Adab Memberi Nasihat




Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.”

Hadis riwayat al-lmam Muslim.
.................................................................................

Di dalam hadith ke-7 dalam Kitab Hadith 40 yang telah disusun oleh Imam Nawawi ini, jelas telah digambarkan oleh Rasulullah SAW tentang perihal pentingnya nasihat menasihati di dalam perkara kebaikan. Nasihat juga digambarkan besarnya seperti sebuah Agama Islam, menunjukkan bahawa Islam ini melingkari seluruh aspek kehidupan seharian kita.

Pengertian nasihat

Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.

Adab-adab memberi nasihat

1. Meluruskan niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.

2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati. Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.

3. Bersih hati semasa menasihati. Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.

4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.

5. Memberi waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.


Jom Dengar Al-Quran

Listen to Quran

Contact Us

Name

Email *

Message *