Sebahagian AJK Muslimin sesi 12/13 dan sesi 13/14 ketika Muktamar Tahun Lepas Sebahagian AJK Muslimat sesi 12/13 dan sesi 13/14 ketika Muktamar Tahun Lepas PERPPIS!!! Gambar FB PERPPIS TAWAU

LAWAN NAFSU,TIADA JALAN PINTAS!

Bagaimana keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau?

Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau.

Begitulah perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Malangnya, hal yang sepenting itu tidak dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.

Kita sibuk memperketat kawalan, disiplin dan undang-undang tetapi membiarkan puncanya berkembang subur dan membiak. Mampukah pagar yang rapuh mengawal binatang buas yang bilangannya kian banyak dan tenaganya semakin kuat?

Begitulah bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu.

Undang-undang walaupun sehebat mana pun tidak akan berkesan jika nafsu tidak dijinakkan terlebih dahulu.

Pagar itu akan diterjah dan rebah dipijak dan diinjak menyebabkan kita terpaksa membina pagar demi pagar, berulang-kali.

Kuasai Nafsu, Kuasai Dunia

"Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia," demikian kata cerdik pandai.

Tetapi bagaimana pula kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai dunia.

Jika demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah 'hamba' yang baik tetapi 'tuan' yang sangat jahat. Orang yang berjaya adalah orang yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada tipuannya.

Firman Allah: "Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya." (Surah al-An'am 6: 32)

Al-kisah, seorang raja sedang menaiki kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak dengan seorang petani yang soleh sedang berjalan kaki. Raja pun bertanya, "siapa kamu?"

Petani yang soleh itu menjawab, "aku seorang raja."

Raja tertawa, kemudian terus berkata dengan nada menyindir, "raja kerajaan mana?"

Petani menjawab, "raja untuk kerajaan diriku."

Raja terdiam. Dan kemudian petani itu pula bertanya, "adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?"

Raja terus terdiam kerana faham maksud kata-kata petani yang soleh itu.

Begitulah dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai orang besar yang hakikatnya hanya insan kerdil kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya.

Kuasa, ilmu, harta dan nama yang tersohor tidak membawa makna dan kebahagiaan dalam hidup sekiranya hidup diperkotak-katikkan oleh hawa nafsu.

Hal ini kerana nafsu itu sifat tabiinya hanyalah mengarah kepada kejahatan. Maka hidup seseorang yang dikuasainya hanya akan penuh dengan kejahatan. Jika demikian, mana ada ketenangan dan kebahagiaan? Tidak ada kebahagiaan bagi manusia yang tenggelam dalam kejahatan.

Dikuasai dunia maksudnya, diri kita akan didorong oleh sesuatu yang berbentuk kebendaan, kemasyhuran dan jawatan dalam apa jua fikiran dan tindakan. Ketika itu kita gagal memperalatkan dunia sebaliknya dunialah yang memperalatkan kita.

Akibat gagal menguasai dirilah kebanyakan manusia sangat cintakan dunia.

Selain itu cintakan dunia akan menyebabkan manusia cenderung melakukan kejahatan. Sebab itu masyhurlah kata-kata popular dalam kalangan ahli-ahli tasawuf; cinta dunia itu adalah kepala segala kejahatan.

Apabila semua itu terjadi, manusia tidak lagi layak menjadi hamba Allah. Oleh sebab itu, untuk menjadi hamba Allah manusia mestilah menguasai dirinya.

Inilah yang dibimbangkan oleh Syeikh Ibn Ataillah dalam al-Hikam menerusi katanya:

"Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syhawatnya?"

Manusia Dan Mujahadah

Seterusnya, apakah yang dimaksudkan dengan menguasai diri? Jelas maksud menguasai diri ialah menundukkan nafsu jahat yang ada di dalam diri bagi membolehkan kita melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Sedangkan nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang sentiasa ingin menghancurkan diri kita.

Berhubung dengan melawan hawa nafsu ini Imam al-Ghazali menyebutkan tiga tingkatan manusia dalam usaha memerangi hawa nafsunya:

1. Telah menyerah kalah.

Golongan ini tergolong dalam mereka yang dikuasai sepenuhnya hawa nafsunya dan tidak dapat melawannya sama sekali. Ini merupakan keadaan majoriti manusia. Mereka ini telah mempertuhankan hawa nafsunya. Firman Allah: "Maka, pernahkah kamu melihat orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya." (Surah al-Jatsiyah: 23)

2. Sedang dan sentiasa berperang.

Golongan ini terdiri daripada mereka yang sentiasa dalam bertarik tali berlawan dengan hawa nafsu. Adakalanya dia menang dan ada kalanya kalah. Insya-Allah, inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: "Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu."

3. Orang yang telah menang.

Golongan itu terdiri daripada mereka yang berjaya menguasai sepenuhnya hawa nafsunya. Mereka ini terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kecuali sangat sedikit melakukan maksiat. Perjuangan menentang hawa nafsu adalah satu bentuk perjuangan jangka panjang. Perjuangan ini hanya akan berakhir dengan kematian. Sikap waspada dan sentiasa siapa siaga amat diperlukan setiap masa.

Erti Mujahadah dan Kepentingannya

Melawan hawa nafsu bagi maksud mengawal, mengurus dan mengendalikannya adalah wajib kerana kita hanya wajar menjadi hamba Allah.

Demikian yang dapat difahami daripada kaedah, "tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu itu maka sesuatu itu juga menjadi wajib."

Berdasarkan itu, jika kita tidak berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa. Bukankah syurga itu hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak nafsunya kepada kehendak Allah? Firman Allah:

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya" (Surah al-Naziat: 40-41)

Melawan hawa nafsu juga adalah syarat untuk mendapat pimpinan Allah.

Kepentingan melawan hawa nafsu ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya:

"Tidak beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa." Baginda juga bersabda: "Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah."

Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu.

Istilah "mujahadah" berasal daripada kata "al-jihad" iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul.

Inilah maksud kata-kata Imam al-Ghazali: "Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin."

