Bingkisan kenangan

Assalamualaikum sebagai pembuka bicara.

Ini merupakan warkah pertama saya pada kali ini. Sedar tak sedar hampir setahun sudah berlalu. Sedih sungguh rasanya. tanpa disedari, sesi pimpinan pada sesi 09/10 telah pun berakhir dan diteruskan dengan sesi kepimpinan yang baru. Ya, Kursus Amal Islami (KAMI) Ke-17 yang telah berlangsung pada kali ini membawa erti yang amat bermakna. 17 Disember 2010 merupakan tarikh yang keramat kepada sesi kepimpinan pada tahun ini kerana pada tarikh tersebutlah Muktamar Sanawi berlangsung. Pada masa tersebutlah sesi pimpinan 09/10 telah pun berakhir. Pilu, sedih, hiba... Itulah kata-kata yang mampu digambarkan. Rasanya ikutkan hati, tak sanggup nak tinggalkan PERPPIS. Banyak sangat kenangan yang terlakar di sini. Suka duka, pahit manis dan asam garam dalam melayari behtera PERPPIS. Saya masih lagi ingat pesanan abi bahawa kita adalah mata rantai perjuangan. Bukan pemula dan bukan penamat tetapi hanya penerus perjuangan. Itulah hakikat yang perlu diterima dan itulah realitinya.

Sepanjang berada dalam PERPPIS, banyak sangat ilmu yang dipelajari. Ilmu soft skill dan juga hard skill. Ilmu soft skill berkaitan dengan ilmu mengenai jalur lebar manakala ilmu hard skill pula ialah ilmu komunikasi. Di sinilah saya mula mengenal Islam dengan lebih mendalam, mengenal erti jemaah, bersama menegakkan syiar Islam melalui wadah organisasi dan menjaringkan ukhuwah dengan sahabat sefikrah. Alhamdulillah syukur yang teramat sangat kepada Allah kerana diberi hidayah serta ruang dan peluang untuk menjadi insan yang diberi kesedaran akan tanggungjawab sebagai hamba-Nya. Syukur juga sepanjang berada dalam kepimpinan PERPPIS dipertemukan dengan sahabat yang sefikrah. Teringat lagi kata-kata abi ketika dalam Usrah Organisasi bahawa jika nak menegakkan ketuanan Islam memang akan berhadapan dengan onak dan duri serta mehna dan tribulasi. Jangan impikan permaidani merah dihamparkan di hadapan kita.

Saya masih lagi ingat kenangan lampau ketika mula-mula berada dalam PERPPIS . Masa tu jadi pelapis dalam tingkatan 4.Itu pun daripada ajakan teman sekolah. Dulu, saya tak tahu akan kewujudan PERPPIS Bahagian Tawau. Sewaktu berada di tingkatan 5, saya telah dipilih sekali lagi menjadi Ajk pada sesi berikutnya. Alhamdulillah syukur tidak terkata. Tetapi semasa berada di tingkatan 4 dan 5, belum lagi aktif dan menjiwai PERPPIS secara sepenuhnya. Keluarga pun belum lagi faham akan risalah Islam yang dibawa. semasa saya berada di tingkatan 6 pula, alhamdulillah keluarga pun sudah faham akan amanah yang diberikan. Pada tahun tersebut saya mula sudah aktif dalam PERPPIS dan juga jemaah. Seronok rasanya berprogram. Bagus juga, masa kita terisi dengan aktiviti yang berfaedah dan sekali gus dapat mendekatkan diri kepada Allah. Memang benar kata abi, kalau 1 tahun ibarat baru nak kenal PERPPIS. Tahun kedua pula kita mula mengenal PERPPIS, tahu akan gerak kerja serba sedikit. Tahun ketiga barulah kita mula menyelami dan menjiwai akan organisasi tersebut.

Semasa saya berada di tingkatan 6 Atas pula, saya diamanahkan menjadi Pengerusi HEPI sesi 09/10. Memang amat berat tanggungjawab yang hendak dipikul lebih-labih lagi pada masa yang sama nak fokus juga dalam STPM.. Namun, tugasan tersebut mesti juga digalas bukan kerana abi tetapi tugas hakiki sebagai hamba-Nya. Menyampaikan risalah Islam melalui wadah organisasi pelajar. Insya allah akan tersemat indah di sanubari segala kenangan.

Kepada saf pimpinan yang baru dilantik, tahniah dan takziah diucapkan kerana merupakan pilihan Allah. Buat yang terbaik dalam kepimpinan tahun ini. Mantapkan organisasi. Isi diri dengan akidah yang sahih dan ketakwaan yang mantap pada Allah. Usrah jangan lupa sertai. Program jemaah jangan lupa ikut. Bekerjalah kerana Allah. Moga persahabatan kita kerana-Nya. Bertemu dan berpisah kerana Allah. Maaf jika dalam bersahabat ada silap dan salah sehingga menyebabkan terguris hati.Terima kasih atas teguran dan kritikan. Moga pimpinan pada tahun ini mantap dan lebih baik daripada sebelumnya.

Kepada mantan PERPPIS, jangan lupa ikuti UNIT AMAL dan juga NISA". Sertai usrah dan program jemaah. Jangan lupa infakkan seluruh jiwa, raga dan kewangan demi menegakkan syiar Islam. Maaf sekali jika kepimpinan tahun ini kurang mantap dan banyak yang kekurangan. Perjuangan belum berhenti setakat di sini. Masih jauh dan panjang lagi. Berjuanglah hingga ke titisan yang terakhir dan hujung nyawa. Maaf juga atas silap dan salah.Istiqamah dalam jemaah. Jangan penat dalam berjuang..

Kepada abi dan umi yang tersayang, terima kasih kerana membimbing kami dalam melayari bahtera PERPPIS. Segala tunjuk ajar insya allah akan dipraktikkan. Tegur sahaja kami jika melakukan silap dan salah. Kami anggap Cikgu Mohd. Nasir dan juga Kak Mui seperti abi dan umi kami sendiri. Jasa abi dan umi tak akan kami lupakan. terima kasih atas didikan dan tunjuk ajar yang diberikan.

Sekian sahaja warkah coretan saya pada kali ini. Insya allah akan bertemu lagi pada warkah akan datang. Wassalam.

No comments:

Post a Comment