Okt 8, 09 11:01am
(Petikan isu semasa dari 'Malaysia kini')
Polis Diraja Malaysia meningkatkan kawalan di semua pintu masuk utama dari Kalimantan Barat ke Sarawak sebagai langkah berjaga-jaga ekoran ancaman satu kumpulan pelampau Indonesia untuk menyerang Malaysia hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata kawalan oleh anggota Pasukan Gerakan Am ditambah bermula hari ini khasnya di pos sempadan Tebedu dan Serikin selain di beberapa jalan keluar masuk haram di sempadan Sarawak dan Kalimantan.
"Setakat ini kita tidak ada menerima sebarang laporan pergerakan masuk kumpulan dikenali Bendera itu," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan polis kontinjen Sarawak dan majlis ramah tamah Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini.
Mohmad berkata polis juga akan membuat beberapa sekatan di jalan-jalan utama keluar masuk ke sempadan negeri itu selain membuat pemantauan di kawasan perindustrian dan perladangan yang banyak menggunakan khidmat tenaga kerja Indonesia.
Katanya pasukan polis dari bahagian Jabatan Siasatan Jenayah telahpun membuat pemantauan dan setakat ini tidak ada sebarang kejadian luar biasa yang berlaku di kawasan terbabit.
Mengenai penduduk Sarawak yang mahu ke Kalimantan, Mohmad berkata belum ada laporan mengatakan rakyat Malaysia yang ke Kalimantan diancam ataupun diganggu ketika berada di sana.
Konsul Malaysia di Pontianak M Zairi M Basri ketika dihubungi Bernama berkata keadaan di Pontianak ketika ini adalah tenang dan tidak ada kejadian yang menunjukkan wujudnya aktiviti anti-Malaysia.
Katanya berdasarkan kepada pemantauan di terminal bas utama Pontianak semalam kerana ada syarikat menyediakan perkhidmatan pengangkutan dari Pontianak ke Kuching, tidak ada perkara luar biasa yang berlaku.
"Keadaan di sini aman dan tiada aktiviti luar biasa yang melibatkan kempen Bendera walaupun kita difahamkan Bendera ada anggotanya di sini," kata Zairi.
Terdapat kira-kira 200 rakyat Malaysia di Pontianak terdiri daripada pekerja selain ahli perniagaan yang sering berulang alik dari Pontianak ke Malaysia.
"Tidak ada masalah ini sini. Hujung minggu ini kita akan mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia di Pontianak dan kita jemput sekali Gabenor Kalimantan Barat kerana hubungan Malaysia dan Indonesia di sini cukup baik," katanya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment