Dari Abu Umamah r.a., katanya: "Seorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah s.a.w., lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Bagaimana hukum seseorang yang pergi berperang untuk mencari pahala dan nama yang terpuji, apa yang akan didapatinya?" Maka Rasulullah s.a.w. (menyatakan kepadanya dengan) bersabda: "Orang itu tidak beroleh sebarang pahala"; Si penanya mengulangi pertanyaannya tiga kali dan Rasulullah s.a.w. pula tetap menjawab: "Orang itu tidak beroleh sebarang pahala"; akhirnya Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah `Azza wa Jalla tidak menerima sebarang amal melainkan yang dikerjakan untukNya semata-mata dan dengan tujuan untuk mendapat keredhaanNya."
( Abu Daud dan An-Nasa'i)
Hadis ini menerangkan bahawa:
Sebarang amal yang dikerjakan bukan kerana Allah, tidak ada nilainya di sisi Allah.
Huraiannya:
Sesuatu amal yang dikerjakan, walau seberapa besar dan tinggi nilainya pada anggapan manusia, belum tentu ada nilainya di sisi Allah untuk mendapat balasan pahala pada hari akhirat kelak.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menyatakan hukum perkara itu kepada orang yang bertanya mengenai seseorang yang berjuang di medan perang dengan tujuan untuk mendapat pahala dan nama yang terpuji sebagai pahlawan yang gagah berani; Baginda menyatakan bahawa orang itu tidak beroleh sebarang pahala. Baginda menegaskan jawapannya itu sebanyak tiga kali, sambil menerangkan sebabnya amal itu yang pada zahirnya dipandang tinggi nilainya tetapi pada hakikatnya tidak mendapat sebarang pahala kerana ia dikerjakan bukan kerana Allah semata-mata, sedang Allah Subhanahu wa Taala tidak menerima melainkan amal bakti yang dikerjakan dengan ikhlas kepadaNya.
No comments:
Post a Comment