Ketika Rasulullah SAW dilantik menjadi Rasul akhir zaman, kerasulannya bersifat sejagat dan 'alami. Baginda bukan sahaja berdepan dengan musyrikin Arab yang buta huruf, paling keras dan bebal, bahkan menghadapi seluruh manusia di muka bumi sepanjang zaman.
Ada pun di luar bumi Arab pula, adanya kuasa-kuasa besar dunia yang bertembung, khususnya Rom dan Parsi, di samping China, India, Mesir, Habsyah dan lain-lain. Dalam masa yang sama, adanya pula golongan ahli kitab dan bukan ahli kitab berbagai-bagai agama.
Al-Quran, bukan sahaja menjadi petunjuk yang benar mengenali Allah dan segala akidahnya, beribadat dan cara hidup diri dan bermasyarakat, hubungan manusia dengan Allah.
Al-Quran juga memberi petunjuk menangani berbagai-bagai agama dan kuasa pemerintahan, dengan memaparkan sejarah terdahulu dan semasa. Pendekatan dakwah secara muwajahah silmiyyah diutamakan, perdamaian didahulukan dalam hubungan antara bangsa, negara, kaum dan agama, berdiplomasi dalam menangani pertembungan antara kuasa besar dan kebijaksanaan dalam pertembungan agama, dengan syarat istiqamah dan konsep murunah tanpa hilang petunjuk yang sebenar, serta tegas menghadapi segala tentangan sehingga tidak menyerah kalah, sama ada menang atau mati kerana Allah.
MENGHADAPI PERGOLAKAN ANTARA BANGSA
Di antara petunjuknya ialah firman Allah, maksudnya:
"Alif, Laam, Miim. Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (Kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (Surah ar-Rum : ayat 1-5)
Ayat-ayat ini membetulkan sikap dalam pertembungan antara dua kuasa besar di zaman itu, dengan sikap yang berbeza di antara ahli kitab dan yang lain, tanpa menghadapi musuh yang ramai dalam satu masa.
MENGHADAPI PELBAGAI PIHAK
Adapun berdakwah secara umum, manusia berbagai-bagai agama dan budaya, sehingga kerajaan yang memerintah negara, Al Quraan memberi petunjuk. Firman Allah, maksudnya :
"Serulah (berdakwah) ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."
"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan yang setimpal seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) Sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar."
"Dan bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan."
"Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha amalan yang baik."
(Surah al- Surah An-Nahl : Ayat 125 – 128)
Khusus bagi menghadapi ahli kitab Allah berfirman, maksudnya :
"Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri (Islam)." (Surah al-Ankabut : ayat 46)
CABARAN DALAMAN UMMAH
Seterusnya umat Islam menghadapi cabaran penyelewengan dalaman, sehingga memecahkan mereka kepada mazhab bukannya sekadar furu' ilmu fiqh yang di izinkan, bahkan yang menyentuh akidah yang dinamakan firqah dan tasawwuf yang dinamakan tariqat. Walaupun mengaku berada dalam kepompong Islam, tetapi memecahkan kedudukannya daripada kepompong Islam, secara sedar atau tidak.
Dalam hal ini kita perlu membuat pertimbangan berpandukan firman Allah, Maksudnya:
"Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata)." (Surah Surah Fatir : Ayat 32)
Selepas wafatnya Rasulullah SAW berlakunya masalah dalaman penganut Islam, peristiwa riddah, keluar daripada Islam semuanya atau menafikan hukum zakat dalam keadaan masih bersembahyang. Kekhilafan juga berlaku dalam kalangan para sahabat RA berhubung dengan perlantikan Khalifah. Walau pun akhirnya bersepakat mendokong Khulafa ar-Rasydin RA. Namun kesannya berbangkit kemudian, mencipta mazhab Syiah dan Khawarij dan menjadi melampau kerana adanya anasir luar yang masuk ke dalam umat Islam dan kejahilan umat pada zaman mutakhir.
Selepas penterjemahan berbagai-bagai ilmu ke dalam bahasa Arab pada zaman Abbasiyyah, sehingga termasuk pengaruh ilmu falsafah, menyebabkan lahirnya perbincangan ilmu akidah yang memecahkan aliran pemikiran dalam aspek akidah dalam kalangan Ahli Sunnah sendiri, kepada aliran Salafiyyah, Asyairah dan Maturidiyyah sehingga dinamakan Ilmu Al Kalam kerana banyak falsafahnya apabila berdepan dengan aliran Muktazilah, Qadariyyah, Jabariyyah dan lain-lain. Muncul pula aliran Batiniyyah yang menafikan amalan syariat yang diwajibkan. Semua aliran aliran tersebut juga mempengaruhi semua kalangan mazhab yang terdahulu yang bermula dengan politik, feqah dan tasawuf.
