Sebahagian AJK Muslimin sesi 12/13 dan sesi 13/14 ketika Muktamar Tahun Lepas Sebahagian AJK Muslimat sesi 12/13 dan sesi 13/14 ketika Muktamar Tahun Lepas PERPPIS!!! Gambar FB PERPPIS TAWAU

Kita Dan Rasulullah, Eratkah Kita?

Bismillah.Kisah-kisah ini adalah samada dari kuliah, bacaan dan pengalaman aku sendiri:

Kisah 1:

Diceritakan ketika Rabiatul Adawiah lahir (zaman selepas wafatnya rasulullah saw), ayahnya tidak mempunyai wang. Takdir Allah dia bermimpi berjumpa rasulullah s.a.w dalam tidurnya. Rasulullah menyuruh dia pergi ke rumah menteri dan mengambil 400 dinar daripada menteri tersebut kerana menteri tersebut “berhutang” dengan baginda.

Apabila hal itu diajukan kepada menteri itu, maka dia amat terkejut kerana bagaimana mungkin dia berhutang dengan rasulullah kerana mereka tidak pernah bertemu. Setelah lama baru dia mendapat jawapan 400 dinar itu adalah kafarah baginya kerana lupa berselawat pada hari Jumaat. Amalan menteri itu ialah berselawat sebanyak 1000 kali seminggu iaitu 100 kali setiap hari dan 400 kali pada hari Jumaat dan pada suatu Jumaat dia terlupa untuk berselawat. Dengan senang hati ,menteri itu menyerahkan 400 dinar dan bersyukur kerana rasulullah menerima selawatnya dengan izin Allah.

Kisah 2:

Seorang ibu tua sedang dalam keadaan sakit. Lalu anaknya menziarahinya. Rumahnya diperbuat dari tanah liat seperti rumah orang zaman dahulu dan dia tidak mahu meninggalkan rumahnya itu. Anaknya menawarkan doktor yang terbaik bagi merawatnya, tetapi dia menolak. Dia menjawab bahawa dia mengetahui apa sebab sakitnya itu dan ubatnya. Katanya “Jika tiga hari aku tidak bertemu dengan rasulullah, maka aku akan sakit,” sambil mulutnya tak lepas-lepas dari berselawat. Bayangkan sudah berapa lama ibu itu bermimpi berjumpa rasulullah? Sehinggakan selawat adalah ubat kepada sakitnya.

Kisah 3:

Aku bertemu seorang tua yang menjadi bilal di Masjid Paka. Aku mengetahui melalui kawan aku bahawa dia pernah bermimpi bertemu dengan rasulullah. Aku terus bertanya berkenaan mimpi dia itu. Pada mulanya dia keberatan untuk menjawab takut riak mungkin. Tapi lepas beberapa lama diapun berkongsi petua. Katanya paling kurang berselawatlah 100 kali sehari.

Kisah 4:

Aku terbaca di Harakah berkenaan pendedahan Tuan Guru Nik Aziz bahawa Tuan Guru Haji Hadi sudah beberapa kali bermimpi bertemu rasulullah. Suatu petang lepas solat asar aku menunggu TG Haji Hadi di pintu keluar masjidnya (dia ada laluan khusus untuk keluar) terus aku beri salam, bersalaman dengannya dan terus bertanya apakah amalan yang dia lakukan setiap hari hingga dapat bermimpi bertemu rasulullah. Dia jawab ringkas “ selawat”, aku tanya lagi banyak mana sehari? Dia jawab dia tak mengira berapa banyak dia selawat sehari.

Kisah 5:

Seorang murid bertanya kepada seorang imam berkenaan cara untuk bermimpi berjumpa rasulullah. Imam itu menyuruh dia ke rumahnya pada malam itu untuk mendapatkan cara bermimpi bertemu rasulullah. Pesan imam kepada muridnya supaya makan malam di rumahnya. Sampai di rumah imam, muridnya dijamu  dengan makanan-makanan yang masin semuanya. Selesai makan tanpa diberi minum muridnya disuruh tidur untuk bermimpi berjumpa rasulullah.

Keesokan harinya mereka bangun bersolat dan selesai semua solat dan wirid, imam itu bertanyakan mimpi muridnya. Jawab muridnya “Saya bermimpi saya ditimpa hujan yang sangat lebat semalam, tetapi tidak pula berjumpa rasulullah tuan” Jawab imam, “Benar, itulah mimpi yg betul” yang membuatkan muridnya kehairanan. Dia yang tidak puashati terus bertanya apa maksudnya dengan mimpi itu.

Jawab imam “Kamu sangat dahagakan air kerana selepas makan malam dengan makanan yang masin, pastinya kamu mencari air. Kerana air itu yang sangat-sangat bermain dalam fikiran kamu maka kamu bermimpi berjumpa air. Begitulah juga dengan rasulullah, jika rasulullah sentiasa berada dalam hati dan pemikiran kita kerana cinta dan kasihnya kita kepada baginda, maka kita akan bertemu dengan baginda. Tetapi rasulullah tiada di hati kita, mana mungkin kita bertemu dengan baginda” terang imam lagi.

Lima kisah teratas bukan dalil, ianya hanya pengalaman yang diberitakan. Tidak kisah samada mahu dipertikaikan atau diterima, yang penting ianya melibatkan menteri, presiden parti, seorang bilal yang tua naik motor sahaja berulang alik ke masjid dan seorang makcik tua yang miskin, yang satu persamaan mereka ialah mereka dapat bertemu dengan rasulullah dalam mimpi. Dengan amalan yang hampir sama oleh mereka semua iaitu berselawat dengan sebanyak-banyaknya, maka tidak kira pangkat dan harta, mereka mendapat keistimewaan ini.

Jadi untuk kita menjadi umat yang dikasihi dan mengasihi rasulullah, maka kita hendaklah sentiasa mengingati baginda dalam apa jua keadaan. Dengan selawat 100 kali yang kurang dari lima minit untuk di selesaikan, kita kelihatannya amat berkira-kira dengan baginda, tetapi dalam masa yang sama mengaku kononnya sebagai pengikut rasulullah s.a.w. Sedangkan Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas nabi, maka apakah kita lebih tinggi dan mulia dari keduanya? Berselawatlah tanpa menetapkan hari-hari khusus, tetapi berselawatlah sentiasa kerana rasulullah s.a.w berpesan orang yang paling hampir dengan baginda di akhirat nanti ialah orang yang paling banyak berselawat ke atas baginda. Tidak inginkah kita kepada syafaat baginda?

Sahabat sekelian, kita semakin jauh dari rasulullah dengan pelbagai keadaan. Samada jauh itu kerana dua sebab iaitu meninggalkan sunnahnya dan satu lagi jarak zaman kita dengan baginda. Satu tidak dapat dikembalikan iaitu zaman atau masa, kita tidak mungkin dapat hidup bersama baginda lagi selama-lamanya di dunia ini. Tetapi satu lagi dapat kita ambil semula iaitu kembali kepada sunnah baginda dengan mengamalkannya semampu kita untuk menjadikan rasulullah dekat dengan kita. InsyaAllah kita akan menjadi golongan yang rasulullah sebutkan iaitu kaum yang tidak mengenali baginda tetapi berpegang dengan bersungguh-sungguh sunnah baginda. Moga kita dikurniakan syafaat oleh baginda dengan izin Allah. Allahumma Solli a’la Muhammad Wa’ala aali Muhammad.

No comments:

Post a Comment

Jom Dengar Al-Quran

Listen to Quran

Contact Us

Name

Email *

Message *