Ke hadapan semua sahabatku,
Tahun 1431 H telah pun melabuhkan tirainya. Sungguh, banyak kenangan suka duka, pahit manis yang terlakar namun semuanya telah menjadi lipatan sejarah yang telah lalu. Pengalaman yang pahit jadikan sebagai pengajaran dan iktibar untuk kita menjadi insan yang tergolong dalam golongan Muttaqin (bertakwa) manakala pengalaman yang manis simpanlah di ingatan untuk kenangan dan panduan dalam hidup insyaallah. Kini, kita telah pun beranjak ke tahun baru dalam kalendar Islam iaitu 1432 H. Pengalaman baru pula yang akan kita lalui, yang berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.
Pada 1432 H ini, marilah kita bersama-sama membina lembaran baru. Jika kita pada tahun lalu merupakan seorang yang malas solat, pada tahun ini, sematkan dalam jiwa untuk rajin solat dan melakukan perkara-perkara yang akan mendekatkan diri kita pada Khaliq. Jika dahulu kita seorang yang seringkali gagal dalam pelajaran maka tahun ini azamlah untuk menjadi seorang yang cemerlang dalam pelajaran. Jika dahulu kita jarang menginfakkan diri dalam gerak kerja Islam, maka perbaharuilah azam pada tahun ini untuk sentiasa bersedia menginfakkan bukan sahaja diri malah harta benda dan keluarga sekali demi menegakkan syiar Islam supaya terus menjulang tinggi di persada dunia.
Hijrahkanlah diri kita seiring dengan maksud hijrah iaitu perpindahan. Hijrah bukan membawa pengertian yang kecil iaitu hanya tertumpu semata-mata kepada penghijrahan yang dilakukan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat daripada Makkah ke Madinah sahaja tetapi juga perpindahan dari segi sikap atau perangai kita. Ya, penghijrahan dari sudut perangai amatlah perlu. Apabila ditanya sudah tentu jawapan yang akan kita berikan ialah nakkan Islam gemilang dan syariat Islam dijunjung yang berteraskan kepada Al-Quran dan Sunah Rasulullah tetapi jika ditimbang tara benarkah kehendak kita selari dengan perbuatan kita? Renung-renungkan kembali duhai sahabat..
Kita mengaku diri kita seorang pejuang tetapi kedekut untuk menginfakkan diri dalam gerak kerja Islam. Kita mengaku diri kita mukmin tetapi masih lagi berkira untuk turun usrah dan kuliah dengan memberikan 1001 alasan. Kita mengaku diri kita hamba kepada Al-Khaliq tetapi masih lagi melakukan perkara yang menimbulkan murka-Nya. Adakah betul perbuatan yang kita lakukan itu?? Fikirkan kembali duhai sahabat..Dalam mengharungi jalan dakwah, banyak mehna dan tribulasi yang kita akan lalui. Abi pernah berkata dalam usrah, masih lagi segar dalam ingatan saya. Kata abi, jika kita berjuang menjunjung syariat Allah, pasti kita akan melalui jalan yang penuh dengan onak dan duri. jalan tersebut perlu dilalui. Kadang kita akan terluka, rebah dan tersungkur namun hanya ketakwaan yang membantu kita untuk bangkit semula. Jalan dakwah ini memang sukar. Tidak semua yang berjaya melaluinya. Ada yang dahulunya berkobar-kobar berjuang tetapi tersungkur dan tidak bangkit kerana berasa penat dengan perjuangan yang telah ditempuh.
Kita, setiap seorang akan ditapis oleh Allah. Tapisan demi tapisan akan berlaku sehinggalah yang terlihat hanyalah segelintir sahaja yang benar-benar pertahankan Islam. Itu pun belum dikira lagi dengan tahap keikhlasannya dalam berjuang.. Masyaallah..Naudzubillahi min dzalik, jauhilah kita semua lari daripada medan dakwah kita. Walaupun ramai sahabat kita yang kecundang, kita tetap harus melangkah gagah dalam menongkah dakwah yang dibawa oleh junjungan besar nabi kita. Walaupun hati kita seringkali terguris dan tercalar, perjuangan tetap diteruskan. Jangan biarkan semangat untuk berjuang mempertahankan agama Allah terus luntur. Lawan perasaan malas!! Jangan malas menghadiri usrah!! Jangan malas menghadiri kuliah ilmu!! Jangan malas menghadiri mesyuarat!! Hal ini kerana jika kita terus membiarkan perasaan malas menjalari diri ini, semakin lama tidak mustahil untuk kita berada semakin jauh dengan pegangan kita iaitu untuk mendaulatkan Islam. Apabila kita tidak melawannya, maka syaitan sudah berjaya untuk menghasut diri kita untuk alpa kepada-Nya.
