Sebahagian AJK Muslimin sesi 12/13 dan sesi 13/14 ketika Muktamar Tahun Lepas Sebahagian AJK Muslimat sesi 12/13 dan sesi 13/14 ketika Muktamar Tahun Lepas PERPPIS!!! Gambar FB PERPPIS TAWAU

PENYAKIT-PENYAKIT SYAWAL


Bulan Ramadan adalah satu rahmat kepada semua yang berpuasa dan turut menjadi bonus kepada petugas perubatan yang bekerja di klinik atau di hospital kerajaan. Pengalaman bekerja di bidang ini mendapati bahawa di bulan Ramadan, bilangan pesakit yang berkunjung ke klinik-klinik dan yang dimasukkan ke hospital biasanya akan berkurangan.

Beberapa kajian saintifik mendapati bahawa puasa adalah sebahagian daripada pencegahan dan rawatan kepada pembunuh utama rakyat Malaysia iaitu 'Sindrom Metabolik'. Penyakit Sindrom Metabolik ini merangkumi beberapa penyakit termasuklah darah tinggi, kencing manis, hypercholesterolaemia (kandungan lemak yang tinggi) dan kegemukan (obesiti).

Puasa Ramadan juga dapat meningkatkan kesihatan seseorang dengan berlakunya proses detoksifikasi atau pembuangan toksin yang berkesan dari tubuh badan selain daripada ratusan kebaikan yang lain dari sudut kesihatan fizikal, emosi dan spiritual.

Namun situasi mesra kesihatan di bulan Ramadan ini berubah sebaik sahaja menjelang Syawal. Apa tidaknya, setelah sebulan berpuasa dan berdisiplin dengan tabiat pemakanan yang sihat kini bertukar wajah menjadi pesta makanan yang menyajikan pelbagai jenis juadah yang lazat dan menggiurkan. Kegilaan menjamu selera menjadi lebih parah dengan budaya rumah terbuka yang biasanya berlanjutan selama sebulan atau mungkin lebih. Walaupun tujuan asal rumah terbuka dan amalan ziarah menziarahi adalah sangat baik dan terpuji iaitu untuk merapatkan silaturrahim dan saling bermaaf-maafan di antara satu sama lain.

Penyakit-penyakit utama di bulan Syawal

Sakit perut dan cirit-birit

Masuk saja ke bulan Syawal, kejadian sakit perut, muntah dan cirit-birit adalah gejala yang sangat kerap berlaku. Ramai di kalangan kita yang mengidap acute gastro-enteritis (keracunan makanan), gastrik dan perut yang meragam akibat pengambilan juadah hari raya tanpa tabiat mengamalkan pemakanan yang sihat.

Kencing manis (diabetes)

Pada bulan Syawal juga ramai pesakit diabetes yang perlu dimasukkan ke hospital kerana kandungan gula di dalam darahnya yang meningkat di luar kawalan. Namun begitu, ada juga pesakit baru yang dikesan mengidap diabetes kerana tabiat pemakanannya yang tidak sihat di sepanjang Ramadan dan Syawal.

Kegemukan (obesiti)

Sekiranya budaya rumah terbuka tidak diikuti dengan disiplin pemakanan yang baik, maka fenomena 'seluar longgar' dek keberkatan Ramadan dan akan digantikan oleh gejala 'seluar sendat' dek kedahsyatan pesta makanan yang berpanjangan di sepanjang Syawal. Kehebatan seseorang yang berjaya menurunkan berat badannya di bulan Ramadan hanya boleh dipuji sekiranya dia berjaya mengekalkan berat badan tersebut sehingga di penghunjung Syawal setelh melepasi ujian marathon jamuan demi jamuan tersebut.

Malas untuk beramal

Biasanya kita mudah untuk membaca al Quran dan solat berjamaah di bulan Ramadan tetapi lain pula situasinya di bulan Syawal. Surau dan masjid yang biasanya penuh di bulan puasa akan kelihatan kosong dan kurang dikunjungi selepas Ramadan. Al Quran yang menjadi teman sehinggakan budaya mengkhatamkannya di sepanjang bulan Ramadan akan berubah sekelip mata sehinggakan jarang sekali dibeleknya sebagai bekalan hidup dengan berlalunya Ramadan.

Penyakit lidah

Umumnya adalah lebih mudah bagi umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadan untuk menjaga lidahnya daripada tabiat mengumpat, suka berdebat dan kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Namun keadaannya berubah setelah berlalunya bulan berkat dan bulan ibadah ini. Ramai di kalangan kita yang melupai disiplin menjaga lidah dan mulut menjelang berlalunya Ramadan. Lebih menyedihkan lagi apabila gelanggang rumah terbuka ini mungkin menjadi medan mengumpat atau pesta yang bercampur-baur tanpa batasan.

Tabiat-tabiat lama

Taqwa adalah merupakan objektif dan hikmah puasa itu sendiri. Ianya boleh diukur apabila melihat diri seseorang atau keluarganya semakin baik dan cemerlang setelah melalui medan tarbiyah selama sebulan di bulan Ramadan. Lebih menyedihkan buat seseorang individu mahupun umat Islam umumnya apabila penyakit-penyakit lama yang telah sebati di dalam dirinya datang kembali malahan semakin membarah dengan berlalunya Ramadan.

Bagaimana mengatasi fenomena ini?

  1. Bersederhana di dalam mengendalikan rumah terbuka
  2. Melakukan amalan ziarah menziarahi secara terancang
  3. Menjaga disiplin pemakanan
  4. Bermuhasabah diri dan mendidik keluarga serta masyarakat mengenai amalan berhari-raya menurut syara'
  5. Mengamalkan puasa enam di bulan Syawal
  6. Menjadikan riadah sebagai acara regular mingguan
  7. Mengamalkan gaya hidup yang sihat
  8. Banyak berdoa memohon pertolongan dari Allah swt

Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud,

"Barangsiapa yang telah berpuasa Ramadhan dan kemudian dia mengikutkannya dengan puasa enam hari dari bulan Syawal, maka dia seperti orang yang berpuasa selama satu tahun." (Hadith shahih riwayat Muslim)

Akhir kalam,

Ramadan tunduk mengundurkan diri
Syawal bergegas datang mengganti
Semoga taqwa mekar di hati
Amalan soleh kukuh membumi

No comments:

Post a Comment

Jom Dengar Al-Quran

Listen to Quran

Contact Us

Name

Email *

Message *