Kata orang, hidup ini seperti roda. Ada ketika berada di atas, ada juga ketika berada di bawah. Ada pula yang kata hidup ini seperti ombak di pantai. Kadang tenang, namun tidak jarang pula menghantar gelombang yang begitu kencang. Apa pun perumpamaan manusia terhadap kehidupan ini, inti hidup tak akan setenang air di dalam kolam. Akan ada goncangan-goncangan, hambatan-hambatan, dan ujian-ujian yang bermacam-macam bentuknya.
Terkadang manusia seringkali merasa tidak mampu untuk menghadapi dugaan hidup. Bahkan banyak pula yang tidak menyedari bahawa semua nikmat dan ujian itu hanya berasal dari satu sumber, Pemilik seluruh jiwa-jiwa manusia dan penguasa seluruh hati-hati manusia iaitu Allah yang Maha Kuasa. Parahnya, ada juga yang menyesali diri sendiri, menganggap nasib diri terlalu sial sehingga tidak pernah mendapatkan kebahagiaan dalam hidup.
Mungkin ada yang pernah mendengar cerita dongeng sebuah cawan hiasan cantik yang dipamerkan di sebuah Kedai cawan. Sebelum berada di sana, ia hanyalah selonggok tanah liat yang sama sekali tidak dihiraukan orang. Kemudian seorang pengusaha mengambil tanah liat itu lalu membentuk dan kemudian membakarnya di dalam ketuhar api. Sang Tanah liat sempat marah dan benci terhadap perlakuan yang diterimanya kerana dia terpaksa menahan sakit dan kepanasan ketika berada di dalam ketuhar api itu. Tidak terhenti di situ, dia terpaksa rela dicat dengan berbagai warna dan kemudiannya dibakar sekali lagi. Segala macam perlakuan pengurus tersebut sungguh tidak menyenangkan hati tanah liat tadi. Namun apa yang terjadi, setelah semua proses selesai, tanah liat mendapati dirinya telah menjadi sebuah cawan hiasan yang cantik. Dia bukan lagi selonggok tanah liat yang bau, tapi dia telah menjadi tanah liat yang berguna, baru, cantik dan lebih baik dari sebelumnya.
Mungkin kita sebagai manusia seringkali berfikir seperti tanah liat tadi. Ujian-ujian yang mendatang di setiap detik kehidupan selalu dilalui dengan ketidaksabaran, keluhan, rungutan dan rasa ketidakikhlasan. Bukan itu sahaja, mungkin ada di antara kita merasa terlalu dibebani dengan amanah, merasa hanya diri sendiri yang diberi ujian sedang orang lain boleh bersenang-senang dan ada juga yang langsung berhenti dan tidak mahu lagi meneruskan kehidupan kerana merasa terlalu kecewa.
Tapi cubalah kita lihat kisah si cawan hiasan yang cantik tadi. Lihatlah, setelah semua proses berlalu, selonggok tanah liat telah menjadi sebuah cawan hiasan yang cantik. Betapa indahnya perubahan itu. Saat ini anda mungkin sedang diuji bermacam-macam masalah mulai dari masalah keluarga, orang tua, kawan-kawan, tempat kerja, bahkan amanah sebagai pendakwah sekalipun. Tapi percayalah bahawa Allah sedang menguji anda. Boleh jadi anda tidak menyukai ujian itu tapi itulah yang terbaik untuk anda. Bukankah selalu ada kesenangan setelah menempuh kesusahan? Ingat! awan tidak selamanya mendung, sekalipun waktu itu awan cerah menaungi langit. Bahkan angin taufan pun tidak selamanya meniupkan angin kencang, ada waktunya ia akan tenang dan reda kembali.
Dulu seorang sahabat pernah kata, kalau merasa diri sedang mendapat ujian yang begitu berat, berbaik sangkalah kepada diri sendiri dan kepada Allah. Kita kena ingat bahawa Allah selalu menurut prasangka hamba-hamba-Nya. Anggap saja saat diuji dengan berbagai masalah anda sedang dalam masa ujian seperti pelajar sekolah. Untuk memiliki tingkat-tingkat "jannah Allah", mesti ada ujian untuk menguji keimanan. Makin tinggi tingkatnya, makin tinggi pula level kerumitan ujian yang diberikan. Percayalah, kalau anda berhasil menghadapi ujian ini, anda akan berhasil naik tingkat di pandangan Allah, menjadi mukmin sejati. Allah tidak akan memberikan suatu ujian sesuai dengan kemampuan hamba-Nya.
Buat saudara-saudaraku yang saat ini sedang diuji oleh Allah, apapun bentuk ujian itu, bergembiralah dan bersabarlah. Bergembira kerana ujian bererti Allah masih peduli dan sayang kepada kita, untuk itu ia memberikan ujian agar kita lebih kuat, lebih bijak, dan lebih mulia. Allah ingin kita menjadi lebih baik di hadapan-Nya. Setelah itu, bersabarlah kerana sesungguhnya kesabaran akan membuahkan ketenangan jiwa, kekuatan hati, dan sungguh Allah selalu bersama orang-orang yang sabar. Bersabarlah, kerana Allah tidak akan meninggalkan hamba-Nya yang beriman. Tetapi, manusialah yang seringkali meninggalkan sang penciptanya.
Apakah yang akan diperoleh oleh orang-orang yang telah kehilangan Allah di dalam dirinya? Dan apakah yang harus dicari oleh orang-orang yang telah menemukan Allah di dalam dirinya? Sungguh antara yang pertama dan kedua tidak akan pernah sama. Orang kedua akan mendapatkan segalanya dan orang pertama akan kehilangan segalanya.
Wallahualam..
Tarikh : 02. 09. 2010
Hari : Khamis
Masa : 02.00 Petang
Oleh : Team Syabab
No comments:
Post a Comment