SABDA Rasulullah SAW:
“Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak daging itu, maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Diri manusia terbahagi kepada dua iaitu fizikal dan spiritual. Spiritual termasuk akal, nafsu, perasaan dan yang paling utama ialah hati kerana tindakan, perbuatan, perilaku dan sikap seseorang dipengaruhi olehnya.
Sifat hati pula terbahagi empat iaitu kebuasan, kebinatangan, kesyaitanan dan ketuhanan. Tiga sifat pertama terbabit pula bukan mudah untuk dibuang, malah akibat daripada itu ramai umat Islam kecundang hingga akhirnya melakukan dosa besar.
Manakala sifat terakhir iaitu ketuhanan saja yang akhirnya mampu membawa kita ke jalan benar dan diredai Allah SWT, tetapi bukan mudah melakukannya kerana hanya yang benar-benar mahu berubah mampu melaksanakannya.
Secara umumnya, untuk membersihkan hati yang kotor, kita hendaklah membiasakan diri dengan berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT.
Hati juga boleh diubati dengan mengamalkan beberapa perkara iaitu membaca al-Quran dan memahami serta mentadabbur maksudnya, meningkatkan amalan solat sunat pada waktu malam dan banyakkan menangis bertaubat kepada Allah SWT, berkawan dengan orang soleh juga alim ulama.
Selain itu, amalan lain ialah membiasakan diri dengan berpuasa sunat, kerap berzikir waktu siang atau malam serta sentiasa mengingati mati.
Penyakit paling berbahaya bagi hati ialah menyekutukan Allah SWT dengan yang lain, mendustakan kebenaran, hasad dengki terhadap sesama manusia, benci, dendam, bongkak, sombong, angkuh dan pelbagai lagi.
Lawan daripada menyucikan atau membersihkan hati ialah mengotorinya. Seseorang yang beriman hendaklah selalu mengutamakan kebersihan luaran juga dalaman diri kerana kekotoran akan membuka segala pintu kejahatan.
Contoh bukti kekotoran jiwa ialah perbuatan kaum Thamud yang tidak mengutamakan nilai-nilai budi dan kesopanan, meminum arak, malah melakukan zina secara terang-terangan.
Renungi firman Allah SWT dalam Surah al-A’raaf, ayat 179:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami dengannya ayat-ayat Allah"
yang terjadi sebaliknya KERANA.....
Mengingati Allah hiburan orang-orang beriman
Benar, ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan seseorang itu jadi pemarah, perengus, tertekan dan resah.Menyuburkan emosi memang penting kerana dari situ akan timbul sikap kasih sayang, prihatin dan peka pada persekitaran sekeliling.
Tetapi apabila disebut hiburan bukanlah semata-mata yang mungkin difahami anak remaja kini iaitu nyanyian, konsert, pesta, karaoke, kelab malam atau berpeleseran saja. Malah, melihat keindahan alam, melancong, ekspedisi dan berkelah juga hiburan.

Ada tiga kategori hiburan:
i- Bagi seorang mukmin ialah iman, amal ibadat, wirid dan zikir atau apa saja perbuatan yang membawa pahala daripada Allah adalah hiburan. Ini kerana hasil daripada itu adalah ketenangan dan ketenteraman. Jiwa yang sentiasa hidup dan segar. Emosi pula terkawal. Perkara inilah yang dimaksudkan Allah dalam al-Quran iaitu firman-Nya bermaksud:
"Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang."
ii- Hiburan kategori kedua iaitu apa saja cara yang dapat menghilangkan keresahan dan kerunsingan yang tidak bertentangan dengan syariat serta akidah. Malah, jika dihayati hiburan jenis ini dapat dijadikan cara untuk mendekatkan diri pada Allah. Umpamanya, jika berkelah atau berekspedisi di samping dapat menghilangkan bosan dapat juga merasai kehebatan ciptaan Allah, meresap di jiwa lalu timbul rasa gerun kepada-Nya. Tetapi hakikatnya, ramai yang tidak menyedari hikmah di sebalik berhibur. Jadi, hiburan hanya sekadar hiburan, terhenti setakat itu saja.
