Penjualan takwim solat


Takwim solat baru-baru ini telah diedarkan disekitar tawau oleh AJK PERPPIS Bahagian Tawau dengan harga penjualan takwim tersebut hanya RM3.50 sahaja. Al-Hamdulillah, takwim yang telah dikeluarkan sebanyak 4,000 telah mendapat sambutan dan kini hanya tinggal 1,000 sahaja lagi. Jika berminat dengan pembelian takwim solat untuk tahun 2010/1431H bolehlah mendapatkannya di kedai BUSANA MUSLIM atau terus menghubungi pihak kami secara lanjut di nombor yang tertera 0128610033...

Oleh: kembara-syabab

"Membangun bersama Islam"

keperibadian remaja muslimat

Akal mengatakan muslimat itu cantik,
disebabkan,
ilmu dan kepintarannya.
Hati mengatakan muslimat itu cantik,
disebabkan,
penampilan dan akhlaknya.
nafsu mengatakan muslimat itu cantik,
disebabkan,
paras rupanya.
kepada kaum hawa....
usahlah berbangga dengan kecantikan paras rupa mu,
kerana....ia cuma di cintai oleh nafsu...
bukan akal atau hati...
sesungguhnya orang yang ikhlas mencintaimu,
adalah orang yang mencintai dari sudut
akal dan hatinya.
RENUNG-RENUNGKANLAH muslimat yang di cintai

Ditulis oleh: syabab kuhara

PETUA-PETUA DOA MAKBUL

Petua-petua doa makbul
(bingkisan untuk remaja)

Antara petua doa makbul adalah:

1. Berdoa dengan ikhlas kepada Allah
2. Memulakan dengan pujian kepada Allah, diikuti dengan selawat kepada Nabi s.a.w.
Sekurang-kurangnya kalimah pujian kepada Allah dan selawat
3. Mengakhiri doa dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Nabi s.a.w juga.
4. Bersungguh-sungguh ketika berdoa, menghadirkan hati dan meyakinkan diri pada
penerimaannya oleh Allah s.w.t
5. Berdoa dengan khusyuk dan rendah diri.
6. Berdoa dengan penuh pengharapan dan mengangkat kedua tangan.
7. Berdoa dan sabar menanti untuk dimakbulkan Allah. Sikap terburu-buru mengakibatkan doa ditolak . Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
" dikabulkan doa seseorang dari kalian selama dia tidak terburu-buru. Dia berkata: Aku sudah berdoa, tapi Allah tidak mengabulkannya." ( Riwayat al-Bukhari dab Muslim )
8. Sentiasa berdoa pada setiap masa, sama ada ketika senang atau susah.
9. Tidak berdoa tentang perkara keburukan, seperti mendoakan kecelakaan bagi orang lain dan memutuskan silaturrahim.
10. Tidak berdoa paada tempat maksiat.
11. Merendahkan suara.
12. berdoa dengan mengulangkannya.
13. Menghadap ke arah kiblat.
14. Mengangkat kedua-dua belah tangan ketika berdoa.
15. Berdoa dalam keadaan berwuduk.
16. Hendaklah bertaubat kepada Allah sebelum memohon hajat.
17. Tidak bersajak dalam berdoa dengan tujuan diperindahkan bagi orang yang mendengarnya.
18. Menggunakan ayat-ayat yang ringkas tapi padat dengan makna.
19. Menyeru Allah s.w.t dengan nama-nama-Nya yang mulia.
20. makanan dan minuman mestilah daripada sumber yang halal, kerana Allah menolak doa oleh orang yang makan dan dibesarkan daripada sumber yang haram.
21. Hendaklah melakukan Amar makruf dan nahi mungkar
22. Hendaklah mendoakan diri sendiri sebelum mendoakan bagi orang yang lain.
23. Menghimpunkan anak-anak jari kesemuanya melainkan ibu jari kerana kesemua itu menghimpunkan kebaikan dunia dan akhirat.
24. Menyapu muka dengan tangan setelah selesai berdoa.
25. Mengaminkan doa yang dibacakan.


REMAJA HARI INI MEMANG HEBAT



Bukannya dongeng ataupun hikayat
Cerita benar lagi tersurat
Saja nak bagi tau, bukannya mengumpat
Remaja hari ini memanglah hebat


Datang sekolah kalau boleh nak lambat
Waktu balik semedangnya nak cepat
Terkejar-kejar macam budak darjah empat
Alangkah seronoknya kalau dapat balik jam 10 tepat?