Umat Islam pula menghadapi al Ghazwu al-Fikri daripada timur dan barat, khususnya selepas masuknya zaman penjajahan baru dan selepas penjajah asing, bukan sahaja terpengaruh dengan tamadun kebendaan yang melampau, tetapi menganut aliran al-Ilmaniyyah (Sekularisma) yang mencipta semangat menentang penjajah, pada mulanya berasaskan nasionalisma dan selepasnya menganut berbagai-bagai ideologi dan teori politik dan ekonomi yang asing daripada Islam. Bukan sahaja liberal kapitalisma dan sosialisma yang tidak menolak agama bahkan melarat kepada komunisma yang menentang semua agama.
Ada juga yang menghina dan mempersendakan hukum-hukum Islam, dalam keadaan tetap mengaku menjadi penganut Islam. Lebih merbahaya lagi adanya ulama yang bersamanya dan melabelkan Islam kepada semua ideologi itu kerana mengampu kepada kerajaan di negeri masing-masing atau tidak memahami perkembangan semasa.
AKIDAH MEMPENGARUHI MAZHAB
Perpecahan umat berdasarkan kepada politik pada awalnya, bukan sahaja mempengaruhi madrasah fiqhiyyah, namun melibatkan juga madrasah akidah dan tasawuf sehingga berpecah kepada mazhab yang banyak.
Abu al-Hasan al-'Asyari dalam kitabnya Maqalat al-Islamiyyin dan al-Syahrastani dalam al Milal wa Nihal menghuraikan agak terperinci. Madarasah Ahli Sunnah dalam perkara akidah berpecah kepada tiga mazhab - Salaf, As-Syairah dan Maturidiyyah.
Mazhab Syiah berpecah kepada 52 mazhab yang besar dan kecil. Khawarij pula berpecah kepada 16 mazhab. Mu'atazilah kepada 12 mazhab, Jabriyyah kepada tiga mazhab.
Ada kalangan mazhab yang sama akidahnya dengan ahli sunnah dan berkhilaf dalam hukum feqh dan ada pula beberapa hukum feqh yang sama tetapi menganut mazhab muktazilah dan lain-lain.
MAZHAB AHLI Al SUNNAH WA JAMA'AH
Mazhab Ahli Sunnah Wa Jama'ah wajib dipertahankan kebenarannya, walau pun Muktamar OIC terakhir di Makkah merasmikan keputusan Majmak al-Fiqh dibawahnya yang berpusat di Jeddah dan sebelumnya Majma'a Al Buhuth Al Islamiyyah di-Mesir mengisytiharkan lapan mazhab yang lahir dalam kalangan umat Islam yang diiktiraf bernama Islam.
Lima daripada Sunni: Hanafi, Maliki, Syafe'ei, Hambali dan Zohiri, (tanpa menyebut mazhab yang terdahulu di kalangan sahabat dan tabi'ein). Dua daripada Syi'ah: Imamiyyah (Ja'afariyyah) dan Zaidiyyah dan satu mazhab Khawarij , iaitu Ibadiyyah.
Mazhab Ahli Sunnah mengalami proses ilmu dan perjuangan yang lebih mendalam daripada mazhab yang lain, kerana berada di pusat ilmu, seperti Makkah, Madinah, Yaman, Syam, Iraq dan Mesir.
Adapun Mazhab yang lain menjadi terpencil daripada pusat ilmu dan jauh daripada para ulama muktabar yang berjuang secara berdepan menghadapi cabaran.
Menjadikan pendapat yang kuat dari segi hujah yang sahih dan kuat bersumberkan hukum Islam lebih banyak, dan hujah mazhab yang lain banyak yang lemah, namun kita tidak boleh menafikan adanya banyak persamaan dalam beberapa hukum dan adanya pertemuan ilmu berbagai mazhab, kerana berguru dan meriwayat di antara satu sama lain. Seperti di antara Abu Hanifah dan Imam Al Baqir dan anaknya Imam Ja'afar Al Sadeq daripada mazhab Syi'ah. Imam Al Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Soleh bin Hay yang bermazhab Syiah , dan contoh yang lain.
Perlu diketahui juga bahawa zaman mutakhir berlakunya kelahiran kaul daif dan ada yang menyeleweng daripada imam mazhab yang terdahulu apabila berlalunya masa yang lama dan berlakunya pertembungan secara jahil dan taksub. Sehingga ada yang terlalu melampau sehingga membatalkan Islamnya.
