Islam meletakkan kepentingan jemaah sebagai antara yang perkara yang wajar diberi keutamaan oleh para penganutnya.Kepentingan menyertai jemaah ini dilakarkan melalui hadis Nabi s.a.w:
Dari Umar Al-Khattab r.a,bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda,
”Barangsiapa di antara kamu yang menginginkan syurga,hendaklah dia melazimkan diri (menyertai) jemaah,kerana syaitan selalunya suka dengan orang perseorangan,dan selalu menjauhkan diri dari kumpulan orang berdua ke atas”
Terdapat sekurang-kurangnya 4 versi hadis ini yang mempunyai lafaz berbeza tetapi maknanya tetap sama.
Firman Allah:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.
(Ali-Imran : 104)
Akhirnya,akan timbul persoalan.Apakah yang dimaksudkan dengan jemaah?Dan apakah jenis jemaah yang wajar disertai oleh umat Islam dan yang haram disertai?.Maklum dalam dunia yang serba luas ini,pelbagai jenis jemaah telah wujud dan mempunyai motif tersendiri.Jadi sudah tentu satu panduan atau guide line perlu diketahui umat Islam agar mereka tidak tersasar dari garisan syariat Islam lantaran tersilap memilih jemaah.
Jemaah adalah perkumpulan atau golongan.Berasal dari kata akar (masdar) ‘jamak’ yang bermakna ramai.Dalam menilai jemaah yang ingin disertai, Sheikh Mustafa Mashyur, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin telah mengeluarkan 20 ciri jemaah Islam yang sepatutnya disertai.Penulis senaraikan seperti di bawah:
1- Menggunakan Al Quran dan Sunnah sebagai sumber rujukan, dan menjaga jemaah agar ia tidak tunduk melutut dibawah kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya ia memberi kesan buruk kepada kepada gerakan dakwah.
2- Jemaah ditubuhkan kerana Allah,demi keredhaannya bukan mencari kemasyhuran dan keduniaan.Jemaah juga mesti menjauhi kegiatan assabiyyah (perkauman) atau nasionalisme kerana faktor ini adalah punca kegagalan jemaah untuk berkembang dan berjaya.Contoh,jemaah Melayu yang ditubuhkan untuk menolong Melayu semata-mata,dan meminggirkan kaum lain.
3- Tujuan jemaah atau pertubuhan yang dibina adalah demi menegakkan Islam dan mendirikan daulah Islamiyyah.Caranya adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan syariat.Jemaah juga mesti bersifat universal,tidak terkongkong pada sesetengah bidang sahaja seperti politik,ekonomi ataupun ibadat.
4-Kefahaman jemaah ini terhadap Islam hendaklah menyeluruh dan pendekatan dakwah yang digunakan juga adalah bersifat menyeluruh (syamil). Kefahaman Islam, cara dan mesej dakwah yang dibawa mesti bertepatan dengan Quran dan Sunnah Rasulullah (saw),dan bersih dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh memecah-belahkan orang-orang Islam.
5- Jemaah ini mestilah bersifat universal dan tidak terhad pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah Islam adalah ditujukan kepada sekelian alam. Jemaah ini juga menekankan bahawa orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan sentiasa bergerak kearah kesatuan ummah. Dengan sifat alamiyyahnya, jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam Alamiyyah dengan menggunakan Kaedah Sulbah, bukan Negara Islam Geografi sahaja.
6-Jemaah ini mestilah mengikut kaedah perjuangan yang digunakan oleh Rasulullah saw ketika baginda mendirikan Negara Islam. Kaedah yang digunakan oleh Rasulullah (saw) adalah berperingkat (marhalah),beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli, melaksanakan hikmah dan kewaspadaan dalam setiap langkah, serta mengambil kira faktor persekitaran (waqi'). Baginda mementingkan perkara-perkara seperti kemantapan aqidah, iman dan ibadah,mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat Islam, mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraan, tarbiyyah, dan lain-lain lagi. Jemaah ini mesti menekankan Kaedah Sulbah yakni, membina individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan baharulah Dunia Islam. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan senjata sebelum aqidah, tarbiyyah dan penyatuan umat Islam akan membawa kepada perpecahan umat Islam dan kemudharatan yang besar. Sesungguhnya, pembinaan yang membesar secara tabii (Kaedah Sulbah) itu bermula dari dasar (individu) dan bukan dari puncak (negara).
