Aku lupa,
kehidupan akhirku bukan di dunia,
namun di akhirat sana.
Aku lupa,
Pakaian akhirku bukan gaya kebaratan,
namun hanya helaian kain kafan.
Aku lupa,
Tilam akhirku bukan seempuk tebalnya kapas,
namun hanya tanah yang kotor dan keras.
Aku lupa,
katil akhirku bukan bersaiz raja atau ratu,
tapi saiz yang mampu menghimpit tubuh jika kurang amalanku.
Aku lupa,
Rotan akhirku bukan oleh cikgu sekolah,
namun oleh Munkar & Nakir jika jawapan ku berikan semua salah.
Aku lupa,
Sijil akhirku bukan ketika konvokesyen di dewan besar,
namun sijil amal ketika di padang mahsyar.
Aku lupa,
Titian akhirku bukan jambatan menara berkembar Petronas Malaysia,
namun titan sirat samada sampai ke syurga,
atau jatuh ke kawah neraka.
Aku lupa,
aku hamba kepada Tuhan,
yang perlu sentiasa melakukan pengabdian,
kerana itulah tujuan aku diciptakan,
kini bersyukur ku masih diingatkan,
sebelum tibanya hari kematian,
sebelum ia menjadi penyesalan,
meraung-raung mohon dikembalikan,
konon ingin perbaiki amalan,
namun hanya ucapan pendustaan,
kerana segala dalam pengetahuan Tuhan,
ayuh peluang waktu yang ada jangan kita persiakan.
"hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: "Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia),agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja.." [QS al-Mukminun, 23:99-100]