Selain itu ilmu, taktik dan strategi melawan hawa nafsu wajib dipelajari. Bahkan kita tidak akan menang jika dalam menempuh jalan mujahadah hanya dilakukan dengan semberono. Malangnya, ilmu tentang mujahadah ini seolah-olah terpinggir pada masa kini. Manakala strategi melawan hawa nafsu hampir tidak dibicarakan lagi.

Ironinya, jika dengan musuh zahir yang jarang-jarang kita berdepan dengannya, kita sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli kelengkapan perang dan sejata, mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk persiapan berperang, tetapi dengan hawa nafsu yang setiap detik kita berperang dengannya, mengapa ambil tidak indah sahaja.

Sedangkan nafsu ini adalah musuh yang paling berbahaya, yang sepatutnya lebih diberi perhatian serius. Rasulullah s.a.w. bersabda:"Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan musuhnya tetapi dapat menguasai marahnya."

Prinsip Asas Dalam Melawan Hawa Nafsu

Berikut tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:

1. Menahan atau menyekat sumber kekuatannya.

Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa).

Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.

Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain.

Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.

2. Membebankan nafsu itu dengan ibadah.

Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat.

Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk 'menyeksa' nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.

Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan al-Quran, hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid).

Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan.

Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.

3. Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskannya.

Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah.

Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu).

Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.

Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:

"Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini:

"Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu."

Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah:

"Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku."

Langkah-Langkah Jalan Mujahadah

Langkah-langkah tersusun untuk melawan hawa nafsu seperti berikut:

1. Belajar mengenai sifat nafsu dan angkaranya.

Belajar mengenai sifat-sifat mahmudah dan mazmumah (ilmu akhlak atau tasawuf) adalah wajib.

Kita mesti mendapat ilmu yang digali daripada al-Quran dan Sunnah untuk mengetahui sifat-sifat nafsu, angkara kejatannya dan bagaimana melawannya. Para ulama telah mempermudahkan ilmu-ilmu ini mengikut kategorinya tersendiri.

2. Membina kesedaran dan keazaman yang tinggi.

Tidak cukup dengan mempunyai ilmu sahaja tanpa kesedaran dalam hati dan keazaman yang kuat untuk mengamalkannya. Bagaimana jika kita hanya ada senjata (ilmu) tetapi tidak ada keingininan yang kuat untuk mngamalkannya apabila diserang musuh?

Ilmu bukan untuk pengetahuan dan kefahaman semata-mata, tetapi yang lebih penting untuk diamalkan.

3. Mempraktikkan ilmu.

Inilah tahap yang paling sukar tetapi inilah tahap yang paling penting.

Perkara ini memerlukan satu iltizam yang kuat dalam diri kerana apa yang disukai nafsu adalah juga yang disukai oleh diri kita sendiri. Ramai orang yang tahu sesuatu kebaikan tetapi masih malas melakukannya. Dan ramai yang tahu sesuatu kejahatan tetapi masih tega melakukannya.

Semua itu kerana mereka belum 'mahu', dan baru sekadar 'tahu'.

Pengetahuan itu dicapai melalui proses belajar manakala kemahuan dibina dengan mempraktikkan apa yang telah kita pelajari. Dengan mempraktikkan ilmu barulah ilmu yang bertapak di akal dapat dipasakkan ke dalam hati. Oleh sebab itu 'tahu' tempat letakkannya di akal tetapi 'mahu' itu letaknya di hati.

4. Terus melatih diri dan bersifat konsisten melawannya.

Ramai juga orang yang telah tahu dan mahu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, tetapi tidak lama, mereka berpatah semula ke belakang. Bak kata peribahasa Melayu sekadar "hangat-hangat tahi ayam". Mereka tidak berdaya untuk konsisten (istiqamah) dalam kebenaran.

Apa yang perlu ialah latihan yang berterusan agar tahap pengetahuan dan kemahuan itu diteruskan hingga ke tahap kemampuan.

Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap.

Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w.:

"Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit."

"Alah bisa, tegal biasa," begitulah nafsu yang jahat jika dilatih berterusan untuk melakukan kebaikan, akan terbiasalah nafsu itu dengan kebaikan dan kebajikan.

Sampai ke tahap ini, nafsu itu akan menjadi tenaga penggerak atau kenderaan (kuda tunggangan) kepada manusia. Umpama, racun pada ular senduk – di situ ada racun, di situlah juga ada penawarnya.

Sebab itu ditegaskan berkali-kali bahawa nafsu itu bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus.

Jika diuruskan dengan baik, nafsu akan membawa kepada kemajuan rohaniah dan material dalam kehidupan.

Nafsu seks yang diurus melalui pernikahan yang sah, akan memberi ketenangan, keberkatan dan rahmat dalam diri suami dan isteri. Ia juga meneruskan kesinambungan zuriat yang akan menjadi tenaga penggerak kepada pembangunan ummah.

Begitu juga nafsu makan yang terurus, akan memberi tenaga untuk beribadah dan menyebabkan terbentuknya jaringan perniagaan, industri makanan, hub halal, inovasi dan teknologi makanan dalam bidang bioteknologi dan sebagainya.

Manusia yang dibekalkan dengan unsur nafsu inilah yang menjadi sebab mereka dilantik menjadi khalifah di muka bumi – bukan malaikat, kerana dengan nafsu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan yang bersendikan hukum Allah.

Sebaliknya, malaikat tidak mempunyai potensi ini kerana mereka sepi daripada sebarang keinginan dan rangsangan. Namun, jika nafsu tidak terurus manusia akan jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk nafsu tanpa akal).

Jangan menoleh ke belakang... tempuhlah jalan mujahadah.

Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah.

Tidak ada jalan pintas

PENYAKIT-PENYAKIT SYAWAL


Bulan Ramadan adalah satu rahmat kepada semua yang berpuasa dan turut menjadi bonus kepada petugas perubatan yang bekerja di klinik atau di hospital kerajaan. Pengalaman bekerja di bidang ini mendapati bahawa di bulan Ramadan, bilangan pesakit yang berkunjung ke klinik-klinik dan yang dimasukkan ke hospital biasanya akan berkurangan.

