Alhamdulillah telah 57 tahun negara kita merdeka dari jajahan dan tekanan kuasa asing secara fizikal. Jajahan fizikal sememangnya amat mendukacitakan dan menekan. Lihat sahaja Palestin yang sedang dijajah secara fizikal. Penjajahan seumpama ini sudah tentu boleh membawa kepada terjajahnya minda dan hati majoriti rakyat. Mungkin akan ada yang terselamat dari penjajahan tersebut tetapi jumlahnya pasti amat kecil.Hari ini, Malaysia telah 57 tahun merdeka, maka agenda utama umat hari ini adalah pengisian kemerdekaan. Pengisian tidak akan mampu dibuat tanpa ilmu, dan pengisian yang melupakan santapan rohani pasti akan membawa kepada pengisian yang cacat dan pincang.Tulisan ini tidak akan membincangkan semua silap-silapnya kerana ia kerap di tulis dan diolah oleh pelbagai pihak. Saya hanya akan menyentuh satu aspek sahaja.
Merdeka Fizikal Tetapi Kering Iman
Bagi saya, hidup di atas dunia ini sebagai seorang merdeka adalah ibarat berjaya melepaskan diri dari kurungan musuh, tetapi kurungan itu berada di tengah-tengah hutan tebal yang dipenuhi binatang buas. Tanpa ilmu sewajarnya, hidup di luar kurungan dan di dalam kurungan adalah lebih kurang sama.
Bayangkan, bagaimana keadaan orang tawanan yang berjaya meloloskan diri dari kurungan tapi tiada sebarang ilmu tentang binatang, hidupan di hutan, tidak tahu menangkap ikan, tidak pandai berenang, tidak tahu apa itu singa dan harimau, tidak kenal apa itu buaya, tidak kenal juga apa itu ular. bak kata orang " main redah aja".
Bagaimana mungkin pengisian dan kenikmatan kebebasannya dapat dirasai tanpa ilmu asas di hutan itu. Bukan sahaja nikmatnya tidak dapat dikecapi dengan sempurna, malah ia juga terlalu amat merbahaya.
Demikian umat Islam hari ini, merdekanya kita di zaman ini boleh diibaratkan kita dilepaskan bebas tetapi masih berada di hutan belantara, tanpa ilmu berkenaan selok belok hutan, apa yang baik dan yang buruk, seseorang pasti akan menjadi mangsa binatang buas. BInatang buas itu adalah dunia dan segala nikmat sementaranya.
Sama seperti merdeka fizikal tanpa ilmu Islam yang cukup, pastinya akan terlanggar seribu satu jenis dosa yang memenuhi hidup ini. Dosa itu ibarat harimau, singa, ular, kala dan binatang bisa. Merdeka tanpa ilmu Islam di akhir zaman ini, bakal menyaksikan kehancuran nilai diri yang amat teruk.
Lihat sahaja, keadaan sekeliling yang pastinya menekan perasaan semua ibu bapa dan masyarakat yang beriman. Kita dapat melihat bagaimana satu persatu kes akhlak dan moral dipaparkan di media, cukup merimaskan.
Ada yang mencadangkan agar jangan membacanya agar minda tidak terganggu dan hidup sentiasa ceria. Bagi saya ia benar dari satu sudut tapi tidak dari yang lain kerana berita seharian dan jenayah dalam pelbagai bentuknya ini perlu juga diketahui oleh kita sebagai langkah berjaga-jaga dan membuat perancangan teliti.
Ketiadaan ilmu berkenaan ilmu Islam menyebabkan orang merdeka terjebak menjadi kawan 'singa' , 'harimau' bagi membaham orang lain atau paling tidak menjadi mangsa mereka sahaja.
Kes Semasa & Penyelesaian
Kes jenayah membunuh anak, bunuh isteri, bunuh suami, rogol, culik, rompak dan sebagainya kelihatan begitu meriah sekali. Peningkatan kes-kes sebegini kelihatan hanya dapat dikeluhkan oleh ibu bapa sahaja.
