Sebahagian AJK Muslimin sesi 12/13 dan sesi 13/14 ketika Muktamar Tahun Lepas Sebahagian AJK Muslimat sesi 12/13 dan sesi 13/14 ketika Muktamar Tahun Lepas PERPPIS!!! Gambar FB PERPPIS TAWAU

Catatan Pengalaman Ekspedisi Dakwah 2009


Hari pertama bermula dengan harapan yang menggunung dalam diri kami.Kami telah diarahkan berkumpul seawal pukul 7 pagi di pejabat PASTI Tawau.Lebih kurang pukul 9.30 pagi kami akhirnya bertolak setelah selesai menunaikan solat sunat hajat secara berjemaah supaya ekspedisi ini sentiasa diberkati Allah dan dapat berjalan dengan lancar.Perjalanan menuju destinasi pertama iaitu Pekan Semporna kami mulakan dengan membaca Ummul Al-Quran dan bacaan doa dari seorang peserta muslimin. Kemudian, kuliah bergerak pertama yang disampaikan oleh Presiden PERPPIS Sesi 2008/2009 mengisi kekosongan waktu sepanjang perjalanan. “Disangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari “, itulah pepatah yang dapat menggambarkan peristiwa yang menimpa kami ketika itu. Bas yang kami naiki telah mengalami kerosakan yang agak serius di Kg Tagasan, Semporna sehingga terpaksa menunggu bas lain yang akan menggantikan bas tersebut dari Bandar Tawau.

Azan yang berkumandang ketika itu memanggil kami untuk menunaikan solat sunat Jumaat di Masjid Inabah Kamal yang terletak berhampiran.Penasihat Am PERPPIS juga mengarahkan agar menunaikan solat Asar yang dijama’ takdim secara berjemaah pada masa waktu itu. Setelah menikmati makan tengahari, akhirnya penantian kami selama hampir 4 jam yang disertai dengan hujan berakhir. Bas yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba.Kami meneruskan perjalanan ke Pekan Semporna. Setibanya di sana, “Ops Buletin” yang pertama berjalan.

Seterusnya, kami mula bergerak ke Lahad Datu. Perancangan untuk menjalankan “Ops Buletin” di Kunak terpaksa kami batalkan memandang terdapat kekangan masa. Meskipun kami tiba pada malam hari, namun “Ops Buletin” tetap kami jalankan. Pengalaman menjual buletin dan munjiyat pada waktu malam sangat menguji kesabaran. Kami menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Al-Raudhah, Lahad Datu sebelum meneruskan perjalanan ke Kinabatangan.

Setelah menunaikan solat Subuh secara berjemaah di Masjid Al-Ghaffar, Kinabatangan, ekspedisi pada hari kedua diteruskan dengan penyampaian kuliah subuh oleh Cikgu Mohd Nasir selaku Penasihat Am Perppis yang sangat menarik perhatian kami. Dari kuliah tersebut, kami dapat memahami konsep sebenar ‘Tabarruj’ dalam Islam. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Sandakan. Seperti biasa, kuliah bergerak yang disampaikan oleh peserta Ekspedisi Dakwah menjadi halwa telinga kami.

Setibanya di Sandakan, kami meneruskan penjualan buletin dan munjiyat di Bandar Utama Sandakan. Sambutan yang kami dapat sangat menggalakkan memandangkan ketika itu terdapat ramai anggota masyarakat yang berkunjung ke bandar. Dalam kesibukan kami mengadakan “Ops Buletin”, beberapa orang dari kalangan peserta ekspedisi telah membantu seorang remaja lelaki yang telah dilanggar oleh sebuah kereta. Remaja tersebut sedang menolak kereta sorong yang berisi buah langsat untuk dijual. Malangnya, sebuah kereta telah melanggarnya dari belakang sehingga menyebabkan buah tersebut berhamburan di atas jalan raya. Sifat keprihatinan dan tolong-menolong yang menghiasi akhlak beberapa orang peserta ekspedisi tersebut telah mendorong mereka untuk membantu. Kami menunaikan solat Zohor dan Asar di Masjid Daerah Sandakan dan menjamah makanan tengahari di situ. Kami telah melawat ke Taman Buaya Sandakan sebelum meneruskan perjalanan ke Pekan Beluran. Perasaan hampa menghiasi hati kami apabila “Ops Buletin” yang kami jalankan kurang mendapat sambutan penduduk di pekan tersebut. Namun, perkara ini tidak akan pernah melunturkan semangat kami. Kami singgah sebentar di Masjid Jamek Daerah Beluran untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta menikmati hidangan makan malam. Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Telupid dan bercadang untuk bermalam di Masjid Jamek Darul Huda Telupid.