Perlu difahami perbezaan antara meningkari Nas al-Quran, Hadis-Hadis Soheh Mutawatir, Ijma'a dan menafikan Hadis Ahad dan adanya kaul daif daripada mazhab sahabat dan tabi'en.
Dalam masa yang sama berlaku pula ta'asub mazhab Sunni sendiri sehingga menolak dan menyesatkan sesama sendiri dan menafikan mazhab para sahabat dan tabi'ein yang sepatutnya dikaji juga.
KAJIAN PARA ULAMA
Ada kalangan ulama yang mengarang kitab berkenaan dengan sejarah dan aliran pemikiran mazhab-mazhab firqah tersebut. Seperti Abul Hasan Al-Asyari mengarang kitab Maqalat Al Islamiyyin. AlSyahrastani kitabnya al-Milal wa-Nihal , Ibnu Hazmin kitabnya al-Fisal fi al-Milal wa-Nihal. Ibnu Khaldun pula menyentuhnya dalam al-Muqaddimah. Maka kita akan dapati perbezaan pendapat dan sikap kalangan ulama itu kerana berbeza zaman dan tempat.
Untuk mendapat kajian terperinci adalah lebih baik dirujuk kepada penulisan perbandingan mazhab yang agak mendalam, terperinci dan tidak terpengaruh dengan tekanan politik kerajaan masing. Di antaranya ialah karangan Al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Dr Abdul Karim Zaidan yang berada di tengah-tengah masyarakat berbagai mazhab. Sebelumnya al-San'aani daripada Syiah Zaidiyyah mengarang kitab Subul Al-Salam mensyarahkan kitab matan Hadis Bulugh Al-Maram karangan Ibnu Hajar daripada Sunni, Al-Syaukani yang berubah daripada keluarga Syiah kepada Sunni.
Kita juga wajib berwaspada dengan permainan politik dalaman umat dan musuh luar, yang sengaja mencetuskan masalah dalam tanah air dan masyarakat umat Islam .
SIKAP MUSUH TERHADAP ISLAM
Semua penulisan dan media barat meletakkan semua yang berwajah Islam dalam senarai paling bahaya, tanpa mengira mazhab, bangsa, dan ideologi politik yang dianut dan diperjuangkan, walau pun yang terpelanting daripada Islam seperti Komunis atau Islam Liberal.
Ketika memuncak perang di Semenajnung Korea tahun 50-an, dan ancaman pakatan Warsaw terhadap Negara Eropah, seorang diplomat barat membuat kenyataan bahawa Islam lebih bahaya daripada ancaman komunis. Di Malaysia juga ada kalangan yang menumpang sama.
Saya juga tidak lupa kenyataan Ehud Barak, Mantan PM dan Menteri Pertahanan Israel ketika terburainya Komunis dan pecah berkecainya Negara Sovet pada akhir tahun 80-an:
"Supaya berwaspasa terhadap kumpulan Islam yang muncul di negara Asia Tengah bekas jajahan Islam".
Kita perlu membaca sikap kuasa besar barat dan timur terhadap Islam secara menyeluruh. Kita juga wajar memahami mengapa British berfahaman Liberal kapitalis dan sekutunya mengizinkan kemerdekaan Yaman Selatan dahulu kepada pembentukan kerajaan Komunis Maxis di antara tempat paling stratejik dan Rusia dan China mengizinkan penubuhan kerajaan pro barat di kawasan umat Islam di Asia Tengah. Dalam masa yang sama adanya pula negara Arab yang bersekongkol dalam percaturan politik kuasa besar.
Umat Islam juga dikawal habis-habisan dalam perlumbaan teknologi. Maka kalau yang maju sehingga sedikit kemajuan dalam teknologi nuklear, laksana tanda kiamat yang wajib dimusnahkan, walau pun dia seorang Islam yang zalim seperti Saddam Husain atau tolol seperti Muaamar Gaddafi. Sekalipun bertujuan untuk tenaga letrik dan sebagainya, tetap diharamkan. Saintis Iran, dikutip untuk dibunuh dan ada yang diculik ketika menunaikan haji di Makkah, tiba-tiba dapat melarikan diri ke Kedutaan Pakistan di Amerika.
Ada pun negara lain boleh membina semaju-majunya, sehingga melakukan ujian yang mengacau cuaca dunia dan keselamatan penduduk setempat, dan mengganggu keamanan dunia dengan senjata pemusnah membunuh lebih kejam daripada binatang buas.