Beberapa kajian saintifik mendapati bahawa puasa adalah sebahagian daripada pencegahan dan rawatan kepada pembunuh utama rakyat Malaysia iaitu 'Sindrom Metabolik'. Penyakit Sindrom Metabolik ini merangkumi beberapa penyakit termasuklah darah tinggi, kencing manis, hypercholesterolaemia (kandungan lemak yang tinggi) dan kegemukan (obesiti).

Puasa Ramadan juga dapat meningkatkan kesihatan seseorang dengan berlakunya proses detoksifikasi atau pembuangan toksin yang berkesan dari tubuh badan selain daripada ratusan kebaikan yang lain dari sudut kesihatan fizikal, emosi dan spiritual.

Namun situasi mesra kesihatan di bulan Ramadan ini berubah sebaik sahaja menjelang Syawal. Apa tidaknya, setelah sebulan berpuasa dan berdisiplin dengan tabiat pemakanan yang sihat kini bertukar wajah menjadi pesta makanan yang menyajikan pelbagai jenis juadah yang lazat dan menggiurkan. Kegilaan menjamu selera menjadi lebih parah dengan budaya rumah terbuka yang biasanya berlanjutan selama sebulan atau mungkin lebih. Walaupun tujuan asal rumah terbuka dan amalan ziarah menziarahi adalah sangat baik dan terpuji iaitu untuk merapatkan silaturrahim dan saling bermaaf-maafan di antara satu sama lain.

Penyakit-penyakit utama di bulan Syawal

Sakit perut dan cirit-birit

Masuk saja ke bulan Syawal, kejadian sakit perut, muntah dan cirit-birit adalah gejala yang sangat kerap berlaku. Ramai di kalangan kita yang mengidap acute gastro-enteritis (keracunan makanan), gastrik dan perut yang meragam akibat pengambilan juadah hari raya tanpa tabiat mengamalkan pemakanan yang sihat.

Kencing manis (diabetes)

Pada bulan Syawal juga ramai pesakit diabetes yang perlu dimasukkan ke hospital kerana kandungan gula di dalam darahnya yang meningkat di luar kawalan. Namun begitu, ada juga pesakit baru yang dikesan mengidap diabetes kerana tabiat pemakanannya yang tidak sihat di sepanjang Ramadan dan Syawal.

Kegemukan (obesiti)

Sekiranya budaya rumah terbuka tidak diikuti dengan disiplin pemakanan yang baik, maka fenomena 'seluar longgar' dek keberkatan Ramadan dan akan digantikan oleh gejala 'seluar sendat' dek kedahsyatan pesta makanan yang berpanjangan di sepanjang Syawal. Kehebatan seseorang yang berjaya menurunkan berat badannya di bulan Ramadan hanya boleh dipuji sekiranya dia berjaya mengekalkan berat badan tersebut sehingga di penghunjung Syawal setelh melepasi ujian marathon jamuan demi jamuan tersebut.

Malas untuk beramal

Biasanya kita mudah untuk membaca al Quran dan solat berjamaah di bulan Ramadan tetapi lain pula situasinya di bulan Syawal. Surau dan masjid yang biasanya penuh di bulan puasa akan kelihatan kosong dan kurang dikunjungi selepas Ramadan. Al Quran yang menjadi teman sehinggakan budaya mengkhatamkannya di sepanjang bulan Ramadan akan berubah sekelip mata sehinggakan jarang sekali dibeleknya sebagai bekalan hidup dengan berlalunya Ramadan.

Penyakit lidah

Umumnya adalah lebih mudah bagi umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadan untuk menjaga lidahnya daripada tabiat mengumpat, suka berdebat dan kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Namun keadaannya berubah setelah berlalunya bulan berkat dan bulan ibadah ini. Ramai di kalangan kita yang melupai disiplin menjaga lidah dan mulut menjelang berlalunya Ramadan. Lebih menyedihkan lagi apabila gelanggang rumah terbuka ini mungkin menjadi medan mengumpat atau pesta yang bercampur-baur tanpa batasan.

Tabiat-tabiat lama

Taqwa adalah merupakan objektif dan hikmah puasa itu sendiri. Ianya boleh diukur apabila melihat diri seseorang atau keluarganya semakin baik dan cemerlang setelah melalui medan tarbiyah selama sebulan di bulan Ramadan. Lebih menyedihkan buat seseorang individu mahupun umat Islam umumnya apabila penyakit-penyakit lama yang telah sebati di dalam dirinya datang kembali malahan semakin membarah dengan berlalunya Ramadan.

Bagaimana mengatasi fenomena ini?

  1. Bersederhana di dalam mengendalikan rumah terbuka
  2. Melakukan amalan ziarah menziarahi secara terancang
  3. Menjaga disiplin pemakanan
  4. Bermuhasabah diri dan mendidik keluarga serta masyarakat mengenai amalan berhari-raya menurut syara'
  5. Mengamalkan puasa enam di bulan Syawal
  6. Menjadikan riadah sebagai acara regular mingguan
  7. Mengamalkan gaya hidup yang sihat
  8. Banyak berdoa memohon pertolongan dari Allah swt

Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud,

"Barangsiapa yang telah berpuasa Ramadhan dan kemudian dia mengikutkannya dengan puasa enam hari dari bulan Syawal, maka dia seperti orang yang berpuasa selama satu tahun." (Hadith shahih riwayat Muslim)

Akhir kalam,

Ramadan tunduk mengundurkan diri
Syawal bergegas datang mengganti
Semoga taqwa mekar di hati
Amalan soleh kukuh membumi

KITA KAN SAING?

Masak air daa..

Buat kerja tu cepat-cepat!!! :-)

Kita kan saing?

Jalanku gelap engkau suluh.
Dugaan menimpa bersama ditempuh.
Janji dipatuh.
Kita kan saling membutuh.
Tak guna kawan berpuluh.
Andai ikatan tidak kukuh.
Kita mahu menjadi binaan yang teguh.
Tegar bagai akar sang buluh.

Kita kan saing?