7-Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari propaganda dan menunjuk-nunjuk, kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan dan ganjaran pahala. Setiap anggota jemaah itu hendaklah mengutamakan dirinya untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan menghindarkan dirinya dari sebarang sifat tercela (mazmumah), perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan 'tajassus' dan apa sahaja yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya produktif dalam berdakwah. Firman Allah swt,
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu merendah-rendahkan kaum lain kerana mungkin kaum lain itu adalah lebih baik... jauhilah prasangka... janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau mengunjing orang lain; sukakah kamu memakan daging saudaramu yang telah mati? Hai manusia, Allah telah mencipta kamu lelaki dan perempuan, bangsa-bangsa, suku-suku supaya kamu saling berbaik. Sesungguhnya, orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu"
(Surah Hujurat:11-13)
8- Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang sempurna dan realistik. Segala tindakan yang diambil bukan lah secara spontan ataupun hanya reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh mengakibatkan risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan individu, keluarga, dan masyarakat dalam semua lapisan umat Islam dilakukan atas dasar taqwa sebagai persediaan sebelum mendirikan Negara Islam.
9- Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek pendidikan dan pekerjaan yang dikehendaki, yakni aspek rohani, jasmani, mental, dan ilmu. Dari segi politik, jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam dengan jalan kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara berparti dan jauh sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut parti sekular. Dari segi komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan sebaran am, akhbar, penulisan serta apa jua cara yang dapat menyebarkan kan dakwah serta menolak kekeliruan yang boleh timbul dari fitnah musuh atau sesiapa sahaja.
10- Jemaah tidak sekali-kali meninggi diri serta sentiasa membuat perbandingan dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan tidak menganggap jemaahnya sahaja yang sempurna dan benar, sementara jemaah lain adalah sesat. Jangan memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah lain atau melihat jemaah lain sebagai saingan atau lawan, tetapi sebaliknya carilah ruang-ruang untuk bekerja sama. Hendaklah dia sentiasa berusaha kearah penyatuan (wahdatul ummah) dengan jemaah-jemaah lain dan sentiasa bersabar, berlapang dada dan menerima segala kritikan dengan baik. Dengan izin Allah swt, kita semua mengharapkan akan tiba masanya, hilanglah semua nama-nama, gelaran dan perbezaan teknikal antara semua jemaah yang ada sekarang dan akan digantikan dengan satu Jemaah Muslimun.
11-Jemaah ini hendaklah bercampur-gaul dengan semua orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupun pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mendirikan Negara Islam.
12- Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta organisasi (tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah dididik (tarbiyyah) sepenuhnya, membentuk barisan-barisan yang terpilih dan berkeperibadian Islam, dan tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak sihat, demi menjamin penerusan serta mesej dakwah yang dibawanya.
13-Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang tanggungjawab tertentu atau pimpinan. (muhasabah) Konsep ketaatan dan kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan.
14- Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mangkafir dan isu perbezaan jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah dengan sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari ataupun benci kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah berteraskan kasih sayang (mahabbah), waqii (persekitaran) semasa,tawazun (keseimbangan), hazar (waspada) dan tasawwur (prospek) amal yang jelas. Dari segi aqidah dan ibadah, jemaah ini tidak bertolak-ansur sedikitpun..
15-Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama member sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama-sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam keseluruhannya.
16-Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu-helah musuh Islam,sentiasa bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat kepada Allahapabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.
17- Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakan Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang dilakukan adalah sebagai saham yang berharga kepada generasi akan datang. Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan bersabar, didunia ini dan juga diakhirat sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Hadid: 28:
"Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah akan memberi rahmatNya kepada kamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan, dan Allah akan mengampunimu".
18-Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta bergerak (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang seperti pendidikan,ekonomi,perundangan, dakwah, kesihatan,ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.
19- Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah,ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.
20)-Jemaah ini terus beribadat kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya dengan apa sekalipun. Dan ingatlah,sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka".
Seperti kata-kata Saidina Ali (r.a):
"Janganlah kamu kenali sesuatu kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran tersebut dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya".
Samalah dengan jemaah,kenalilah dan fahami terlebih dahulu cirri-ciri jemaah sebelum menyertai jemaah tersebut.
Dr. Yusuf Al-Qardawi pernah meyebut dalam kitabnya, Wajibu syabab' islami, terdapat 4 kewajiban remaja islam iaitu:
1-Berilmu
2-Beramal
3-Berjemaah
4-Melaksanakan.
Antara kepentingan menyertai jemaah adalah penambahan ilmu dan sentiasa dapat melakukan perbincangan dengan mereka yang lebih arif.Dengan itu,kekeliruan terhadap sesuatu perkara dapat dihindarkan dan seseorang itu akan dapat membetulkan kembali jalannya,fikrahnya andai ia tersasar.
Bagi mereka yang enggan menyertai jemaah,Rasulullah menyebutkan melalui 2 hadis baginda:
"Tangan (atau pertolongan) Allah itu bersama jemaah. Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpisah (dari kumpulannya)".
Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a katanya:
"Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan. Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu. Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu ? . Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu ? . Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu ? . Rasulullah menjawab dengan bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jemaah Islam dan pemimpin mereka . Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin ? . Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian"
Wallahua’lam.Semoga tulisan ini sedikit sebanyak dapat membantu umat Islam dalam menilai dan memilih jemaah yang ingin disertai.Maka dengan itu Islam akan kembali gemilang insyaAllah.
No comments:
Post a Comment