Negara barat dan timur boleh menubuhkan apa sahaja pakatan termasuk ketenteraan, saperti NATO dan Warsaw, atau pakatan ekonomi seperti EU, AFTA, NAFTA, G7, TPPA dan sebagainya. Adapun negara umat Islam diharamkan seperti itu.
Maka OIC hanya layak bersifat NGO yang hidup segan mati tak mahu. Apabila Almarhum Erbakan PM Turki menubuh G8, maka dilumpuhkan, lebih lagi apabila mencadangkan Dinar pengganti Dollar dalam urusan kewangan antarabangsa. Tiba-tiba Erbakan (Pemimpin Parti Islam seperti PAS di Malaysia) digulingkan, termasuk Tun Mahadir pemimpin kuat Umno yang menyokong cadangan ini.
Beginilah senario membelasah Islam tanpa mengira mazhab, tanpa mengira namanya Sunni, Salaf atau Khalaf, Asyairah, Maturidiyyah, Wahabi dan lain-lain. Termasuk tanpa mengira Sunni, Syiah dan Khawarij dan lain-lain, termasuklah tanpa mengira Islam atau sekular.
Pada zaman penjajahan dahulu pihak musuh juga berjaya mencipta mazhab yang disokong oleh mereka seperti Qadiani (Ahmadiyyah) di India dan Bahai di Iran yang ditolak oleh umat Islam, sehingga terpaksa memindah pengkalan di Israel dan England.
GERAKAN ISLAM DAN HUBUNGANNYA DENGAN MAZHAB
Semua gerakan Islam Islah dan tajdid menangani berbagai mazhab dengan ilmu para ulamanya melalui taqrib kalangan mazahib yang dikira daripada Ahli al-Islam atau pun Ahli Al-Qiblah.
Pelopor gerakan tajdid zaman penjajahan, Jamaluddin al-Afghani yang pernah dibuang ke Iran dan kemudiannya ke Mesir, lalu bergabung dengan muridnya Muhammad Abduh memainkan peranan pada awal abad yang lalu bersama dengan Ayatullah Al-Kasyani. Usaha ini disambung oleh Hasan al-Banna, Abul 'Aala Maududi, Nawwab Sofawai dan lain-lain. PAS juga bersama menyambung dalam usaha ini. Namun mendapat tentangan dan gangguan dalam negara dan antarabangsa. Hasan al-Banna ditembak mati di Mesir dan Nawwab Sofawi dihukum bunuh di Iran. Dua tokoh al-Azhar, selepas Syaikh Muhammad Abduh iaitu Shaikh Mustafa al-Maghari dan Mahmud Syaltut melibatkan diri dalam usaha taqrib. Selepasnya perlantikan Shaikh Azhar dikuasai oleh kerajaan Mesir.
Almarhum Dr Said Ramadan al-Misri (S/U Ikhwan Muslimin) menegaskan bahawa beliau tidak melupai demonstrasi ratusan ribu di kedutaan Mesir di Tehran apabila Sayyid Qutb dan rakan-rakannya dijatuhkan hukuman mati ditali gantung.
Gerakan Ikhwan al-Muslimin secara khusus mememainkan pengaruh yang besar, apabila beberapa kitab dan risalahnya diterjemahkan ke bahasa Parsi, di antara penterjemahnya ialah Ayatullah Ali Khamenei yang dilantik menjadi Imam selepas al-Khomeini. Terakhirnya, beliau mengeluarkan fatwa membatalkan beberapa ribu hadis dalam kitab mereka (al-Kulaini), yang didapati mencela para sahabat dan Umahat al-Mukminin RA.
Satu pendedahan diawal revolusinya berlaku perang teluk yang belum selesai sehingga kini. Berlaku pengeboman bangunan yang mengorbankan lebih 80 orang pemimpin, mereka sebahagian besarnya terlibat dengan gerakan Islam, diantaranya ialah Ayatullah Bahasyti.
Walau pun mereka boleh bertahan, namun mereka berdepan dengan para ulama fanatik mazhab yang masih ramai dalam masyarakat yang bertindak secara negatif menyebarkan mazhab dan pandangannya di kalangan sunni, di samping negara Arab Sunni berjiran tidak menunjukkan semangat kejiranan dan persaudaraan seagama, sebaliknya bersedia menjadi pengkalan tentera kuasa besar barat yang menjadikan Iran satu ancaman besar kepada mereka. Sedangkan negara ini sangat rapat dengan Iran pada zaman Shah yang menjadi pengkalan terkuat kepada Barat.