Kasih seperti menatang minyak yang penuh.
Janganlah kesetiaan dipertaruh.
Patah sayap bertongkat paruh.
Saling kukuh-mengukuh.
Saat 'ukhuwah' berlabuh.
Persahabatan tidak akan lusuh.
Semaikan setia yang utuh.
Ikut apa Tuhan suruh.
Yang dilarang patut kita menjauh.
Dengki dendam jangan ditaruh.
Sama-sama kita berteduh.
Di bawah pohon dedaun rancak luruh.

Kita kan saing?

Buat apa tuduh menuduh?
Kita janji tak akan bergaduh.
Persahabatan mula merapuh.
Aku lihat kau saling jatuh-menjatuh.
Hadir perkataan cemuh-mencemuh.
Keadaan mula menjadi keruh.
Hati ini remuk bagaikan dirempuh.
Usahlah mengeluh.
Ini hasil dari bisikan setan dan jiwa yang merusuh.
Juga iman perlahan-lahan meruntuh.
Akhirnya saing digelar musuh.
Duka hatiku luluh.


Sekali lagi, buat semua.. KITA KAN SAING?

Tiga Golongan Melayu Berziarah


Tidak dapat ana gambar perasaan gembira bila dapat berziarah ke rumah sahabat2 yang sangat istimewa. Selama ini keluarga itulah menjadi impian ana untuk menziarahi rumah mereka. Awal pemikiran nampak rumah mereka dari jauh memang kecil. Sekali dah pijak. Allahuakhbar! Rupanya besar sangat. Ruang tamu nampak dengan hiasan yang tidak begitu menyakitkan mata dengan lambakan barangan perhiasan walaupun banyak warna-warni. Namun bukan atas tujuan itu ana datang berziarah tetapi hanya kerana merapatkan hubungan silaturrahim.

Ana nak tulis satu peringatan mengenai adat berziarah. Disini ana nak sumbang idea. Kat Malaysia ni ada TIGA jenis orang Melayu. Kaedah ziarah mereka terdapat pada keunikan TIGA GOLONGAN MELAYU INI. Bagi orang melayu mereka menganggap amalan berziarah ini berlaku apabila dijemput sahaja.

Itu statement pertama

Berbeza bagi orang melayu yang beragama Islam. Amalan berziarah mereka berlaku tanpa pengetahuan pihak yang ingin diziarah tetapi masih mengamalkan budaya bersalaman antara lelaki dan wanita apabila datang mahupun pulang.

Itu statement kedua

Kenyataan di atas pula jauh berbeza dengan kenyataan ketiga ini. Orang melayu yang beragama Islam dan mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya melakukan perihal ziarah ini dengan penuh teratur, sistematik dan teliti. Bagi mereka amalan ziarah ini tidak dikhususkannya pada hari-hari yang diangggap keramat seperti ‘hari raya’ kerana bagi mereka itu adalah sebagai satu asbab sahaja. Buktinya,

Pertama – bermaaf-maafan, perkara ini bukan hanya dilakukan pada hari raya sahaja, bahkan orang melayu yang mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam ini meletakkan kewajaran melakukannya dari masa ke semasa dengan seberapa segera, demi mengukuhkan ikatan persaudaraan agar terus menjadi erat dan mesra.

Kedua – kunjung mengunjung ( berziarah ) sebagai tanda persaudaraan dan silaturrahim. Bukan dengan tujuan mahukan ANGPAU kerana tujuan asas mereka adalah untuk Mewujudkan hubungan silaturrahim yang merupakan salah satu yang dituntut oleh Islam bahkan dengan mwujudkan silaturrahim itu adalah jalan kepada hubungan dengan Allah swt. Hal ini jelas sebagaimana hadis Nabi saw dalam riwayat Al-Imam At-Tarmizi :- Maksudnya :-

"Hubungan silaturrahim adalah jalinan daripada tuhan yang pengasih. Siapa yang menyambungnya, Allah juga berhubung dengannya dan siapa yang memutuskannya, Allah memutuskan hubungan dengannya."

Dalam pada itu mereka juga ingat bahawa dalam keasyikan mengadakan kunjungan itu, mereka pula tidak sampai meninggalkan sembahyang atau melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Ketiga – selain ziarah menziarahi, mereka juga menyambut ramadan dengan cara yang berpatutan baik dari segi mengadakan jamuan, perhiasan, mahupun pakaian. Golongan ini sedaya upaya berusaha untuk tidak wujud pembaziran yang akan menyebabkan mereka menanggung beban dikemudian hari. Mereka berpandangan juga bahawa hari raya juga bukan untuk kita menunjuk-nunjuk atau berbangga-bangga, akan tetapi hari raya adalah hari untuk kita meningkatkan hubungan kita dengan Allah swt dan hubungan kita sesama makhluk. Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 112 :-

"Mereka diliputi kehinaan dimana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali ( agama ) Allah dan tali perjanjian dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka mengingkari dengan ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar, yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui."

Keempat – Orang melayu yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam ini yang mana sesetengahnya sudah menjadi ibubapa tidak sewenang-wenangnya membiarkan anak-anak mereka berhari raya dengan yang bukan mahramnya, balik hingga lewat malam dan menjadikan hari raya ini sebagai hari pergaulan bebas diantara mereka dan kawan-kawan mereka.

Dapat ana simpulkan bahawa TIGA GOLONGAN MELAYU ini ada sedikit sahaja persamaan namun bila cuba dibandingkan dengan betul-betul nampak sangat perbezaannya terutama bagi golongan melayu yang ketiga. Golongan melayu sebenarnya satu tapi yang memecahkan mereka kepada tiga adalah disebabkan sikap sendiri. Statement ini ana tidak tulis kalau tidak tahu tapi ini yang ana lihat sepanjang syawal ni baik kat FB, TWITTER, BLOGGER mahupun ALAT RANGKAIAN PENGHUBUNG SOSIAL yang lain.