Hidup kita berlandaskan dua perkara sahaja iaitu dosa dan pahala. Dari kita mula bangun daripada tidur sehinggalah kita kembali tidur. Begitulah aturan yang Allah tetapkan untuk kita. Selain itu, untuk menjadi seorang tentera Allah, kita hendaklah mempunyai akhlak yang baik. Akhlak yang baik merupakan cerminan diri seseorang. Walaupun kita cemerlang dalam gerak kerja Islam yang kita lakukan tetapi jika kita tidak mempunyai akhlak yang baik, semuanya ibarat sia-sia sahaja. Hubungan antara muslimin dan muslimat hendaklah dijaga. Walaupun berurusan berkaitan apa sekalipun, kena diingat semuanya ada batasnya. Kebanyakan kita kecundang dalam hal ini. Mungkin jikalau berhadapan dengan mereka secara berdepan kita akan mengawal perilaku kita, masih lagi timbul perasaan malu di benak tetapi mengapa pula apabila kta berada dalam alam maya kita tidak boleh berkelakuan seperti itu?? Contohnya, dalam facebook, blog atau sms kita lebih gemar menjadikan tempat tersebut luahan perasaan, bercerita tanpa tujuan yang jelas. Bukankah perkara tersebut dikategorikan sebagai lagha (sia-sia)?
Duhai sahabat, daripada kita melakukan perkara yang sia-sia, lebih baik kita melakukan kerja yang mendatangkan pahala terhadap kita dan juga orang lain. Tidak salah untuk berurusan dengan muslimin dan muslimat kalau ada keperluan tetapi jangan disalahgunakan dalam alam maya.. Ingatlah, mungkin murabbi atau sahabat yang lain tidak dapat mengesannya tetapi bukankah Allah itu Maha Melihat? Tidak takutkah kita dengan azab Allah? Jadi, hijrahkanlah diri kita. Dalam berjuang juga jangan lupa tambahkan bibit-bibit keikhlasan dalam diri. Walaupun kadang-kadang keikhlasan itu hanya akan timbul dalam paksaan. Susah jika kita hendak menghuraikan makna ikhlas yang sebenar-benarnya. Bekerjalah kerana Allah dan bukan kerana makhluk. Jangan kita bekerja kerana teman kerana jika teman kita futur, kita akan turut futur. Jangan kita bekerja kerana hendakkan pujian, kerana itu hanyalah riak semata-mata. Janganlah kita bekerja kerana abi suruh, kerana kalau abi dan umi tak suruh kita tidak akan bergerak kerja.
Hijrahkanlah diri kita dengan mempunyai keazaman yang kuat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan rasul. Segalanya dilakukan untuk mendapatkan reda Allah. Timba ilmu fardhu ain dan juga fardhu kifayah dengan bersungguh-sungguh. Gunakan masa muda dengan sebaiknya kerana Allah suka mukmin yang muda daripada mukmin yang tua. Sekarang ini, terdapat pelbagai cara untuk menimba ilmu. Antaranya ialah melalui alam maya (facebook, sms,blog, internet,twitter), buku agama, media elektronik, kuliah dan juga usrah. Kepada sesiapa yang berkelapangan bolehlah mengikuti kuliah mingguan setiap hari ahad jam 10 pagi di Pejabat PASTI Kawasan Tawau. Wujudkan hubungan yang rapat dengan Allah dan rasul. Buktikan hubungan tersebut dengan perbuatan seperti zikir, solat dan membaca Al-Quran.
Sekian sahaja daripada saya. Insyaallah akan bertemu lagi pada warkah akan datang. Akhir kalam, jangan lupa untuk menghijrahkan diri kita. Jadilah hamba Allah yang Muttaqin. Marilah bersama-sama kita menuju perubahan yang lebih baik.
Daulatkan syariat Islam di muka bumi. Selagi mana bumi dipijak, selagi itu ISLAM dijunjung.
Nukilan : Zahra_Nisa
09.23 pagi
No comments:
Post a Comment