Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi kita SAW adalah contoh teladan yang baik untuk dijadikan contoh kepada ciri-ciri keluarga bahagia. Firman Allah SWT :
Maksudnya:
Ayat tersebut menjelaskan bahawa mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan balasan yang baik di akhirat nanti disamping mereka tergolong dari kalangan mereka yang banyak mengingati Allah, maka bagi mereka contoh ikutan yang terbaik dari segala yang terbaik ialah diri Rasulullah SAW. Hal ini jelas membawa makna bahawa sekiranya kita ingin menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini dengan penuh rasa kebahagian dan menikmati penghidupan di akhirat dengan kebahagian, maka kita hendaklah mencontohi diri Baginda SAW dalam apa jua bidang, tanpa berpilih-pilih dan cuba mencontohi yang mana kita rasa bersesuaian dengan diri kita sahaja.
Demikian juga dari sudut kehidupan berkeluarga. Umat Muhammad SAW hendaklah mempelajari, mengkaji seterusnya mengamalkan bagaimana Baginda menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini sebagai jambatan untuk menempuh kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Maksudnya kebahagiaan di dunia ini berhubung kait dengan kebahagiaan di akhirat. perkara Ini sekaligus menyanggah pendapat mereka yang hanya mementingkan kebahagiaan di dunia semata-mata tanpa mengambil kira kebahagiaan hidup di akhirat. Demikian pula halnya pendapat yang hanya mengutamakan kebahagaiaan hidup di akhirat semata-mata lalu memandang sepi kebahagiaan hidup di dunia ini.
Tiada yang terlebih bahagia kecuali kebahagiaan hidup berkeluarga yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Cuma apa yang mungkin menyebabkan penilaian manusia itu berbeza-beza tentang konsep bahagia itu, ada hubung kait dengan tahap keislaman, keimanan dan ketakwaan masing-masing. Maknanya untuk menerima baik hakikat kehidupan Rasulullah SAW itulah yang terbaik dari yang terbaik, berkait rapat dengan ‘maqam’ atau martabat masing-masing dari sudut keislaman, keimanan dan ketakwaan.
Apabila seseorang itu mempunyai tahap, maqam keislaman, keimanan dan ketaqwaan yang rendah, ia sudah tentu tidak dapat menerima konsep kebahagiaan yang dijalani oleh Nabi SAW yang memperjuangkan hidup dalam taraf kemiskinan dari segi material. Tetapi mereka yang mempunyai tingkat keimanan dan ketakwaan yang tinggi, tidak akan menjadikan material sebagai kayu pengukur kepada makna kebahagiaan itu. Semakin tinggi tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang itu maka semakin jelas baginya bahawa kebahagiaan yang hakiki itu adalah seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga Khalifah Ar-Rasyidin, yang rata-rata melihat kebahagiaan itu berpaksikan keimanan dan ketakwaan yang tinggi, atau dengan kata lain menilai kebahagiaan itu dengan rohani, jasmani dan akal yang sihat tanpa ada mengidap apa-apa penyakit.
Hanya mereka yang benar-benar sihat keseluruhan tiga aspek tadi sahaja yang merasa kebahagiaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu sebagai kebahagian yang hakiki. Al-Quran pula mahu semua manusia amnya dan umat Islam khasnya memilih kehidupan berumah tangga yang bahagia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Perkara ini jelas apabila Ummul-Mukminin Saiyiditina ‘Aisyah R.A ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau segera menjawab bahawa: "Akhlak Rasulullah SAW itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran".
Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 74, hadis yang baru disebutkan (di atas) dan banyak lagi ayat serta hadis yang mengupas mengenai akhlak dan peribadi mulia Rasulullah SAW jelas menunjukkan bahawa Al-Quran adalah sebagai penjana keluarga bahagia, manakala Rasulullah SAW pula disahkan sebagai contoh yang mesti dikuti oleh seluruh manusia amnya dan umat Islam khasnya, jika benar-benar inginkan sebuah keluarga bahagia dalam erti-kata kebahagian yang hakiki.
KATA MUTIARA:
IBARAT MENANAM PADI DAN LALANG JUGA MENUMPANG TUMBUH,
TETAPI MENANAM LALANG TIDAK AKAN TUMPU PADI,
SAMALAH DENGAN
MENGEJAR AKHIRAT, DUNIA AKAN MENYUSUL,
TETAPI JIKA KAU MENGEJAR DUNIA, AKHIRAT TIDAK AKAN KAU DAPAT.
BY: vokalislamic
No comments:
Post a Comment