Ditulis oleh: Sdr Muhd Rajie Lioli (Presiden PERPPIS Bahagian Tawau)
Dipetik dari blog beliau [ http://kembara-syabab.blogspot.com ]

Neraka penutup manusia berdosa


Manusia pendosa

Aku dengar tubuhmu bakal diseret kejam,
Oleh wajah-wajah bengis lagi geram,
Kau dihentam,
Dalam suasana yang sukar dirakam,
Tanganmu dirantai hina,
Kaki dibelenggu terpenjara,
Tubuh dicambuk binasa,
Dilemparkan batu-batu neraka.

Manusia pendosa

Aku dengar rasa sakit, rasa perih tidak terkata,
Segala seksa dan azab terus mendera,
Di depan menunggu jurang lebar yang menganga,
Dipenuhi batu-batu api yang segar menyala.

Manusia pendosa

Aku dengar tiada nafi dan bidas,
Tiada dusta kau ulas,
Kerana Mulut disumbat,
Dengan rasa sakit yang hebat
Lidah kelu dibalut perih yang membeku
Lemah, lesu, bisu
Hilang kuasa untuk mengeluh

Manusia pendosa

Aku dengar lafaz wajah bengis itu:
“Wahai manusia pendosa inilah tempat kembalimu”

Tempat dimana para munafik berada,
Tempat kepalsuan dan semua topeng dibuka,
Kau solat agar kau disebut taat,
Kau berpuasa supaya kau disebut zuhud,
Kau bersedekah mengharapkan gelar dermawan,
Kau pergi haji agar semua orang menaruh hormat,
Kau berdakwah biar semua orang menganggapmu hebat,
Kau berpuisi memuji Allah supaya kau disebut sang Pecinta,
Kau melakukan kebaikan agar kau dimuliakan,
Kau berjuang dijalan-Nya agar kau disebut mujahid,

Tapi Allah Tahu bahawa semua yang kau lakukan itu palsu,
Dia mengawasi semua yang tersembunyi dalam hatimu,
Dia melihat segala yang terdetik dalam isi kepalamu,
“Wahai manusia pendosa inilah tempat kembalimu”

Senja dalam hitungan detik terurai oleh denyut dusta
Mencumbu duka dalam air mata
Remang rembulan tak mampu lelapkan gelisah
Gemericik tangis mengurat raut tanpa asa

Di langit entah sebelah mana, terdengar;
kaki-kaki diseret belenggu dosa abadi
Manusia pendosa berteriak,
ketika bulan menjadi lampu sorot sebuah kemunafikan,
dan gemintang yang mereka sebut mimpi membakar lidah dusta,
Awan membara merah,
Menghanguskan telapak durhaka,
Ketika mereka menukar Tuhan dengan dunia,

Inikah akhir manusia pendosa?

Tajuk: Neraka penutup manusia berdosa
Daripada: Hamba yang hina
Kepada: Peringatan khusus buat penulis
Tarikh: 03.09. 2011
Masa: 02.11pagi
http://perppis.blogspot.com
http://kembara-syabab.blogspot.com

"Malaikat Izrail! Please Bagi Peluang, I Nak Solat Dulu"



Selalu kita dengar melalui ustaz, ustazah, ceramah agama, televisyen dan kita baca melalui iluvislam.com sendiri bahawa solat itu tiang agama, juga merupakan amalan pertama yang akan dihisab di Akhirat, solat itu wajib dan banyak lagi tentang amalan yang satu ini..

Tetapi sekerap mana kita laksanakan amalan yang fardhu ini? Ada yang jawab, "Mestila aku solat 5 waktu.. Subuh, Zohor, Asar, Magrib, Isyak."

Ada juga yang jawab, "Eish, soalan ni budak tadika pun reti jawab. 5 kali lah. Tapi aku buat tiga kali je, kadang-kadang dua kali..ikut mood lah."

Mungkin anda juga pernah dengar ada yang menjawab, "Solat? Penting sangat ke..? Entah, aku tak pernah kisah pun nak solat-solat ni. Aku bukan alim pun nak solat-solat ni."
Informasi iluvislam.com

Jadilah 'blogstarz' dan kunjungi http://web.iluvislam.com untuk meralisasikannya dan dapatkan segera pakej hosting bermula serendah RM69 setahun dan promosi diskaun 50% merdeka DOMAIN .MY sekarang juga! Gunakan kod kupon MY50MERDEKA.

Excuse me! Minta perhatian ye saudari, saudara yang dilahirkan ISLAM dan didalam IC tertera perkataan ISLAM..

Solat diamanahkan BUKAN untuk orang alim-alim sahaja. Sesiapa sahaja yang beragama ISLAM, WAJIB menunaikan solat 5 waktu yang diamanahkan Allah S.W.T. Tidak ada wujud istilah terpulang pada diri masing-masing kerana kubur asing-asing. Walaupun kubur memang asing-asing tetapi sekurang-kurangnya kalau kita tidak diseksa kerana tidak menunaikan solat tak ada lah jiran sebelah kubur kita tu terpaksa tutup telinga dengar awak menjerit terlolong kena seksa nanti!

Dulu aku pun pernah terfikir sambil merungut, "Kenapa la kena solat.. kan leceh?"

Lepas tu bila aku sudah berilmu sedikit aku terfikir pula macam ni, "Nampaknya dah nak habis waktu ni, kalau solat pun belum tentu diterima. Takpe lah esok je lah solat."

Kadang-kadang otak aku berfikir juga macam ni dek kerana hasutan syaitan-syaitan durjana, "Aku ni dah pernah buat banyak dosa. Dosa besar, dosa kecil, kalau aku solat pun mesti tak sah. Jadi, tak payah la solat."

Ataupun begini, "Alah, aku ni muda lagi. Kalau tahun depan baru start solat pun takpe."

Astagfirullahalazim! Ya Allah ampunkan lah dosa-dosa aku selama ini kerana sering mempersoalkan tuntutan-Mu suatu ketika dahulu!"