Dalam perjalanan, kami diuji sekali lagi apabila tersesat jalan. Setelah berbincang sesama peserta ekspedisi, akhirnya kami mengambil keputusan untuk berpatah balik berpandukan arahan yang diberikan oleh Cikgu Mohd Nasir untuk sampai ke Masjid Jamek Darul Huda Telupid.

Hari ketiga Ekspedisi Dakwah kami teruskan dengan Qiamullail dan solat Subuh secara berjemaah. Cikgu Mohd Nasir pula menyampaikan kuliah Subuh dan sedikit taklimat tentang ekspedisi pada hari berkenaan. Setelah menikmati sarapan pagi, kami meneruskan perjalanan ke Pekan Telupid dengan harapan bahawa “Ops Buletin” akan mendapat sambutan di sini. Alhamdulillah, penjualan buletin di Pekan Beluran tidak menghampakan meskipun kami menyedari bahawa sebahagian besar penduduk di sini adalah bukan beragama Islam. Pekan Ranau pula menjadi destinasi kami yang seterusnya. Dalam perjalanan, kami telah singgah di Masjid Jamek Ar-Rahman, Ranau untuk menunaikan solat Zohor dan Asar. Sebelum meneruskan penjualan buletin dan munjiyat, kami telah menikmati makanan tengahari di masjid tersebut. Setelah itu, kami pun terus menggiatkan operasi “Ops Buletin” di Pekan Ranau. Kemudian perjananan diteruskan ke Kundasang. Sepanjang perjalanan ke sana, hati tidak pernah lalai daripada mengingati Kebesaran dan dan Keesaan Allah SWT dengan melihat pemandangan indah Gunung Kinabalu dan sekitarnya. Subhanallah!Hanya itu yang mampu kami ucapkan.

Pemandangan yang sungguh indah itu menyedarkan kami bahawa betapa kerdilnya diri di hadapan Allah yang Maha Berkuasa. Suasana dingin pula mula menyelimuti diri ketika itu. Sesampainya di Kundasang, kami tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan gambar kenangan. Azan yang berkumandang kami sahut dengan segera. Kami menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Jamek Daerah Kundasang. Setelah menjamu makan malam, kami dihidangkan pula dengan santapan rohani iaitu kuliah Al-lail yang disampaikan oleh Penasihat Am Perppis.

Keesokan harinya, kami bangun dengan suasana dingin yang masih membelenggu diri. Dengan sedikit kecekalan, kami gagahkan juga bangun untuk mengambil air sembahyang dan seterusnya menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Setelah hemat diri, kami mengambil peluang yang ada untuk berjalan-jalan di Pekan Kundasang sambil menikmati udara yang nyaman. Setelah menikmati sarapan pagi, ekspedisi kami teruskan dengan penjualan buletin di Pekan Kundasang. Lebih kurang pukul 11.00 pagi, kami telah berpeluang mengadakan lawatan ke “Kundasang War Memorial” . Di sana, kami telah melihat pelbagai tinggalan perang dan berpeluang berinteraksi bersama sebuah keluarga yang berasal dari Australia. Kami sempat bertanyakan beberapa soalan mengenai pendapat mereka tentang agama Islam dan sebagainya. Pekan Tuaran menjadi destinasi kami yang seterusnya untuk menjalankan “Ops Buletin”.Dalam kesempatan masa yang ada, kami telah menziarahi beberapa buah rumah di kawasan pedalaman Tuaran untuk memberikan sedikit sumbangan. Dari Tuaran, kami telah bertolak untuk pergi ke Kuala Penyu. Namun, ketibaan kami disambut dingin oleh pengurusan sebuah masjid di daerah tersebut. Menurut pengerusi masjid, prosedur masjid tidak membenarkan mana-mana rombongan musafir untuk bermalam di sana. Kami terima dengan redha keputusan tersebut. Setelah menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah dan makan malam, keputusan syura para peserta program adalah meneruskan perjalanan ke Beaufort.

Seperti biasa, setelah menunaikan solat Subuh, kami mendengar kuliah Subuh dari Cikgu Mohd Nasir. Walaupun masih berada dalam keletihan, kami tetap bersemangat untuk meneruskan “Ops Buletin” yang terakhir di Pekan Beaufort. Alhamdulillah, urusan kami telah dipermudahkan. Kami berjaya mencapai sasaran untuk menghabiskan buletin dan munjiyat setibanya di Pekan Beaufort. Seterusnya, perjalanan Ekspedisi Dakwah 2009 diteruskan ke Pekan Membakut setelah menunaikan solat Zohor dan Asar di Masjid Daerah Beaufort. Di Pekan Membakut, kami diarahkan oleh pengarah ekspedisi untuk menemu bual masyarakat tempatan. Persinggahan kami tidak lama di pekan tersebut kerana kami akan meneruskan perjalanan ke Pekan Bongawan, di mana aktiviti yang sama dijalankan. Melalui temu ramah kami di kedua-dua pekan tersebut, kami dapati kebanyakan masyarakatnya adalah beragama Islam dan berketurunan Brunei. Meskipun Papar bukan destinasi dalam perancangan kami, namun kami tetap singgah dan bermalam di Masjid Daerah Papar. Pada sebelah malam, kami telah membuat sedikit pengisian tentang pengalaman masing-masing pada hari pertama dan kedua ekspedisi. Pelbagai coretan pengalaman menghiasi malam itu.