Sikap kerajaan negara Arab terhadap kemenangan Islam di Sudan, terhadap Ghazzah, terkini di Mesir, Tunisia, dan lain-lain, sangat menunjukkan belangnya yang sebenar. Menunjukkan usaha menghalang munculnya Negara Sunni yang mampu memimpin dunia Islam - sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh Iran walaupun sudah menunjukkan arah menjadi kuasa besar dunia.
Sikapnya memutuskan hubungan dengan Israel dan membatalkan pengiktirafan yang dilakukan oleh kerajaan Shah dahulu dan keberanian membantu Hamas, dan Tanzim Jihad bukan sahaja Hizbullah, sepatutnya dilakukan oleh Negara Arab Sunni sangat memalukan.
Negara-negara besar yang terlibat dalam penubuhan Israel telah berjaya mencetuskan peperangan secara wakalah di Syria yang dianggap oleh Lawrence sejak seratus tahun yang lalu sebagai kawasan penyelamat kepada penaklukan tanah suci mereka di Palestin. Terkini dapat menghapuskan pengkalan Hamas dan Tanzim Jihad (dua kumpulan Islam Sunni), pengkalan hadapan secara lansung dengan Israel yang tidak dibenarkan di semua Negara Arab, kecuali Yaman, Sudan, Algeria, Qatar dan Lubnan, serta menyekat saluran senjata menentang Israel disebelah utara, yakni bukan hanya melibatkan Hizbullah daripada Syiah.
PETA BARU DUNIA ISLAM
Pada awal abad yang lalu, semangat kebangsaan memecahkan umat Islam berjaya menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah, iaitu peranan mazhab pada masa itu tidak besar. Pendedahan terkini melalui media baru menunjukkan, faktor mazhab dan kepelbagaian kaum dan agama yang ada dalam negeri Islam dijadikan faktor membentuk peta baru Asia Barat dan akhirnya melibatkan dunia Islam. Tujuannya ialah menyelamatkan Israel yang menjadi pengkalan hadapan dalam pertembungan dengan dunia Islam, juga penguasaan terhadap sumber pembekal tenaga dan perjalanan antarabangsa.
Pemetaan dicadangkan supaya Selatan Mesir (So'eid) dipecahkan kepada kaum yang rapat dengan Afrika yang digabungkan dengan Sudan Utara yang dipisahkan daripada Sudan Selatan dan Darfur. Negara untuk kaum Kristian Koptik juga dicadangkan. Utara Afrika dipecahkan di antara kaum Arab dan Barbar (amazigh). Syria , Iraq dan Lubnan dipecahkan kepada Sunni, Syiah, Alawi, Kurdis dan Turkuman yang memecahkan Turki pula. Begitu juga Saudi, Iran, Negara Teluk dan Yaman.
Usaha melumpuhkan ketenteraan juga dilaksanakan, setelah berjaya melumpuhkan Pakistan dan Afghanistan, Mesir dan Syria kerana masalah dalaman, dilagakan pula Saudi dan Iran secara pertembungan mazhab. Peperangan boleh dilakukan secara langsung atau wakalah (proksi) bagi kesempatan pasaran senjata dalam kalangan kuasa besar dan meleburkan wilayah Islam dengan peperangan sesama sendiri .
PENUTUP
Perpecahan mazhab yang telah wujud sejak seribu tahun dahulu tidak menghalang kemaraan dakwah dan futuhat Islam ke seluruh pelusuk dunia, kerana umat yang tulin dapat membezakan antara yang sesat dan tidak. Masa dan tenaga tidak dihabiskan oleh pertelingkahan mazhab dan firqah yang wujud, tetapi kebangkitan Islam yang sedang berlaku kini digugat dengan perkara mazhab sekiranya tidak ditangani dengan bijak oleh para ulama dan pemimpin yang insaf.
Sumber ilmu Islam secara riwayat dan dirayat sepatutnya dapat diperkasakan dengan mudah sekiranya dimanfaatkan teknologi maklumat terkini.
PAS sendiri sehingga kini berjaya menapis segala anasir fahaman dan mazhab yang cuba dimasukkan kedalam PAS atau menggangu perjalanannya, sama ada kumpulan ini keluar dengan sendiri atau dipecat.
Akhirnya bacalah firman Allah, maksudnya:
103. Katakanlah (Wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
104. (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.
105. merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengannya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang pertimbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
106. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.
(Surah Surah al-Kahf : ayat 103-106)
ABDUL HADI BIN AWANG
ABDUL HADI BIN AWANG
No comments:
Post a Comment