Duduk di rumah pun bukannya ada apa dia nak buat
Di depan televisyenlah dia terlopong terkulat-kulat
Kot-kotlah dia nak baca buku ke… nak tambah ibadat
Jangan diharap. Dia liat sehabih-habih liat


Setiap minggu turun ke pekan tak pernah lambat
Sanggup dia naik bas macam sardin sikit punya sendat
Merayau, melepak, mengorat dan diorat
Solat Zohor dan Asar entahlah kat mana dia buat


Sudah jadi ‘trend’ gadis-gadis Melayu hari ini pakai baju yang nampak pusat
Maka terpamerlah daki-daki yang tersumbat
Kononnya dia pakai begitu supaya waktu dia turun bas semua mata kagum melihat
Dialah yang paling seksi, lagi canggih dan punya perut yang berkarat


Dua hari lagi nak periksa dia buat kelam-kabut
Jadual ‘study; baru dia nak lekat
Rajin pulak dia ke masjid, apakah dia sudah bertaubat?
Entahlah… tapi yang pastinya… remaja hari ini memang hebat


Langkah pertama berutus surat
Langkah kedua jumpa menatap
Langkah ketiga duduk rapat-rapat
Langkah keempat… ditangkap, dibawa mengadap ustazah ataupun ustaz


Hanya sekadar inilah yang sempat
Semoga kita ambil manfaat
Nasihat kita jadikan azimat
Remaja hari ini memang hebat


Oleh : imtiyazkhairunnisa

Tarikh : 11/12/2009 (12.40 tengahari )

Tempat : pejabat

JEJAK

Menapaki langkah-langkah berduri
Menyusuri rawang badai hutan
Berjalan di antara tebing jurang
Semua dilalui demi perjuangan

letih tubuh di dalam perjalanan
saat hujan dan badai merasuk di badan
namun jiwa harus terus bertahan
kerana perjalanan masih panjang

kami adalah tentera Allah
siap melangkah menuju ke medan juang
walau terluka kaki ini berjalan
jiwa perindu syahid tak akan tergoyahkan

wahai tentera Allah bertahanlah
jangan menangis walau jasadmu terluka
sebelum engkau bergelar syuhada
tetaplah bertahan dan bersiap siagalah

oleh : imtiyazkhairunnisa
tarikh : 08/12/2009 (08.15)
tempat : pejabat

Lidah kesat, masyarakat tabiat

"Di dalam hidup manusia, yang penting
ialah BERKAT.
"Bila hidup kita berkat, diri ini akan
selamat.
"Apabila diri selamat, rumahtangga jadi
sepakat.
"Apabila rumahtangga jadi sepakat,
masyarakat jadi muafakat.
"Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita
menjadi kuat.
"Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat.
"Apabila negara luar jadi
hormat, permusuhan pun tersekat.
"Apabila permusuhan tersekat,
pembangunan pun meningkat.
"Apabila pembangunan pun meningkat,
kemajuan menjadi pesat.

"TETAPI AWAS, apabila pembangunan
meningkat, kemajuan menjadi pesat,
kita lihat bangunan naik bertingkat-
tingkat.
"Ditengah- tengah itu, tempat maksiat
tumbuh macam kulat.
"Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam
kulat, KETIKA ITU manusia mula
mengubah tabiat.
"Apabila manusia telah mengubah tabiat,
ada yang jadi lalat ada yang jadi
ulat.
"Apabila manusia dah jadi ulat,
sembahyang makin hari makin liat.
"Apabila sembahyang jadi liat, orang
baik ada yang bertukar jadi
jahat.
"Apabila orang baik bertukar jahat,
orang miskin pula nak kaya cepat.
"Apabila orang miskin nak kaya cepat,
orang tua pula nak mati
lambat.
"Apabila orang tua nak mati lambat, tak
dapat minum madu telan jerla
minyak gamat.

"Yang lelaki, budak budak muda pakai
seluar ketat.
"Semua nak tunjuk kuat.
"Bila berjudi, percaya unsur khurafat.
"Tapi hidup pula yang melarat.
"Tali kasut dah tak berikat.
"Rambut pun jarang sikat.

"Yang perempuan, pakai mini sekerat.
"Suka pakai baju ketat.
"Suka sangat menunjukkan pusat.
"Hingga tak pedulikan lagi batasan
aurat.

"Pakai pulak yang singkat-singkat.
"Kadang-kadang ternampak benda 'bulat'.

"Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti
tercegat."Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan
lagi hebat.
"Duduk jauh berkirim surat .
"Bila berjumpa, tangan berjabat.
"Kemudian pakat lawan peluk siapa erat.
"Masa tu, nafas naik sampai tersekat

Bersambung... nantikan "kesat dikerat"

Oleh : Iqram Al-Mujahid
Tarikh : 21/11/2009
Masa : 8.00 malam
Tempat : KG. MUHIBBAH

Ini Langkahku

Tinta menghurai bicara
Sirah menyingkap sejarah
Terbentanglah segenap kisah
Tamadun mula berbicara

onak duri yang mendatang
ujian, badai dan cabaran
sebagai acuan setiap perjalanan
menjadi pelengkap sebuah perjuangan

Telah ku pilih jalan ini
sebagai perjalanan hidupku
Walau ku tahu kebahagian belum tentu
namun ku tahu kemenangan hanya satu

Tiap langkahku
terselit jalan yang berliku
Acap kali dipalu
menuntun pengorbanan yang jitu
Adakalanya,
merantai diriku
mencabar kesabaranku
mengundang egoku
Menggugat imanku
itulah yang harus ku tempuh
sebagai tarbiah buat diriku
untuk meningkatkan martabat diriku

oleh : imtiyazkhairunnisa
tarikh : 07/12/2009 ( 2.25 petang)
tempat: pejabat

BICARA HATI

Menyimpan rahsia hati
Menyingkap jendela hati
Melihat peribadi
Telah terluaskan akhlak di sanubari

Pana melakar rasa
Kalam menuntut bicara
Mengurai setiap maksud di jiwa
Mentafsir simbolik setiap cerita.

Merentas jalan nan panjang
Telah tersedia cabaran mendatang
Mengharungi cabaran bertandang
Telah tertulis 1001 halangan bersilang.

Hidup sebentar Cuma
Ibarat sekelip mata ia akan berakhir jua
Tamsilan pasang air kau surut jua
Inilah terlakar suratan takdir.

Renunglah pada sekelumit hati
Muhasabah di akar malam nanti
Jangan tibanya waktu diri masih mencari
Apakah bekalan bertemu Ilahi.

OLEH :Imtiyazkhairunnisa
Tarikh :03/12/2009 (03.36 petang)
tempat :Pejabat

DEMI MASA

DEMI MASA
(Peringatan untuk pelajar SMK Tawau)

Assalamualaikum
Cikgu mulakan bicara hari ini dengan memetik maksud surah Al-Asr ayat 1 dan 2. “Demi masa, ssungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh”. Harapan cikgu, pelajar-pelajar tingkatan 6 Rendah Iltizam dan 6 Rendah Realis pada waktu dan ketika ini, semoga berada dalam keadaan sihat walafiat. Terima kasih kerana anda sekalian ternanti-nanti soalan latihan yang telah cikgu janjikan sebelum cuti akhir tahun bermula. Soalan berkenaan telah disediakan, dan boleh meneliti di bahagian “Latihan BM”.
Masa cuti hanya tinggal sebulan sahaja lagi, sebelum sesi persekolahan 2010 bermula pada 4 Januari 2010. Manfaatkan cuti yang telah dianugerahkan kepada anda dengan melakukan kerja-kerja yang makruf dan jauhilah sama sekali perbuatan-perbuatan yang membawa dosa walaupun perkara atau perbuatan itu amat anda gemari. Tiada untungnya, melakukan kerja-kerja atau perbuatan yang berdosa. Malahan perbuatan berkenaan akan mendatangkan murka Allah S.W.T. Fikir-fikirkanlah, semoga perjalanan hidup anda hari ini lebih baik daripada hari semalam.

Sekian, wassalam.

3 Disember 2009
2.00 petang

KAMI DAN KRIS


Bicara kali ini, saya ingin memberi penjelasan tentang program Kursus Amal Islami (KAMI) dan Kem Remaja Islam (KRIS) yang telah diajukan pertanyaan oleh pengunjung blog PERPPIS.
Pada asasnya kedua-dua program KAMI dan KRIS mempunyai matlamat yang sama, kedua-dua juga mewujudkan program makruf yang wajar disokong, dibantu, malah ditaja perbelanjaan. Penyertaannya program berkenaan juga terdiri daripada golongan remaja atau pelajar menengah rendah dan menengah atas . program KAMI penyertaannya terhad atau terbatas, lazimnya tidak melabihi 130 peserta, manakala program KRIS penyertaannya tidak terbatas , boleh mencecah 300 peserta.