Semua pihak kelihatan buntu seperti tidak tahu hala penyelesaiannya. Padahal jalan penyelesaiannya sudah lama tersedia tetapi tidak ingin diarus perdana dan tidak pula diberi perhatian sewajarnya.
Pada masa yang sama terdapat ramai yang cuba menggunakan aqal yang tidak seberapa bijaknya untuk memikirkan suatu bentuk jalan penyelesaian yang termantap kononnya. Berlagak seperti tuhan yang mengetahui segala-galanya.
Adakah aqal kita begitu bijak untuk mempersoalkan kebijaksanaan ketetapan hukum hakam Allah SWT sedangkan Allah SWT maha bijaksana mengatur dan memiliki semua di bawah ini ?
Usaha manusia yang kerdil ini pasti akan gagal, kerana aqal kita tidak diciptakan sebegitu canggih sehingga mampu menyelesaikan masalah hati dan kejahatan nafsu manusia. Sekadar beberapa peratus mungkin berjaya tetapi pasti akan menemui jalan buntu akhirnya. Satu-satunya jalan adalah dengan kembali kepada ketenangan hakiki hasil pelaksanaan Islam secara syumul dalam masyarakat.
Satu-satunya jalan ketenangan hidup di atas dunia adalah dengan diajar rakyat dan masyarakat kepada Allah dan RasulNya. Kita boleh melihat bagaimana para sahabat baginda yang di'didik' oleh baginda Nabi dengan keyakinan terhadap janji Allah di akhirat begitu tenang dalam menghadapi apa jua.
Tabuk Antara Bukti Kejayaan Pengisian Merdeka di Madinah
Persitiwa peperangan tabuk yang berlaku pada tahun 9 Hijrah adalah satu contoh yang relevan menunjukkan bentuk pengisian kemerdekaan umat Islam di Madinah. Tabuk adalah sebuah kawasan peperangan jauhnya sekitar 774 KM dari Madinah, berlaku dalam musim panas (sekitar 50 celcius), di waktu musim perniagaan dan tamar sesuai untuk di ambil dan dijual ( Fath Al-Bari, 3/343 )
Ketika itu juga umat Islam mengalami kesempitan wang yang dahsyat (Sohih AL-Bukhari, Kitab At-Tauhid, 9/129 ; Muslim, 5/82)
Di waktu mereka menunggu memperolehi sedikit kewangan untuk menjalani hidup akan beberapa minggu dan bulan akan datang. Nabi SAW mengarahkan para sahabat berjuang di medan Tabuk dalam keadaan panas terik dan kekurangan bekalan.
Para sahabat yang dididik oleh Nabi SAW ikatan dengan Allah sentiasa kental dan tenang untuk berjalan kaki di dalam panas terik semata-mata kerana Allah SWT dan RasulNya. Akhirnya Allah membalas usaha mereka dengan 'tunai', iaitu musuh Rome sudah pun lari meninggalkan harta mereka di Tabuk. ( Mawarid Az-Zam'an Ila Az-Zawaid Ibn Hibban, hlm 145 : sanad yang sohih)
Kali ini umat Islam memperolehinya tanpa pertempuran kecuali pertempuran dengan nafsu. Mereka berjaya kerana pengisian kemerdekaan yang diberikan oleh Nabi SAW adalah iman kepada Allah & RasulNya.
Pengisian kemerdekaan yang lain dari itu tidak akan membawa ketenangan umat, sekalipun ia mampu mencipta ketinggian bangunan dan binaan. Umat akan mula hidup sedikit demi sedikit dalam kerisauan dan ketakutan.