Namun, hiburan kategori ini selagi tidak bercanggah dan tidak memberi kesan negatif, ia ibarat ubat mengurangkan kesakitan yang dapat menghilangkan keresahan buat seketika, tetapi tidak dapat menghapuskan punca keresahan itu.
iii- Hiburan kategori ketiga paling popular terutama muda-mudi. Konsert artis, nyanyian yang lalai, pesta, kelab malam dan berpasangan adalah menjadi hambatan hidup remaja kini. Hiburan ini bukan saja tidak bersifat menyembuhkan, malah umpama penagihan dadah. Memang seronok, ibarat gula-gula, manis dan sedap tetapi tidak mengenyangkan. Keseronokan itu bukan bererti kebahagiaan atau ketenangan. Malah, beransur-ansur membawa akibat buruk dan negatif pada jangka masa panjang.
Hiburan kategori ini mendatangkan kesan buruk pada hati yang tidak dapat dikesan. Hati menjadi keras, gelap, lalu terdinding daripada mendapat kelazatan mengingati Allah, malah sukar untuk menerima kebenaran.
Justeru, orang yang mendapat hiburan hakiki (sebenar) umpama mendapat hidangan dan makanan lazat lagi enak, tidak perlu lagi pada gula-gula yang tidak berkhasiat.
Selalunya hanya kanak-kanak yang amat gemar pada gula-gula, manakala golongan dewasa tidak kerana mereka lebih mengutamakan makanan mengenyangkan.
Tips di hari raya
“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian daripada mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain dengan ucapan ‘Taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” ( Kitab Fath al-Bari) Justeru, mulai daripada syawal 1431 H pada tahun ini, adalah tidak salah untuk kita mulakan lafaz hari lebaran dengan ucapan indah yang bertepatan dengan anjuran sunnah Rasulullah S.A.W. Etika Pemakaian
Oleh itu, marilah bersama-sama kita mencari reda Ilahi dalam menyambut hari lebaran ini. Moga setelah kita telah sebulan berpuasa, semakin bertambah keimanan serta ketakwaan kita terhadap-Nya. Marilah bersama-sama menjadi mukmin yang sejati. Bersama kita mencari reda Ilahi.. Sekian sahaja untuk kali ini. Insyaalllah saya akan menulis lagi. PERPPIS mengucapkan kepada semua muslimin dan muslimat "SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. SEMOGA ALLAH MENERIMA AMALANMU DAN AMALAN KAMI. MAAF ZAHIR DAN BATIN.".
|
Coretan pengalaman
05/09/2010
Usai saya dan sahabat seperjuangan mendengar kuliah haraki yang disampaikan oleh abi (Cikgu Mohd. Nasir Che Ali), setelah menunaikan solat Zuhur di pejabat kami pun memulakan langkah kami untuk ke Taman Ria. Memang dah tekad untuk memulakan operasi jihad iaitu memungut derma untuk program yang secara tahunan akan diadakan oleh PERPPIS iaitu Kursus Amal Islami (KAMI). Sebelum kami memulakan operasi memungut derma, kami singgah di rumah umi untuk menyimpan barang. Yelah takkanlah nak bawa barang-barang sambil memungut derma..banyak tuu.. Setelah berehat dan usai menunaikan solat Asar, kira-kira dalam pukul 3.45 petang kami pun bergerak menjalankan misi kami. Sasaran kami ialah Taman Ria 10 dan 'target' pungutan kami paling kurang ialah Rm 50.00. Perjalanan kami dimulai dengan alunan basmallah dan jauh di sudut hati, masing-masing berdoa supaya dipermudahkan oleh Allah sepanjang perjalanan ini.
