Di mana ada kesempatan dan peluang, manusia-manusia yang bermuka dua atau bermuka-muka pasti memainkan peranan mereka demi untuk kepentingan mereka sendiri. Orang jenis ini bukan sedikit dalam masyarakat kita. Apatah lagi dalam POLITIK! Hati-hatilah! Apa kata Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pasal manusia yang bermuka dua ini?
Buruknya Manusia Bermuka Dua
Sifat bermuka dua atau bermuka-muka adalah sifat yang sangat buruk di sisi moral dan agama.
Suatu perasaan yang menyakitkan hati jika kita dapat tahu bahawa seseorang yang kita kenali itu mempunyai sifat bermuka dua. Di hadapan kita dia cakap sekian, tetapi dengan orang lain dia cakap sekian yang lain.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:
إنَّ شرَّ الناسِ ذو الوجهَينِ الذي يأتي هؤلاءِ بوجهٍ وهؤلاءِ بوجهٍ
“Sesungguhnya seburuk-buruk manusia ialah yang bermuka dua, yang mana dia datang pada suatu kaum dengan muka sekian, dan dengan kelompok yang lain dia bermuka yang lain.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:
إن من شَرّ الناسِ عندَ اللهِ يومَ القيامةِ ذا الوَجْهَينِ
“Sesungguhnya daripada seburuk-buruk manusia di sisi ALLAH pada Hari Kiamat ialah mereka yang bermuka dua.”
(HR at-Turmudzi, katanya hasan sahih)
Dari Muhammad bin Zaid bahawasanya ada beberapa orang berkata kepada datuknya `Abdullah bin `Umar radhiAllahu `anhuma:
إنا نَدخُلُ على سُلاطينِنَا ، فنقولُ لهم خِلاف مانتكَلَّمُ إذا خَرَجْنا من عِندِهم ، قال : كنا نَعُدُّ هذا نِفاقً على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم
“Sesungguhnya apabila kami datang ke hadapan para penguasa maka kami mengatakan kepada mereka lain dengan apa yang kami katakan apabila kami keluar dari hadapan mereka.”
Kemudian `Abdullah bin `Umar berkata:
“Pada masa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, kami menganggap yang demikian itu termasuk perbuatan nifaq.”
(HR al-Bukhari)
Berdasarkan hadith-hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa sifat bermuka dua atau bermuka-muka sangat dibenci oleh ALLAH Ta`ala, sehingga Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam mengatakan bahawa manusia yang bersifat sedemikian adalah seburuk-buruk manusia.
Manusia yang bermuka dua atau bermuka-muka ini boleh jadi bersifat demikian dengan tujuan untuk:
1.melagakan manusia,
2.meraih keuntungan dari dua pihak atau lebih,
3.mendapat perhatian atau sokongan dari dua pihak atau lebih,
4.supaya dipandang mulia oleh dua pihak yang berbeza atau lebih,
5.menyembunyikan kebenaran,
6.dan sebagainya.
Sifat begini mesti dihindari terutama dari ia wujud dalam diri kita sendiri. Menyedari bahawa kemungkinan terdapat sebahagian ahli masyarakat kita yang bermuka dua, maka sewajarnya kita sentiasa berhati-hati dengan maklumat dan berita yang kita kongsikan dengan seseorang. Sifat bermuka dua sangat memudharatkan masyarakat, terutama jika sifat itu wujud dalam kalangan orang yang memimpin masyarakat.Semoga ALLAH Ta`ala memelihara kita semua, amin…
No comments:
Post a Comment