Inilah adalah pesanan yang penting. Bacalah betuk-betul kerana mungkin kita teralpa walaupun mungkin kita tahu mengenainya.
Ketahuilah kita sentiasa berhadapan dengan sesuatu perkara atau situasi yang memerlukan kita untuk membuat pilihan, keputusan atau tindakan. Ia menjadi penting atau lebih penting, jika pilihan, keputusan atau tindakan itu melibatkan pilihan antara 2 perkara atau lebih dan apabila ia mempunyai kaitan dengan orang lain sama ada berkaitan hak atau tanggungjawab.
Maka ketika itu kita adalah berkedudukan sebagai hakim yang adil kepada diri kita sendiri dan kepada orang lain yang terkesan dengannya. Inilah tuntutan Allah atas diri setiap insan.
Oleh itu, setiap seorang itu adalah hakim bagi dirinya sendiri. Diri sendiri adalah hakim yang ditugaskan untuk menilai dan mempertimbangkan sebelum kita membuat keputusan dan tindakan itu.
Sentiasalah Menegakkan Dan Menerangkan Kebenaran
dan Berlaku Adillah Kepada Sesiapa Sahaja
Justeru, sifat adil adalah syarat menjadi hakim. Kita diseru dan perlu berlaku adil dalam semua perkara. Keadilan itu menuntut kita mendengar daripada kedua belah pihak secara saksama sebelum membuat keputusan dan memberi penghukuman. Keadilan juga memerlukan kita menolak segala unsur berat sebelah (biased) dan sikap berpihak. Keadilan mengkehendaki agar pertimbangan dibuat atas hujah, fakta dan dalil bukan emosi. Hanya dengan itu kebenaran diperolehi atau sekurang-kurangnya dapat dihampiri. Selain daripada itu adalah kezaliman. Kezaliman diri sendiri yang akan dipertanggungjawab nanti.
Dalil 1 :-
“Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (Kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”
.Surah al-Maa’idah 5:8)
Kewajipan Mempunyai Maklumat Mencukupi
Sesuatu pandangan itu sudah tentu kuat jika ia menepati al Quran dan As-Sunnah. Sudah tentu kita orang biasa akan merasa selamat jika dapat bergantung kepada pandangan ilmuan agama yang kita yakini paling betul dan sangat dekat dengan hati dan fikiran kita.
Untuk itu sekiranya kita menerima sesuatu perkara dan ingin beramal dengannya, tentulah kita telah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenainya. Barulah kita boleh katakan kita berpegang dengan suatu yang betul dan diyakini. Kita tak mahu jadi pak turut atau pak sanggup.
Kita akan dipersoalkan atas setiap pilihan, keputusan dan tindakan yang kita ambil. Kita akan dipertanggungjawabkan.
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (surah al-israa’17:36)
Contoh Rujukan & Perbandingan. Sebagai satu contoh yang mudah dan tidak sensitif. Isu Sutrah (Pendinding Solat). Kita dimaklumkan seorang ustaz bahawa dalam mazhab kita tidak wajib. Satu pandangan. Kita pun diberikan sedikit hujah dan adil. Katanya ada kes sahabat melintas depan orang solat dan nabi tak tegurpun. Tapi dalam masa yang sama, ustaz itu tidak memberitahu kedudukan pandangan yang lain. Kalau dia tak tahu tak apalah. Kalau dia tahu tak patutlah.
Kita kemudian menemui satu ustaz lain, lalu dia menerangkan kita walaupun tidak wajib (kerana ada dalil yang melonggarkannya) namun ia sunnah yang sangat dituntut kerana terdapat teguran yang keras dalam hadith-hadith sahih yang membuktikan kepentingan perkara ini.
(Dalil pun diberikan tentang 1 hadith di mana kita disuruh menunggu walaupun begitu lama daripada melintasi orang solat kerana besarnya dosa itu dan hadith 2, yang melintas diumpamakan syaitan yang perlu dicegah dengan keras).
Berdasarkan maklumat tambahan ini kita dapat membuat keputusan lebih tepat dan adil. Kita mungkin berfikir,”Syukurlah ia tidak wajib kalau tidak kena berhati-hati betul. Tak boleh nak solat sebarang tempat. Tapi ada ancaman dosa. Buat apa ambil risiko. Carilah pendinding bila nak solat. Lagipun aku kata nak ikut sunnnah nabi. Ini sunnah yang digalakkan, penting dan dituntut. Seboleh mungkin aku akan usahakan, bukan susah benda.”
Dengan ada maklumat penting dan relevan beserta dikemukakan dalil yang sahih, kita gembira dapat membuat keputusan dan pilihan yang lebih baik … bagi diri kita di sisi Allah. Insya Allah.
“Sejak dari hari itu, bila sahaja aku masuk masjid aku terus ke saf pertama, tak perlu risau orang nak lintas. Kalau takda pilihan, aku cari dinding, tiang atau kipas untuk guna sebagai penghalang (sutrah). Kalau tak aku ambil rehal buka dan letak didepan ku kadar kawasan sujud aku. Siapa lintas juga kawasan larangan ni , siaplah.. .he he kata aku. Pernah aku solat dengan menjadikan punggong orang duduk sebagai sutrah, tapi mamat tu blah pula masa aku lum habis solat.. takpelah aku dah cuba. Moga takda orang lintas .”
Inilah sikap hakim adil dalam diri, Mereka mendengar pelbagai pendapat dan pandangan. Lalu mereka memilih yang paling baik. Inilah yang diperintahkan Allah swt.
Dalil 3 :-
Maka gembirakanlah hamba-hamba-Ku, yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan mengikut apa yang terbaik ( Untuk diamalkan dalam urusan agama), mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang yang berakal sempurna. –
al-Zumar (39) : 17-18
Kewajipan Menyampaikan Maklumat dan Menaqalkan Ilmu Secara Adil
Kita harap semua orang bersikap adil dalam memberi pandangan. Bersikap telus dan jelas dalam menyampaikan ilmu. Jangan bersikap mencari sokongan tetapi benarkan seseorang itu membuat keputusannya sendiri, sekalipun kelak dia memilih pandangan yang berbeza dengan kita.
Kita hendaklah berkata tepat dan benar. Telus dan jelas. Tugas kita adalah menyampaikan, bukan mencari sokongan. Sebaliknya, untuk membantu orang membuat keputusan. Tak perlulah buat keputusan untuk orang itu.
Seseorang itu dikehendaki memberi pandangan yang disokong oleh keterangan, hujah dan dalil. Janganlah orang disuruh sahaja mengikuti sesuatu pandangan sedangkan kita tidak menyakini pandangan atau di satu pihak lain ada pandangan yang lebih baik. Jika terdapat beberapa pandangan yang paling baik, ini sangat baik, kerana kita boleh memilih yang mana yang paling baik dan sesuai untuk kita ikuti atau amalkan.
Dalil 4 :-
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat-benar (dalam segala perkara). Supaya Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya , maka sesungguhnya dia telah Berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan”.
al-Ahzaab (33) : 70-71
Wallahu taala alam.
No comments:
Post a Comment