Rakan-rakan sekelian, tujuan aku menaip artikel ini bukanlah untuk memesongkan akidah sesiapa dan mengajar rakan-rakan berfikiran negatif seperti yang diatas. Tidak sama sekali! Aku cuma sekadar ingin mengingatkan antara satu sama lain dan diri sendiri kerana aku hanya manusia yang sering melakukan kesilapan. Aku juga jahil tetapi ilmu yang dipelajari serta nasihat yang berterusan Insya-Allah dapat mengurangkan kejahilanku dan menambahkan ilmuku terhadap Islam yang aku anuti sejak kecil ini.

Allah beri kita telinga bukan untuk dengar lagu-lagu favourite kita semata-mata. Allah kurniakan telinga kepada kita agar kita dapat mendengar AZAN iaitu seruan kepada umat Islam untuk menunaikan solat pada setiap waktu-waktunya. Ada juga alasan belum sampai seru untuk menunaikan solat yang pernah ku dengar daripada mulut-mulut mereka yang gemar memberi alasan. Come on! Kalau AZAN yang sekuat-kuat tu pun dikatakan tidak sampai seru lagi agak-agaknya nak kena kuat macam mana lagi ya?

Yang paling hairan bila Terawih bukan main laju pergi masjid. Siap ada yang kutuk-kutuk manusia-manusia yang tidak pergi Terawih pula.. padahal Terawih itu amalan sunat. Sedangkan amalan wajib yang 5 waktu tu tidak pula mereka laksanakan. Kalau laksanakan pun mungkin lopong-lopong. Lebih banyak lopong daripada yang terisi. Itulah realiti sebilangan umat manusia yang mengaku ISLAM tetapi tidak langsung menjaga amalan yang diwajibkan oleh Islam itu sendiri.

Tidak guna kaya harta kalau tidak reti bersyukur yakni menunaikan solat kepada Allah yang memberi rezeki.

Tidak guna pandai kalau tidak reti berterima kasih yakni menunaikan solat kepada Allah yang memberi kebijaksanaan.

Tidak guna dipuji dan berstatus tinggi jika tidak reti memuji Allah yakni menunaikan solat kepada Allah yang berhak menerima segala puji-pujian.

Tidak guna hidup lama jika tidak reti bertafakur yakni menunaikan solat kepada Allah yang mengurniakan ruh, jasad dan nyawa.

Tidak guna kita mengejar nikmat dunia semata-mata dan lupa bahawa dunia ini hanyalah persinggahan yang tidak pasti. Gunakanlah kaki dan tangan yang Allah kurniakan untuk bersujud dan berdoa kepada-Nya.

Aku pasti semua yang membaca artikel ini masih bernafas dan hidup, samada sihat atau tidak itu tidak penting. Yang penting, rakan-rakan masih ada peluang untuk memohon keampunan-Nya dan bertaubat. Jangan nanti, bila ruh dah sampai ke tekak (dicabut) ketika itu barulah memikirkan dan berteriak....

"Malaikat Izrail! Please bagi peluang, I nak solat dulu!"

- Nasihat dan peringatan untuk semua umat Islam termasuk diri sendiri. Wallahualam.

Dipetik daripada: i luv islam
From: kumpulan satu

Universiti Ramadhan

"Apabila bulan Ramadhan telah datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan."
(Muttafaq 'alaih)

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, sedar tak sedar, Ramadhan sudah amat hampir dengan kita. Alhamdulillah. Ya Allah sampaikan kami ke bulan mulia itu. Amin.

Teruja tidak untuk menghadapi bulan Ramadhan? Sudah tidak sabar-sabar? Jika para sahabat, bulan Ramadhan merupakan suatu bulan yang amat mereka nanti-nantikan. Sebelum hadirnya Ramadhan, mereka sering meminta-minta kepada Allah agar mereka diketemukan dengan Ramadhan yang berikutnya. Seperti do'a yang diajarkan Rasulullah SAW,

“Allaahumma Baarik Lana Fii Rajaba Wa Sya’baana, Wa Ballighna Ramadhaana."

Ertinya: Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami di dalam bulan Rejab dan Sya’ban serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.

Bagi menyambutnya juga, persediaan dari sudut rohani, fizikal dan mental dipersiapkan bagi mengharungi bulan Ramadhan yang peluangnya datang hanya setahun sekali. Seperti lagaknya mahu menyambut satu perayaan besar-besaran, persiapan-persiapan pra-perayaan perlu dilakukan. Pelbagai jenis persiapan akan dilakukan demi memastikan perjalanan pada hari perayaan kelak dapat berjalan dengan lancar dan berjayanya.

Begitu juga dalam kita menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak. Persiapan-persiapan pra-Ramadhan harus kita lakukan sebaiknya. Kita mahu diri kita tenang melaksanakan ibadah-ibadah di dalamnya. Kita mahu latihan diri di bulan Ramadhan dapat kita jalani dengan berjayanya. Dan persediaan yang saya katakan di sini sudah tentu bukan persediaan wang ringgit mahupun materialistik. Persediaan yang dimaksudkan adalah persiapan diri. Itu yang utama.

Cuba anda tanya diri. Tika ini, sudah cukupkah persediaan yang aku lakukan untuk menghadapinya?



Universiti Ramadhan

Dalam kita mempersiapkan diri, pertama, makna Ramadhan itu sendiri harus kita fahami. Ia amat penting agar hadirnya Ramadhan kita hargai, kemudian ketika di dalamnya kita menggunakan peluang yang ada sehabis baik, lantas di hujungnya, moga-moga Ramadhan kali ini menjadi suatu bulan yang penuh makna bagi kita. Menjadikan kita seorang manusia yang lebih baik daripada sebelumnya.

Pelbagai nama digunakan dalam mendefinisikan Ramadhan. 'Bulan keberkatan' (Ramadhan Al-Mubarak), 'Bulan Kemuliaan' (Ramadhan Al-Kareem), dan pelbagai lagi.

Di sini, suka untuk saya sentuh dari satu sudut lain, yakni bulan Ramadhan sebagai universiti, atau sekolah. Atau sering kali dipanggil, 'Madrasah Ramadhan'.

Universiti Ramadhan? Apakah? Istilah yang digunakan itu tidak penting mana sebenarnya. Apa yang utama, konsep atau maknanya kita fahami.