Program KAMI, operasi dan pelaksanaan dikendalikan oleh AJK PERPPIS bagi sesi atau tahun berkenaan.Manakala program KRIS dikelolakan oleh Persatuan Siswazah Sabah (PSS). Program KAMI sebenarnya merupakan amali atau latihan sebenar bagi para AJK PERPPIS untuk mempraktikkan ilmu pengurusan dalam Islam. Melalui program KAMI, para AJK akan melalui fasa-fasa pengurusan seperti membuat perancangan, pelaksanaan kerja, pemantauan kerja dan akhirnya melakukan post-mortem atau penambahbaikan.

Semua AJK PERPPIS akan terlibat dalam semua gerak kerja mengikut pembahagian tugas yang diputuskan oleh mereka sendiri dalam mesyuarat. Bermula daripada penyediaan kertas kerja, surat-menyurat, pamplet, urusan mencari dana, membuat publisiti, mengenal pasti peserta, merangka aktiviti yang wajar dan segala segi yang berkaitan dengan program KAMI dilakukan oleh para AJK PERPPIS sendiri. Situasi inilah yang akan mendidik mereka untuk bekerja secara amal jama’I dalam satu pasukan, berukhuwah, tolong-menolong, mengasah kemahiran interaksi, membina keyakinan diri dan sekaligus mengikis perasaan malu yang tidak bertempat.

Tuntasnya, program KAMI, jika gerak kerjanya dilakukan dengan ikhlas oleh para AJK PERPPIS, sudah semestinya akan memberi natijah yang positif kepada jiwa, mental dan sahsiah para AJK PERPPIS.Mudah-mudahan semua AJK PERPPIS sesi 2008/2009 pada kali ini dapat menjayakan program KAMI Kali Ke-16 dengan tema “REMAJA BERSWADAYA” dengan semangat swadaya yang tinggi. Moga-moga Allah SWT akan memberi jalan kemudahan kepada semua AJK PERPPIS bagi melaksanakan usaha yang murni ini.
Sekian.

14 Zulhijjah 1430. 11.30 malam.


Monolog anak seorang pejuang

Jelmaan merentas bongkah sendu
Mengorba naluri merungkai pilu
Mengharungi gurun tanpa bayu
Menapaki perjuangan yang berliku

Lahirku,
Mengukir deretan senyuman sayu
Mengundang lautan kegembiraanmu
Membaja bibit kasih buat diriku
Kucupan sayu darimu sungguh menusuk kalbu

Hari demi hari yang dilalui
Hidupku dipenuhi dengan cahaya Ilahi
Setiap tingkahku untaian ‘bismillah’ engkau bicarakan
Agar daku mengenal permulaan segalanya.
Setiap silapku kau bisikkan dengan istighfar
Agar daku mengenal apa itu taubat dan dosa
Setiap nikmat yang dikecapi engkau bicarakan tahmid
Agar aku mensyukuri nikmt Rabbi
Bisikan zikrullah sentiasa bergema ditelingaku
Mengalir ke relung hatiku
Membuahkan rasa mengenal Tuhanku.

Dialah penerang jalan gelita
Penenang rasa yang bergelora
Pelembut hati yang durjana
Penyejuk jiwa yang membara
Pengubat luka dan bisa
Penghibur duka nestapa
Peransang semangat waja.

Alangkah beruntungnya hidupku
Kau tabah menghadapi kenakalanku
Tegar melayani karenahku
Sabar menghadapi tindak-tandukku
Yang adakalanya menguji dirimu
Namun,
Kau memujuk dirimu
Merawat lukamu
Dengan simpulan senyuman berpaksikan ketenangan

Dengan wasilah perjuangan ini menginsafi diri
Lalu hidup ini diisi
Dengan budi pekerti
Dengan amal bakti
Dengan iman dan budi

Aku menangis lantaran terharu
Kebijaksanaanmu mendidik diriku
Dengan acuan Islam yang tercinta
Dalam kesibukanmu memegang amanah sebagai pejuang
Dirimu tak jemu melayani diriku
Sifat sabarmu sungguh memikat kalbu
Kelembutan bicara menasihatiku
Tawadukmu itulah yang terindah bagiku

Wahai ummiku
Saban waktu diriku abdi digobokku
Senyum manismu menenang jiwaku
Kerlingan mengorak senyumku
Omelanmu mencuit hatiku.