Allah SWT mengingatkan :-
الَّذِينَ اتَّخَذُواْ دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا فَالْيَوْمَ نَنسَاهُمْ كَمَا نَسُواْ لِقَاء يَوْمِهِمْ هَـذَا وَمَا كَانُواْ بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ
Ertinya : "(yaitu) orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau, dan kehidupan dunia telah menipu mereka"". Maka pada hari (kiamat) ini, Kami melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan mereka dengan hari ini, dan (sebagaimana) mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami. " ( Al-'Araf : 51 )
Kualiti sahabat dalam perang Tabuk tadilah yang kita harapkan, mengisi kemerdekaan dengan mendidik rakyat kepada keyakinan terhadap Allah dan RasulNya. Ia pasti membawa keamana dan ketenangan buat semua, termasuk bukan Islam. Ia janji Allah, Tuhan sekalian alam.
Hand Phone Canggih Tapi Tidak dapat Dimanfaatkan
Pernah datang kepada saya seorang lelaki yang berkerut muka dan dahinya. Setelah memberi salam dan meminta izin untuk bertanya satu soalan.
"boleh ustaz terangkan, kenapa selepas ingat Allah pun saya masih tak tenang?."
"satu lagi jika tak salah saya, ada ayat Al-Quran yang menjanjikan 'ingat Allah hati tenang" katanya dengan nada perlahan dan bingung.
Benar, memang dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang, demikian juga solat. Ia disebutkan oleh Allah SWT di dalam surah Ar-Ra'd ayat : 12.
الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Ertinya : (yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram ( Ar-Ra'd : 28)
Saya teringat punyai seorang rakan penceramah yang agak popular, oleh kerana beliau seorang penceramah yang diminati, ramai anak muridnya menghadiahkannya telefon bimbit dengan niat sebagai amal jariah. Telefon bimbit adalah salah satu medium penting bagi seorang pendakwah bagi tujuan menerima jemputan, menjawab soalan, berhubung dan lain-lain.
Sekitar 2 tahun lalu, saya dijemput berforum dengan beliau. Selepas forum diwaktu menikmati jamuan, saya menyapa beliau dengan memuji kecanggihan 'hand phone' yang dibawanya, bentuknya canggih, warnanya hebat, deringannya tentu hebat juga.
"eh, memang canggih ni akhi, semua ada ni, 3 G, blue tooth, boleh fax, internet" kata ustaz veteran ni pada saya, sambil menyebutkan kelebihan lain menggunakan beberapa istilah yang saya pun tak berapa faham.
"ustaz, betul ke bagus hand phone ni" Tanya saya lagi.
"Anta ni, mesti la bagus punya, harga dia pun RM 3000 lebih.." katanya yakin.
"Boleh le ustaz demonstrasikan sikit pada ana, kalau bagus, ana nak cari juga ni. Terutamanya yang ada faks tu" kata saya benar-benar ingin tahu dan belajar.
"eem.." dia sambil tersenyum lebar kali ini.
"sebenarnya, ana pun tak reti guna. Orang yang bagi tu je yang beritahu fungsi-fungsi ini; tapi ana hanya pandai 'dail' dan angkat panggilan je, paling kuat pun, hanya pandai masukkan nama dalam phone book" katanya dengan tersenyum lagi.
"patut la nada dering tadi keluar bunyi ayam berkokok, kenapa tak 'adjust' ? " Tanya saya
"isyhh anta ni, jangan cakap kuat-kuat, malu ana nanti, anta tolong la betulkan tu, anak ana tu yang sengaja letak bunyi ayam kokok tu" katanya seperti berbisik dan kelihatan tersipu-sipu.
Bagi saya ia satu pengalaman yang mencuit hati saya. Bayangkan seorang ustaz terlupa memadamkan nada deringnya di dalam majlis ceramah, tiba-tiba telefonnya berbunyi, keluar nada ayam berkokok tetapi beliau sendiri tak tahu yang berkokok itu adalah telefonnya kerana tiada ilmu tentang telefonnya. Habis ceramah dia masih tidak tahu bagaimana untuk menukar nada itu kepada nada biasa.