Baik. Secara mudah, apa yang manusia perolehi apabila berada di sebuah universiti? Didikan, latihan, pengajaran dan pembelajaran, proses pembentukan insan, seterusnya dan seterusnya. Benar?

Justeru, begitu juga bagaimana seharusnya kita melihat bulan Ramadhan kali ini. Bulan Ramadhan ini hakikatnya adalah 'Bulan Tarbiyah' (Bulan Didikan), yang mana melaluinya, seseorang Muslim itu seharusnya terdidik jiwanya. Terdidik peribadinya.

Bagaimana Ramadhan ini dapat mendidik kita? Sesungguhnya pelbagai didikan yang Allah beri pada kita melalui Ramadhan.

Dengan ibadah puasa sahaja, kita didik untuk mengawal nafsu kita. Kita dididik bukan hanya untuk menahan diri dari makan dan minum. Bahkan, pada masa yang sama, kita turut dididik untuk mengawal nafsu syahwat kita. Ketika berpuasa kita hendaklah menjaga kemaluan, menjaga pandangan mata, hatta menjaga hati kita sekalipun.

Perkara ini ramai yang terlepas pandang. Bulan Ramadhan sebagai satu bulan pendidik nafsu. Sama ada mereka tidak tahu, atau tahu tapi buat tak endah.

"Orang yang berpuasa itu meninggalkan makan, minum dan syahwatnya karena taat pada perintahKu(Allah). Puasa adalah untukKu dan Aku akan memberikan balasannya, sedang sesuatu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipat gandanya."
(HR. Imam Bukhari) -Hadis Qudsi

Tambahan lagi, kita bukan sahaja sekadar dididik untuk memelihara nafsu, malah kita juga dididik untuk menjaga lidah kita. Kenapa lidah? Bak kata cendekiawan, ‘Lidah itu lebih tajam dari pisau’.

Dengan mulut yang celupar, ramai yang akan sakit hati. Melalui tutur kata yang kesat, permusuhan dan pergaduhan dengan mudahnya dapat tercetus. Wah! Bahaya sungguh lidah kita ini ya.

"Apabila pada hari seseorang di antara engkau semua itu berpuasa, maka janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya saya sedang berpuasa."
(Muttafaq 'alaih)

Maka, di bulan Ramadhan ini juga, mari kita latih diri untuk menjaga lidah kita. Memelihara tutur kata kita. Berkatalah menggunakan kata-kata yang baik dan ada manfaat. Jika tidak dapat melakukannya, cukuplah hanya berdiam diri. Ya. Satu perkara yang harus kita pandang serius. Mengapa? Seandainya perintah ini kita abaikan, ditakuti, tidak ada apa-apa yang akan kita peroleh dari puasa kita nanti, melainkan hanya lapar dan dahaga.

Dalam sebuah hadis, "Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tidak pula meninggalkan berkelakuan dengan dasar dusta, maka tidak ada keperluannya bagi Allah dalam ia meninggalkan makan dan minumnya. Maksudnya: Di waktu berpuasa itu hendaknya meninggalkan hal-hal di atas, agar puasanya tadi mendapat pahala."
(HR. Bukhari)

Ayuh! Siapkan diri kita untuk dilatih.

Banyak lagi didikan-didikan yang mampu kita perolehi dari bulan mulia ini. Ramadhan melatih kita untuk sabar dan tabah tika diuji. Mendidik kita untuk mampu mengawal diri kita. Melatih kita berdisiplin. Mendidik diri kita untuk menjadi hambaNya yang sebenar-benarnya selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Mudah kata, didikan rohani dan diri yang diberikan bersifat ‘holistik’.

Hmm.. Namun begitu, adakah semua muslim akan berjaya terdidik dengan didikan-didikan di dalam Ramadhan?

Adakah pasti, diri kita ini akan menjadi seorang insan yang lebih baik selepas melalui bulan Ramadhan?

Semudah itukah?

Bak kata salah seorang pensyarah saya, “I may help you. But if you don’t help yourself, I can’t do anything to help you.”

Benar. Justeru, dalam apa-apa perkara sekalipun, semuanya akan kembali pada diri kita sendiri.

Biar kita ditempatkan di universiti terbaik sekalipun, malah dididik oleh guru yang terhebat, selagi mana kita sendiri tidak mahu terdidik, tidak mahu menyediakan diri untuk perubahan ke arah yang lebih baik, maka semuanya itu hanya akan menjadi sia-sia sahaja.

Bayangkan, ketika berada di dalam universiti, ketika kelas sedang berlangsung, fikiran kita menerawang ke tempat lain. Sewaktu pensyarah sedang mengajar, kita bersembang. Tatkala silibus pelajaran disampaikan, kita tidur. Ataupun, kelas yang diadakan itu sendiri langsung tidak kita hadiri.

Maka apakah proses pendidikan itu dapat berjalan? Jika begitu sikap kita, adakah kita dapat mengambil manfaat dari pelajaran yang dikurniakan?

Sudah tentu tidak!

Maka begitu juga dengan bulan Ramadhan. First rule. Jika kamu tidak mahu membantu diri kamu sendiri, maka kamu tidak akan terbantu.

Justeru amat penting kita menyedari bulan Ramadhan kali ini sebagai satu bulan didikan. Satu bulan tarbiyah. Lantas kemudiannya menyediakan diri kita untuk terdidik dengan dididikan-dididikan Ramadhan.

Mari kita mempersiapkan diri menghadapinya. Mari sama-sama kita pasang niat serta target, mahu menjadi hambaNya yang lebih baik selepas melalui Ramadhan. Dapat menjalankan peranan sebagai hamba sepenuh masa.

Ayuh!

Harapannya, proses didikan ini akan menjadi suatu pengalaman yang amat kita hargai dan merasa syukur, ketika kita melihatnya kembali sewaktu berada di Akhirat kelak. InsyaAllah.

Moga-moga, Ramadhan kali ini penuh makna.