Pada mulanya, mestilah rasa malu yang menebal melingkari diri ini. Yelah, perlu ada semangat dan keberanian untuk menjalankan misi tersebut. Kami 3 orang bergerak secara berjemaah menggagahkan diri menuju ke rumah yang pertama. Memandangkan kedua-dua orang sahabat saya baru dalam PERPPIS, sayalah yang memulakan dahulu. Setelah puas menerangkan, sayang seriba kali sayang perasaan hampa pula yang datang menghinggap kerana layanan kami hanya disambut dengan dingin. Tak pa kami kuatkan lagi azam menuju ke rumah kedua. Kata-kata abi masih lagi terngiang-ngiang dalam fikiran saya. "Jangan malu nak buat kerja yang baik dan mendatangkan maslahat kepada umum. Pahala bah itu.." Alhamdulillah di rumah kedua, Allah permudahkan rezeki kami kerana pemilik rumah tersebut bermurah hati memberikan kami derma. Macam-macam gelagat masyarakat yang kami temui.. Terdapat dalam kalangan mereka yang menyambut mesra kedatangan kami dan tidak kurang terdapat dalam kalangan mereka juga yang kurang senang dan berasa curiga dengan kami. Walau apa pun rintangan yang melanda, kami tetap ingin menempuhnya juga.
Entahlah, lama-kelamaan perasaan malu tersebut makin berkurang. Rakan saya yang lain pun sudah mula memberanikan diri untuk berkomunikasi dengan masyarakat dan mereka sendiri berkata bahawa aktiviti mencari derma ni merupakan suatu aktiviti yang menyeronokkan dan akan menjadi kenangan terindah dalam kompas kehidupan. Ye lah.. apa tidaknya, pelbagai jenis ragam masyarakat yang kami temui. Jam pada waktu tersebut menunjukkan pukul 05.25 minit petang. Cuaca pada masa itu menunjukkan tanda-tanda nak hujan. Jadi, kami pun bergegas pulang ke rumah umi. Ye lah.. nak bantu umi menyediakan juadah untuk berbuka puasa. Alhamdulillah kami tiba dengan selamat. Tanpa berlengah kami segera naik ke atas dan mengira pulangan yang kami dapat hasil daripada aktiviti memungut derma tadi.. Biasalah perasaan teruja dan ingin tahu jumlah kesemuanya yang terkumpul. Kami pun mula mengira..Alangkah bersyukurnya kami apabila jumlah yang kami kutip melebihi sasaran yang kami sasarkan. Semuanya berjumlah Rm 168.00.. Wow!! Jumlah yang tidak kami jangka. Setiap seorang dapat Rm 58.00 untuk Kursus Amal Islami.
Setelah selesai mengira, kami pun turun ke bawah ringankan tulang membantu umi di dapur. Emm, kali ni umi masak 'special' sedikit untuk meraikan kedatangan kami. Sibuk juga kami di dapur membantu umi menyiapkan juadah berbuka puasa. Terkadang terdengar gelak ketawa kami menceriakan lagi petang tersebut. Jam menunjukkan pukul 06.00 petang. Abi membawa anak-anaknya (Miqdad, Hazim dan Zahin) ke masjid seperti biasa sekali gus menunaikan solat Maghrib di masjid. Sayup-sayup kedengaran bilal melaungkan azan dan kami pun berbuka puasa bersama umi. Emm, lazat sungguh masakan umi. Sampai menjilat jari lah katakan..Setelah siap mengemas kami pun menunaikan solat Maghrib. Masa berlalu begitu pantas sekali dan benarlah pepatah yang mengatakan bahawa 'Masa Itu Emas'.. Maghrib sudah melabuhkan tirainya dan Isyak menjelang tiba. Setelah solat Isyak, kami bersama-sama solat sunat tarawih bersama dengan umi.
Usai menunaikan solat sunat tarawih, kami sempat bercerita dengan umi dan bermain dengan anak umi. Syok juga mengusik si Amirah dan Miqdad serta bermain dengan Afiqah. Rasa rindu timbul di hati kerana lama sudah rasanya saya tak datang menginap di rumah umi.. Kira-kira pukul 12.00 tengah malam, mata pun semakin lama semakin berat dan kami syahid dibuai mimpi.