Beliau tahu telefon yang dihadiahkan kepada adalah canggih dengan segala kemampuan dan kemudahan, tetapi tidak pandai menggunakannya lalu hanya beroleh manfaat yang minima dari sebuah telefon yang canggih.
Moralnya; bukanlah difokus kepada 'handphone' sebenarnya, tetapi kepada akibat tiada ilmu beliau terhalang dari mendapat nikmat dari telefonnya yang canggih. Justeru, fungsi telefon yang hebat tidak dapat dinikmatinya.
"Mungkin ia serba sedikit dapat menjawap soalan anda" kata saya kepada pemuda tadi.
"Ye saya sudah faham, ustaz, memang benar saya tidak cukup faham apa yang saya baca dari al-Quran, dan apa yang saya buat semasa solat, sebab itulah saya tidak merasai kenikmatan sebenar darinya" katanya.
Benar, zikrullah, Al-Quran dan Solat itu adalah satu cara yang amat canggih untuk mendapat ketenangannya, tetapi apabila ia dilaksanakan dan dirujuk tanpa mengikut piawaian ilmu yang sewajarnya, hasil kemanisan dan ketenangannya gagal diperolehi.
Silibus Pengisian Kemerdekaan Fizikal
Firman Allah :
فَإِن زَلَلْتُمْ مِّن بَعْدِ مَا جَاءتْكُمُ الْبَيِّنَاتُ فَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Ertinya : Tetapi jika kamu menyimpang (dari hukum hakam yang telah ditetapkannya) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
Imam Fakhruddin Ar-Razi menafsirkan maksud erti Allah maha perkasa lagi bijaksana dalam ayat di atas dengan katanya :-
فاعلموا أن الله مقتدر عليكم لا يمنعه مانع عنكم فلا يفوته ما يريده منكم وهذا نهاية في الوعيد
Ertinya : Ketahuilah ( sesiapa yang melanggar arahan Allah) sesungguhnya Allah amat berkuasa ke atas kamu, dan tiada seisapa mampu menahan Allah (jika ingin menjatuhkan bala dan azab ke atasmu) dan tidak akan terlepas apa yang dikehendaki Allah ke untukmu, (ayat sebegini) adalah adalah menunjukkan amaran azab yang dikemuncak kerasnya. (At-Tafsir Al-Kabir, 5/180)
Justeru, di hari menyambut kemerdekaan ke 50 ini dan dikelilingi dengan suasana yang semakin parah, setiap individu perlu berazam memanfaatkan bulan Ramadhan yang mendatang sebagai pendorong utama membetulkan keadaan keluarga kita terlebih dahulu. Jika kita masih belum sedar, masih tidak mahu menyebarkan kebaikan al-quran, al-hadis atau Islam. Kehidupan seharian pasti bertambah bahaya dan sukar.
Jangan biarkan keluarga kita merempuh hutan belantara dunia yang dipenuhi binatang buas dosa tanpa mengenali kebahayaannya. Jangan lupa juga mengajar dan mengambil tahu akan segala jenis tumbuhan berkhasiat untuk menjauhi mudarat dan mendapat manfaat di ketika merdeka diri di dalam hutan. Tanpa ilmu Islam, kemerdekaan fizikal akan membawa kehancuran juga.
Kemerdekaan yang terisi dengan pengisian yang bukan dari silibus sebenar (iaitu tidak menurut Al-Quran dan Al-hadith) akan pastinya mengecewakan jua. Bangunan tinggi dan besar memang mungkin dapat dicapai dan dibina, tetapi jiwa masih belum berjaya diisi dengan kandungan yang sepatutnya, Iaitu islam dan iman atau lebih mudahnya, belum bersedia untuk mati secara mengejut.
SEKADAR RENUNGAN BERSAMA..
Jadilah hamba yang bertakwa...SALAM MERDEKA..
'DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA'
Erkk ?? 50 thun ka ??? Admin x chek klndr ka ????
ReplyDeleteTerima Kasih kerana menegur... sudah dibetulkan.. =)
Delete