Dipetik daripada : I LUV ISLAM
Diedit oleh:kumpulan satu edit blog

Kelebihan Sahur dan Tamar




“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.”
-HR Bukhari dan Muslim



Ibadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Namun dalam era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa.




Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka? Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.


Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.


Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:
  • Menuruti sunnah;
  • Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;
  • Menambah kekuatan untuk beribadat;
  • Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;
  • Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan
  • Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.

Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.



Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi
orang mukmin adalah kurma.”
-HR Ibnu Hibban & Baihaqi


Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut.


Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.





Dipetik daripada : I LUV ISLAM
From:Kumpulan satu edit blog

Puasa Syariat / puasa adat?



“Adalah bulan Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya ampunan dan akhirnya pembebasan dari api neraka.”

(Diriwayatkan oleh Salman al-Farisi)


Rasulullah saw. merupakan manusia terpilih dan tauladan terbaik bagi kita. Baginda melipat gandakan ibadah kepada Allah swt. apabila Ramadhan memasuki 10 hari terakhir. Baginda menghidupkan malam harinya dengan mendekatkan diri kepada Allah swt., bahkan baginda membangunkan keluarganya agar turut serta beribadah.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah ra. yang bermaksud:

“Adalah Rasulullah saw. apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadhan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Sahabat dan para ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadith di atas. Tetapi, mereka bersepakat bahawa Rasulullah saw. melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan.

Bagaimana pula dengan kita?

Masing-masing sedar dan tentu dapat membuat penilaian sendiri dengan amal ibadah kita terutamanya pada akhir-akhir Ramadhan. Kita dapat perhatikan bahawa kebanyakan dari kita semakin lalai dan semakin hilang tumpuan untuk beramal ibadat demi mencari keredhaan Allah swt. dalam bulan yang penuh rahmat ini.

Apakah perancangan kita apabila menjelang bulan Ramadhan al-Mubarak?

Sudah pasti masing-masing ingin melipat gandakan amal ibadat semata-mata untuk merebut ganjaran yang dijanjikan Allah swt.. Ramadhan juga dijadikan landasan untuk menginjak ketaqwaan kita pada Allah swt..

Bagi yang beriltizam dengan harapan demikian, alhamdulillah

Dalam mengejar ganjaran Allah, jangan kita lupa untuk memimpin saudara serta teman untuk turut serta mempergiatkan amalan demi mencapai matlamat yang sama.

PUASA SYARIAT atau PUASA ADAT?

Wujudkah Puasa Adat? Sudah tentu kita berpuasa kerana mengikut syariat Islam.

Kita ulangkaji sikit mengenai ‘Rukun Islam’

1) Mengucap dua kalimah syahadah
2) Menunaikan solat lima waktu
3) Berpuasa di bulan Ramadhan
4) Menunaikan zakat
5) Mengerjakan haji

Dapatlah kita lihat dari senarai Rukun Islam di atas bahawa kita sekarang berada pada tuntutan rukun yang ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadhan.

Apa yang dapat kita lihat pada hari ini, kebanyakan dari kita yang mengakui Muslim tidak melaksanakan puasa sebagai ibadah mengikut tuntutan syariat. Dalam erti kata lain, tidak memahami konsep puasa dalam Islam.

Apabila berbicara tentang puasa, apa yang bermain di kepala kita adalah tak boleh makan serta minum. Ada pula yang mengeluh seumpama terpaksa berpuasa selama sebulan.

Tiada matlamat. Puasa tak habis lagi, kalut nak raya. Siapa mereka yang tersasar dari matlamat puasa sebenar? Siapa lagi kalau bukan saudara, rakan-rakan bahkan diri kita sendiri.

Akibat kejahilan, ibadat puasa yang penuh dengan limpahan rahmat Allah swt. dilalui dengan sia-sia. Tiada ganjaran.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


"Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperolehi apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga, dan ramai yang mendirikan solat malam tetapi tidak memperolehi apa-apa pun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam".

Amatlah takut orang-orang yang beriman kiranya puasa mereka sia-sia apabila mendengarkan hadith berkenaan. Tumpuan, matlamat, kesungguhan serta keikhlasan mesti hadir dalam diri kita untuk melakukan apa jua ibadah. Andainya salah satunya tiada, maka jawapannya seperti mana hadith di atas.

Orang puasa, kita pun puasa. Atas kefahaman yang begitu saja kita berpuasa.

Itulah ‘Puasa Adat’. Ramai di kalangan kita sekadar berpuasa, tapi solat lima waktu diabaikan. Tuntutan rukun Islam yang kedua pun tak tertunai, tiba-tiba berpuasa untuk mendapat ganjaran.

Dapatkah? Ya, memang dapat. Dapat sebagaimana huraian hadith di atas.

Tanyalah diri kita masing-masing.

“Adakah aku berpuasa mengikut ‘Puasa Syariat’ atau ‘Puasa Adat’ ?”

Marilah kita sama-sama muhasabah diri, kita masih diberi kesempatan untuk membaiki nilai puasa kita walaupun Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya.



..............................................................................................
Tujuan penulisan ini adalah untuk saling nasihat-menasihati dan sebagai ingatan sesama kita saudara seagama bahkan untuk diri yang sering lalai ini. Kelak kepada-Nya jua kita kembali. Mulai saat ini dan seterusnya, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt. Kita sudahpun berada pada 10 malam terakhir Ramadhan. Jangan lepaskan peluang yang ada untuk kita keluar dari cengkaman agenda Iblis, syaitan serta musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan menyesatkan kita selama ini.

Hari ini kita umat Islam semakin lemah. Inilah masanya kita bangun bersama. Sesungguhnya akhir zaman ini sudah hampir tiba pada kemuncaknya. Wallahua’lam.

InsyaAllah, gerakan kebangkitan umat Islam bermula pada bulan yang mulia ini.

Ayuh! bersama berganding bahu.
"Jangan biarkan kesedaran anda tergantung"

Dipetik dari I luv ISLAM
From:kumpulan satu edit blog

Jom Dengar Al-Quran

Listen to Quran

Contact Us

Name

Email *

Message *