Wahai Abiku
Didiklah daku setulus hatimu
Pimpinlah aku seikhlas hatimu
Belailah aku dengan sentuhanmu
Bekallah daku dengan ilmu
Moga hidupku dihiasi redhaNya

Aku tak ingin hanyut diabui keasyikan duniawi
Dibelenggu jahiliyyah memagari diri
Tersadung dalam kancah kealpaan
Lantaran masih bertapak
Legasi orientalis
Helah globalisasi
Memperhamba diri
Tamsilan daripada kekurangan
Tarbiah hati.

Ummi dan Abiku..
Disaat peluh menghiasi dirimu
Keluh membebani dirimu
Perjuangan tetap kau tempuh

Dengan iman yang teguh
Kau pimpin daku turut menyelusuri
jalan perjuangan ini
Walaupun kekuatanmu secangkir cuma
Masamu sedetik sahaja
Perjuangan kukuh menapak jua

Maafkan daku atas kesilapanku
Terhadapmu (ummi dan abiku)
Daku dambakan doamu
Menghiasi jalan hidupku
Agar sentiasa di landasan yang teguh
Tekadku,
Akan ku susuri jalan perjuanganmu
Menuju Tuhanku….

(Takbir) 3X

oleh : imtiyazkhairunnisa
masa : 12.07 pagi
tempat : pejabat

MENJADI REMAJA YANG BERANI

1. Tiada kejayaan tanpa keberanian. Kejayaan dalam hidup adalah perjuangan yang pada hujungnya adalah kemenangan. Kemenangan hanya milik orang yang berani. Untuk Berjaya, kita mesti berani mencari dan menambah pengetahuan, maklumat dan pengalaman. Berani mencuba apabila mahukan kejayaan menjadi milik kita.
2. Bersedia mencipta kejayaan. Jangan hanya berpuas hati dan mendabik dada dengan pencapaian generasi terdahulu. Fikirkan di mana uasaha dan pencapaian kita? Oleh itu, tidak cukup sekadar mempunyai pengetahuan sahaja. Kita perlu mempunyai kemahiran dan semangat tinggi bagi mencapai kecemerlangan. Laksanakan dengan berani apa yang sudah dirancang.
3. Berani pemikiran dan jiwa. Mereka yang berani bukan yang sedia melawan dan menunjuk gagah kekuatan tubuh mereka. Sebaliknya, berani mencetuskan pemikiran dan idea baru. Miliki keberanian jiwa, hadapi segala rintangan. Justeru, tetapkan matlamat yang jelas dan seterusnya berani mencapai matlamat itu.
4. Bercita-cita besar. Apabila kita berani mencetuskan pemikiran dan idea baru, letakkan cita-cita dan matlamat yang besar. Nampak seperti mustahil untuk dicapai. Tetapi, orang yang mahu mencari jalan, yang tidak mahu memberi alasan. Cari jalan bagi mencapai cita-cita itu.
5. Berani mencuba. Tidak memadai jika kita hanya berfikir tapi takut melaksanakannya. Tanpa percubaan dan usaha yang bersungguh-sungguh, keberanian berfikir kita tak bermakna. Dalam mencuba, yakin kita akan berjaya. Jangan lupa bertawakkal dan berdoa kepada Allah kerana ketentuan sesuatu adalah di bawah kekuasaan-Nya.
6. Elakkan ungkapan ‘ Tidak boleh’ . Ucapkan kepada diri sendiri kata-kata gagah yang dapat merangsang diri. Jangan sesekali kata “Aku tidak boleh” sebelum mencuba dan berusaha. Jangan kalah sebelum masuk gelanggang. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
7. Mulakan langkah pertama. Kita akan terus berada di bawah kepompong perasaan takut, selagi mana kita tidak memulakan langkah pertama untuk keluar, jangan teragak-agak untuk berubah. Orang penakut tidak ke mana-mana., malah ketinggian dan dipangang hina. Kita mahu jadi begini?
8. Lihat apa yang ada di belakang jangan toleh ke belakang lagi. Apabila kita sudah memulakan langkah berani bagi mencuba sesuatu, teruskan perjalanan. Jangan toleh belakang lagi kepada perassan takut yang ada di belakang kerna yang ada di belakang kerana di hadapan kita adalah bayangan kejayaan dan kecemerlangan. Usah hiraukan ejekan, kata-kata perli dan hasutan mereka yang berada di sepanjang jalan.
9. Ingat, berani adalah pemisah antara kejayaan dan kegagalan. Berani juga memisahkan antara yang mulia dan hina. Kadang-kadang orang yang berani membuat perubahan menerima tekanan dan ujian. Ini adalah perjuangan yang sering kali dilingkari dengan onak dan ranjau duri. Tetapi, tanamkan dalam ingatan bahawa sikap berani menjadi pemisah antara yang berjayadan gagal, yang mulia dan hina.