Hari keenam Ekspedisi Dakwah 2009 diteruskan dengan kuliah subuh dan penyampaian kuliah oleh beberapa orang peserta ekspedisi. Setelah hemat diri dan mengemas barangan, kami meneruskan ekspedisi ke Penampang. Bas yang kami naiki telah membawa kami ke Bandar Penampang. Saudara Mohd Idham selaku pengarah ekspedisi telah mengarahkan supaya berkumpul semula tepat pukul 5 petang. Kami mengambil peluang ini untuk berjalan-jalan sekitar Bandar Penampang dan tidak ketinggalan juga terdapat beberapa peserta yang membeli-belah. Seterusnya, kami bergerak ke Masjid Nurul Hikmah Penampang untuk bermalam di sana. Sebelum tidur, Cikgu Mohd Nasir telah menyampaikan kuliah Al-Lail yang terakhir dalam ekspedisi kali ini. Amanat supaya terus Istiqamah dalam jemaah dan program Islam disampaikan kepada semua peserta khususnya mantan-mantan Perppis sesi 2008/2009.
Keesokan hari, kami telah bangun seawal mungkin bagi mengelakkan berlaku keterlewatan. Mengikut perancangan, pada hari tersebut kami akan membuat lawatan ke beberapa tempat sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. Ketika dalam perjalanan ke Wisma MUIS, sekali lagi kami diuji apabila terlibat dalam insiden kemalangan jalan raya. Mujurlah kemalangan ini tidak mengakibatkan apa-apa kecederaan, hanya cermin kereta telah pecah. Manakala lampu bas yang kami naiki juga telah pecah di bahagian hadapan. Keterujaan untuk mengadakan lawatan tidak luntur dengan insiden ini. Kami masih meneruskan perjalanan. Setibanya di Wisma Muis, kedai buku telah menjadi sasaran utama kami. Setiap peserta membeli buku-buku Islamik kegemaran masing-masing. Seterusnya, ekspedisi diteruskan dengan mengadakan lawatan ke Muzium Sabah. Perasaan kagum jelas terpancar di wajah para peserta apabila melihat bahan-bahan yang dipamerkan. Muzium Tamadun Islam juga kami lawati yang terletak tidak jauh dari Muzium Sabah. Sebelum meneruskan perjalanan, kami singgah sebentar di Wisma SESB untuk menunaikan solat Zohor dan Asar. Kami tidak ketinggalan juga singgah di Kompleks Karamunsing. Makan tengahari kami nikmati di Masjid Negeri Sabah kerana hujan telah turun. Kemudian, Wisma DBP menjadi destinasi kami yang seterusnya. Alangkah bertuahnya kami kerana ‘Mega Sale’ sedang berjalan di wisma tersebut. Masing-masing tidak mahu ketinggalan untuk membeli pelbagai jenis buku ilmiah yang ditawarkan dengan harga yang murah. Lawatan terakhir kami adalah ke Centre Point Kota Kinabalu. Sebelum bertolak balik ke Tawau, kami singgah solat sebentar di Masjid Negeri Sabah. Sekitar pukul 10.00 malam, kami berangkat pulang ke Tawau.

Apabila azan Subuh berkumandang, bas yang kami naiki telah berhenti sebentar untuk menunaikan solat di Masjid Ali Yusuf, Kinabatangan. Kami telah tiba di Tawau lebih kurang pukul 10.00 pagi. Sebelum masing-masing pulang ke rumah, gambar kenangan sempat diabadikan. Pengalaman berekspedisi selama lapan hari tidak akan kami lupakan sampai bila-bila. Suka dan duka yang telah tercoret dalam Ekspedisi Dakwah 2009 akan tersemat dalam hati kami buat selama-lamanya. Mudah-mudahan ekspedisi kali ini tidak sia-sia dan ada manfaat untuk para peserta dan agama yang tercinta.....

Nukilan,
Srikandi Taqwa
11 pm
1 Januari 2009

No comments:

Post a Comment

Jom Dengar Al-Quran

Listen to Quran

Contact Us

Name

Email *

Message *