Hari Raya Korban


"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."

(Surah Al-Hajj Ayat 37)

Tafsiran Ringkas :

Allah tidak menginginkan sesuatu dari makhluk, samada berupa daging dan darah binatang korban mahupun hadiah.Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Kepunyaan Allahlah segala yang ada di langit dan di bumi, juga antara keduanya. Sebaliknya makhluklah yang memerlukan pertolongan dan bantuan dari Allah.
Menyembelih binatang korban itu dihubungkan dengan sifat ikhlas dan taqwa. Keikhlasan adalah syarat sesuatu amalan diterima. Iaitu melakukan sesuatu hanya kerana Allah. Tidak kerana yang lainnya. Manakala takwa pula sifat berhati-hati dalam semua tindakan yang berkaitan hati, perbuatan dan percakapan, khuatir mendapat kemurkaan Allah.

Perbuatan menyembelih korban, dapat mempengaruhi batin manusia, iaitu hati, kerana dapat menjadikan hati menjadi gementar ketika nama Allah disebut. Mengakui kebesaran dan keagungan Allah, menyedari kekerdilan dan kelemahan diri.

Korban juga menjadi lambang kerelaan diri untuk mengorbankan hidup, dan segala sesuatu yang dimiliki untuk membela kebenaran atau yang hak. Tentunya berdasarkan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Walau sesukar mana cabaran dan dugaan yang dihadapi dalam menegakkan kebenaran itu, hati tetap teguh dan tidak mudah goyah. Keazaman tetap kuat untuk menegakkan kebenaran, bibir tetap tersenyum dengan kesabaran yang indah.

Waktu korban yang telah ditentukan waktunya, ini bermaksud agar seluruh hati kaum Muslimin
seluruh dunia berdenyut dalam waktu yang sama untuk melaksanakan satu cita-cita. Dengan demikian, ibadah korban memimpin manusia untuk mengembangkan cita-cita berkorban untuk kepentingan ummah secara keseluruhan. Tidak hanya memikirkan kepentingan peribadi.

Binatang yang dikorbankan melambangkan sifat kebinatangan dalam diri, maka dengan menyembelih binatang korban mengingatkan kepada manusia untuk menyembelih sifat kebinatangan dalam yang ada dalam diri. Biarlah sifat-sifat kotor seperti buas, tamak, rakus itu mengalir keluar dari tubuh kita sebagaimana darah yang mengalir ketika terputusnya urat merih dan halkum binatang korban.

Sembelihlah sifat kebinatangan yang ada di dalam diri kita. Jadilah Manusia yang Allah Sayang.

Oleh: Iqram Al-Mujahid
Masa: 10.37 pagi (Selasa)
Tarikh: 01. 12. 2009

Untukmu wanita…

Insan yang dikasihi,
Peliharalah auratmu bagai berharga,
Walau dimana kau berada,
Jangan biarkan keindahan dirimu,
Menjadi tatapan lelaki yang bukan mahrammu.

Insan yang dikasihi,
Peliharalah solatmu,
Tundukkan pandangan matamu,
Di hadapan lelaki yang belum jadi milikmu,
Kelak engkaulah bertuah,
Menjadi tetamu Allah,
Moga dirimu disambut penuh kasih,
Oleh Bidadari syurga Ainil Mardhiah.

Insan yang dikasihi,
Berakhlaklah atas panduan Rasulmu,
Contohi dan ikutinya,
Pasti engkau bahagia,
Sejuk mata memandang,
Bercahaya dunia dengan hiasan wanita solehah sepertimu…

Insan yang dikasihi,
Jadikanlah dirimu seperti permata,
Yang berharga dicelah kaca,
Ikuti perintah agama dan jauhi larangan-Nya,
Jadikan panduanmu adalah Al-Quran dan Sunnah,
Kelak hidupmu mendapat berkah.

Insan yang dikasihi,
Jangan biarkan dirimu hanyut,
Dengan arus kemodenan dunia,
Tanpa ada bekalan ilmu didada,
Renungilah masa depanmu,
Tetapkan iman dijiwa,
Moga ia menjadi perisai buat dirimu,
‘jangan kail panjang sejengkal lautan dalam hendak diduga’

Oleh : Iqram Al-Mujahid
Tarikh : 12. 11. 2009 (Khamis)
Masa : 01.00 petang